Angin bertiup membawa berita duka, menyentuh rasa hati naluri berdebar..Mengenang diri tiada pedoman, memohon keampunan..Lantaran sepi di jiwa ini, dilindungi gelisah tanpa iman Ilahi
Dunia sepi bagai tiada penghuni, kosong hati ini terpancar duka..

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“MEMPERKASA PENDIDIKAN ANAK-ANAK MUSIM CUTI SEKOLAH”
( 3 DISEMBER 2010 / 26 ZULHIJJAH 1431H)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat serta umat Islam yang dikasihi sekalian. Marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua beroleh kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Tajuk khutbah yang akan dibicarakan pada hari ini ialah: “MEMPERKASA PENDIDIKAN ANAK-ANAK MUSIM CUTI SEKOLAH”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mimbar Jumaat pada hari ini ingin menarik perhatian para jemaah sekalian bahawa cuti sekolah telah bermula. Inilah masa yang paling seronok buat anak-anak kita untuk melarikan diri sementara dari alam persekolahan. Tempoh yang agak panjang dan banyak perkara boleh mempengaruhi perilaku anak-anak. Jika anak-anak melalui tempoh tersebut dengan kegiatan bermanfaat, seperti membaca, mengulangkaji pelajaran, memperdalamkan ilmu fardhu ain, melazimkan diri ke masjid dan surau dan seumpamanya, maka anak-anak akan berpotensi menjadi generasi cemerlang, sebaliknya jika mereka menghabiskan tempoh masa tersebut dengan aktiviti yang tidak berfaedah, seperti menonton program hiburan melampau, menyalahgunakan internet, membaca majalah-majalah hiburan dan sebagainya, maka tergugatlah masa depan mereka.
Kita perlu ingat, bahawa anak-anak lazimnya bersifat kurang matang atau pendek akalnya, bila berdepan dengan sesuatu cabaran. Tegasnya mereka mudah terpedaya dengan apa juga cabaran yang ada dikelilingnya. Oleh kerana itu, kita selaku ibubapa bertanggungjawab mempastikan anak-anak sentiasa dibimbing agar berjaya mengelak daripada terpedaya dengan sebarang bentuk anasir buruk yang akan merosakkan masa depan mereka. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah at-Tahrim ayat 6:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
Ayat tersebut memerintah ibu-bapa supaya menjaga anak-anak dengan mendidik dan memberi pelajaran dengan sebaik mungkin bagi mengelak diri dari menjadi bahan bakar di neraka Allah SWTdi akhirat nanti.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita perlu sedar bahawa anak-anak kita sekarang ini berdepan dengan cabaran dan pengaruh hiburan yang terlalu banyak. Bukalah saluran TV manapun pasti program hiburan akan tersedia. Sesetengah program hiburan amat diminati oleh anak-anak kita. Ini menyebabkan anak-anak sanggup menghabiskan banyak masa terutama di musim cuti persekolahan menonton pelbagai program hiburan di talivisyen dan internet dengan mengabaikan tugas sebenar mereka sebagai pelajar. Implikasinya anak-anak bukan sahaja lemah pencapaiannya dalam pelajaran, malah anak-anak juga berdepan dengan masalah keruntuhan akhlak yang berpunca daripada pengaruh hiburan yang melampau. Tidak mustahil anak-anak akan terikut-ikut dengan gelagat ikon-ikon TV yang berpakaian menjolok mata serta bergaul bebas lelaki dan wanita tanpa batas.
Oleh itu, kita bertanggungjawab mempastikan anak-anak kita tidak menghabiskan masa cuti persekolahan dengan menonton program-program hiburan begitu. Tugas ini bukan mudah, kerana media berada di mana-mana, malah tidak ada rumah yang tidak di masuki media. Apa yang perlu kita lakukan ialah memantau serta membimbing secara serius dan berterusan kepada anak-anak kita agar tidak menghabiskan masa menonton program hiburan semata-mata. Kita sebagai ibubapa perlu setiap hari bertanyakan anak-anak apa yang mereka telah buat sepanjang hari. Apakah mereka telah bersolat dan apakah mereka telah mengulangkaji pelajaran? Dengan itu, tugas mereka sebagai pelajar tidak akan dipersiakan.
Satu perkara lagi yang membimbangkan kita hari ini ialah isu phonografi yang mudah dilayari melalui internet, SMS dan VCD. Filem phonografi ini amat memberi kesan yang buruk kepada anak-anak kita. Mimbar difahamkan melalui laporan media bahawa ada anak-anak yang berusia 10 tahun telah melakukan hubungan seks kerana terpengaruh dengan filem phonografi ini. Jesteru mimbar menyeru kepada semua ibu-bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak dengan memerhati laman web yang dilayari dan memantau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya.
Selain daripada cabaran hiburan, anak-anak kita juga terdedah kepada pengaruh watak individu atau kumpulan yang tidak berakhlak dalam masyarakat seperti pergaulan bebas, perlumbaan haram, melepak, merokok, berpoya-poya dan sebagainya. Adalah menjadi kewajipan kita mengawal ketat anak-anak kita daripada mendekati dan bergaul dengan watak-watak dan kumpulan-kumpulan remaja yang rosak akhlak dan jelas membelakangkan petunjuk Allah SWT. Sebagai ibubapa, kita perlu setiap hari bertanyakan anak-anak kita ke mana mereka pergi, untuk apa mereka ke sana, dengan siapa mereka pergi, jam berapa mereka pulang dan sebagainya. Dengan demikian, mudah-mudahan kita dapat mengawal anak-anak kita daripada terjerumus kelembah kehancuran. Hayatilah pesanan Nabi SAW agar kawan anak-anak kita hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang berakhlak dan mempunyai jatidiri.
Mafhumnya: “Sesungguhnya perumpamaan teman yang baik dan teman yang jahat adalah seperti saudagar minyak wangi dan tukang besi. Peniaga minyak wangi akan memercikkan minyak wanginya atau dapat membeli daripadanya atau mencium bau wanginya. Manakala tukang besi pula mungkin akan membakar badan kamu atau bajumu atau engkau mencium bau busuk daripadanya.” (Riwayat Bukhari & Muslim).
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mimbar ini merasa bimbang dengan peningkatan kadar jenayah dikalangan remaja saban tahun. Mengikut laporan Polis Diraja Malaysia banyak kes jenayah curi dan pecah rumah telah dilakukan oleh golongan remaja. Laporan ini belum dikira lagi jenayah-jenayah lain seperti perzinaan, black metal, bohsia, pergaduhan, minum arak dan sebagainya. Mimbar ini percaya antara punca jenayah dikalangan remaja adalah disebabkan lemahnya pendidikan agama kepada anak-anak di peringkat institusi keluarga. Justeru itu, mimbar ini menyeru ibubapa agar, marilah kita melipat gandakan usaha mendidik anak-anak dengan lebih berkesan. Marilah kita mencontohi pendidikan Luqman al-Hakim seorang bapa yang Allah SWT iktiraf kejayaannya mendidik anak-anak, sepertimana firman Allah dalam Surah Luqman ayat 13:
Maksudnya: “Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”
Ayat tersebut menjelaskan bahawa tanggungjawab utama ibubapa ialah mempastikan anak-anak di didik dengan asas-asas akidah. Dengan mengenal Allah,dan lima rukun iman yang lain, insya Allah anak-anak bakal menjadi insan yang mempunyai jati diri, berakhlak, tekun beribadah, berketerampilan, berpandangan jauh, berilmu dan mampu menghadapi semua cabaran hidup. Namun, perlu difahami bahawa kekuatan iman anak-anak tidak akan dicapai dengan mudah tanpa berbuat apa-apa. Kemantapan akidah perlu di usaha dan diperjuangkan. Inilah sebenarnya perjuangan dan pengorbanan dakwah para Nabi dan Rasul disepanjang zaman.
Oleh itu, sempena cuti persekolahan ini, mimbar hari ini mencadangkan ibubapa agar marilah kita perjuangkan kemantapan akidah anak-anak dengan menghantar anak-anak mengikuti kursus, kelas pengajian, seminar, bengkel, khemah ibadah dan sebagainya yang dianjurkan oleh Jabatan Agama, masjid, surau, pertubuhan dakwah dan sebagainya yang terdapat dikawasan tempat tinggal kita masing-masing. Mudah-mudahan kita dapat melahirkan anak-anak yang mempunyai jatidiri mukmin, berwawasan dan berketerampilan yang sekaligus dapat menghadapi pelbagai cabaran yang mengelilingi mereka.
Mimbar juga menggesa pihak yang berwajib agar merangka langkah-langkah drastik untuk mengawal penyebaran filem-filem atau gambar-gambar lucah yang kini amat mudah diperolehi demi memelihara masa depan generasi anak-anak kita. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 104:
Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang Berjaya.”



1. untuk sujud menyembah Allah
Firman Allah, maksudnya "Pada hal mereka tidak diperintah melainkan supaya menyembahAllah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetapteguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar" (Surah Al-Bayyinah 5 : 98)
2. untuk aku sebagai Khalifah di muka bumi ini
Firman Allah, maksudnya "Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnyayang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-An'am 6 : 165)
3. untuk aku menyeru kebaikan, membanteras kejahatan
Firman Allah, maksudnya "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya" (Surah Ali Imran 3 : 104)
4. Allah tidak jadikan aku sia-sia
Firman Allah, maksudnya " Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?" (Surah al-Mu'minun: 115)


Surah Al-Waqi’ah (سورة الواقعة) adalah surah yang ke-56 dalam Al-Quran, terletak pada juzuk ke 27 dan terdiri dari 96 ayat. Surat yang diturunkan selepas Surah Taahaa ini dinamakan dengan Al-Waaqi’ah (Hari Kiamat), diambil dari perkataan Al-Waaqi’ah yang terdapat pada ayat pertama. Di dalam surah Al-Waqi’ah ini menerangkan tentang hari kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir. Diterangkan pula penciptaan manusia, tumbuh-tumbuhan, dan api, sebagai bukti kekuasaan Allah dan adanya hari kebangkitan.
Apa yang hebatnya surah Al-Waqiah ini, dengan amalan membacanya ia memberikan beberapa khasiat dan kelebihan tersendiri.
Sabda Rasulullah SAW:
“Surah al-Waqiah adalah surah kekayaan. Hendaklah kamu membacanya dan ajarkanlah ia kepada anak-anak kamu.” (Riwayat Ibn Mardawaih daripada Anas: Kasyf al-Khafa’).
“Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam ia tidak akan ditimpa kefakiran.” (Riwayat daripada Ibn Mas‘ud: al-Azkar, al-Jami al-Soghir).
“Ajarkanlah surah Al-Waqi’ah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” (Hadis riwayat Ibnu Ady)
Menurut fatwa sebahagian Ulama’ katanya:
“Barangsiapa membaca surah Al-Waqi’ah pada setiap hari dan malam dalam satu majlis sebanyak 40 kali, selama 40 hari pula, maka Allah akan memudahkan rezekinya dengan tanpa kesukaran dan mengalir terus dari pelbagai penjuru serta berkah pula.”
Diantara fadhilah-fadhilah membaca surat Al-Waqi’ah adalah:
1. Jika dibaca setiap malam sebagai wirid, maka tidak akan tertimpa kepapaan.
Rasulullah bersabda :
Man qara’a suratal-Waqi’ati kulla lailatil lam tusibhu faqah, wa suratul-Waqi’ati suratul-gina faqra’uha wa ’allimuha aulada-kum.
Ertinya:
“Barangsiapa membaca surat Al-Waqi’ah tiap malam, maka tidak akan menimpa kepadanya kepapaan. Dan surat Al-Waqi’ah adalah surat kaya, maka bacalah dan ajarkanlah kepada anak-anak kamu.”
2. Berkata Masruq: “Siapa ingin mengetahui cerita orang-orang terdahulu dan orang-orang terkemudian, serta cerita ahli surga dan ahli neraka, penduduk dunia dan akhirat, maka bacalah surat Al-Waqi’ah”. (Tafsir Jamal, Juz IV halaman 269)
3. Imam Ja’far ra. berkata: “Barangsiapa membaca surat Al-Waqi’ah pada waktu pagi ketika keluar dari rumahnya untuk bekerja, atau untuk mencari kebutuhan. Maka Allah Ta’ala mempermudah rezekinya dan mendatangkan hajatnya. Dan barangsiapa membaca surat Al-Waqi’ah pada waktu pagi dan petang, maka ia tidak akan kelaparan atau kehausan, dan tidak akan takut terhadap orang yang akan memfitnah, sedangkan fitnahannya kembali pada orang itu”. (Khazinatul Asrar Kubra, hal. 360)
4. Disebutkan dalam Khawashul Qur’an, siapa yang membaca surat Al-Waqi’ah sebanyak 41 kali dalam satu majlis, maka didatangkan hajatnya, terutama urusan rezeki. Dan barangsiapa membaca surat Al-Waqi’ah sesudah sholat Asar sebanyak 14 kali dalam satu majlis, maka didatangkan hajatnya, terutama urusan rezeki. Aturan tersebut adalah mujarab. Jika menginginkan datangnya rezeki dari Allah dengan tak terkira-kira datangnya, maka bbacalah surat Al-Waqi’ah selama 40 hari berturut-turut jangan terputus, dan setiap harinya dibaca 40 kali.
5. Dengan mewiridkan surat Al-Waqi’ah sebagai bacaan rutin setiap hari dan malam, maka Allah menjauhkan kefakiran selamanya. Sa’d Al Mufti mengatakan, bahwa hadist ini shahih.
Rasulullah bersabda:
Man qara’a suratal-Waqi’ati lam yaftaqir abada.
Ertinya:
“Barangsiapa (membiasakan) membaca surat Al-Waqi’ah, maka ia tidak akan kefakiran selamanya.”

