Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia memerlukan perkahwinan, kerana dengan perkahwinan yang sah perhubungan intim diantara lelaki dan perempuan dapat dilakukan, manusia memerlukan seks kerana ia adalah fitrah yang dianugerahkan Allah s.w.t. Namun keperluan seks perlu diimbangi dengan nilai akhlak iaitu dengan pernikahan menurut ketetapan syarak agar ia mendapat keberkatan dan dikira sebagai ibadah. Hubungan yang tidak halal atau seks luar nikah atau zina adalah haram serta berdosa besar.
Walaupun Islam telah memberi jalan yang mudah untuk membolehkan hubungan intim antara lelaki dan wanita, namun ada di antara orang Islam masih memilih untuk melakukan perzinaan hingga melahirkan anak luar nikah. Lebih buruk lagi apabila anak-anak yang dilahirkan tanpa perkahwinan yang sah dibunuh dan dibuangkan merata tempat tanpa rasa takut kepada Allah s.w.t.
Sahabat yang dimuliakan,
Perkahwinan merupakan satu ikatan resmi dan suci antara dua pasangan yang disatukan. Perkahwinan atas dasar cinta, suka sama suka mahupun perkahwinan yang diatur pastinya menuntut komitmen yang tinggi dari kedua-dua pasangan dan biasanya mempunyai tujuan yang sama iaitu membina satu kehidupan yang dikongsi bersama. Dari perkahwinan lahirnya keturunan dan seterusnya terbina satu institusi keluarga.
Namun tidak semua perkahwinan akan terjamin kekal bahagia selamanya dan ke akhirnya sebagaimana yang diidamkan. Banyak perkahwinan yang berakhir separuh jalan sahaja atas pelbagai sebab dan alasan. Ada yang meletakkan kesalahan pada pasangan lelaki dan tidak kurang juga wanita yang dipersalahkan. Ada juga kegagalan perkahwinan disebabkan wujudnya pihak ketiga di antara pasangan yang berkahwin.
Jangka masa perkahwinan tidak boleh dijadikan penentu kepada punca perceraian. Ada perkahwinan yang bertahan berpuluh tahun tetapi diakhir-akhir usia, perceraian berlaku juga. Tidak kurang juga perceraian yang berlaku pada pasangan yang tempoh berkahwin hanya sehari, seminggu mahupun sebulan. Inai masih merah dijari, sudah diceraikan. Perceraian tidak mengenal usia, bangsa, pangkat mahupun status ekonomi.
Kaya atau miskin tidak boleh dijadikan faktor penentu kebahagiaan dalam perkahwinan. Di negara kita kes-kes perceraian yang sering menjadi perhatian adalah di antara golongan selebriti dan juga golongan korporat terkemuka. Bukan kerana golongan ini yang selalu menjadikan perceraian ini perkara biasa tetapi kerana kisah mereka ini terpaksa dikongsi dengan awam memandangkan mereka ini adalah golongan terkenal. Hakikat sebenarnya perceraian berlaku pada mana-mana juga pasangan yang puncanya hanya pasangan-pasangan ini sahaja yang lebih tahu.
Dari maklumat yang diperolehi, kadar penceraian di Malaysia bagi pasangan beragama Islam sahaja disifatkan agak dahsyat. Dalam sehari purata 56 kes perceraian berlaku di Malaysia dan sebanyak 359 berlaku sebulan berdasarkan kepada statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2007. Dari jumlah ini Lembah Klang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu tiga daripada sepuluh pasangan di Kuala Lumpur, bercerai. Jumlah perceraian sepanjang tahun 2007 adalah 20,529.
Manakala bagi tahun 2008, data yang diambil dari Januari sehingga Jun 2008 menunjukkan perceraian sebanyak 9,765. Trend perceraian di kalangan umat Islam di Malaysia setiap tahun kian meningkat dan keadaan itu amat membimbangkan. Tambahan pula perceraian sudah merangkumi angka melebihi kira-kira 10 peratus daripada jumlah perkahwinan setiap tahun.
Sahabat yang dihormati,
Walaupun Islam membenarkan penceraian (talak) tetapi ianya adalah perkara halal yang sangat dibenci oleh Allah s.w.t. Dari Ma’ruf dari Muharib bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Allah tidak membuat sesuatu yang halal tidak disukainya selain talak” (Riwayat Abu Dawud)
Kenapakah umat Islam sanggup bercerai sedangkan bercerai itu adalah satu yang dibenci oleh Allah s.w.t. Nabi s.a.w menggalakkan umatnya berkahwin bukannya bercerai berai kerana bercerai berai mendatangkan kesan yang sangat negatif. Kesan yang negatif yang terpaksa ditanggung adalah anak-anak. Anak-anak akan menjadi magsa jiwa mereka tersiksa kerana sikap keegoan ibu bapa mereka, masing-masing tidak mahu mengalah dan mempertahankan pendapat masing-masing. Anak-anak akan merasa diri mereka tidak disayangi dan lebih parah lagi apabila mereka berebut untuk mendapat hak penjagaan keatas anak-anak mereka.
Sebenarnya tanpa disedari syaitan telah membisikkan pada telinga orang Mukmin supaya memutuskan ikatan perkahwinan yang telah di bina supaya berlaku porak peranda dikalangan suami isteri dan anak-anak mereka. Walaupun hanya disebabkan perkara kecil sahaja.
Allah s.w.t. berfirman maksudnya : "Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menjadikan daku sesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus (Shirat al-Mustaqim). Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” (Surah al-A’raaf ayat 16-17)
Perjanjian, atau lebih tepat, tipu daya syaitan ini benar-benar telah dilaksanakannya sejak dari zaman awal Islam sehinggalah pada masa kini. Syaitan menghalang umat Islam dari jalan Allah yang tulen lagi benar. Kemudian ia membuat banyak jalan-jalan yang baru. Dalam ayat di atas, syaitan menyebut bahawa ia akan datang dari hadapan, belakang, kanan dan kiri. Empat arah ini bukan bererti empat jalan, tetapi bererti kepelbagaian jalan yang dibukakannya. Ini umpama seorang yang berkata: “Musuh datang menyerangku dari hadapan, belakang, kanan dan kiri.” Kenyataan ini tidak bererti ada empat orang musuh, tetapi bererti ada banyak musuh yang datang dari semua sudut. Apabila syaitan berjaya memecah belahkan keluarga Islam (berlaku talak) akan bergegar Arasy Allah s.w.t. kerana penceraian tersebut inilah yang dikehendaki oleh syaitan dan syaitan juga akan mendatangkan permusuhan , benci membenci, pendedahan aib masing-masing dan memutuskan silaturahim di antara dua keluarga . Syaitan suka jika umat Islam tak dapat masuk Syurga.
Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Tidak akan masuk Syurga bagi yang memutuskan silaturahim". (Riwayat Al-Imam Muslim)
Sahabat,
Sebagai seorang Muslim Mukmin untuk kita megelakkan daripada berlakunya penceraian perlulah menghiasi diri kita dengan akhlak Islam yang terpuji. Berpeganglah dengan beberapa kaedah yang dianjurkan Islam supaya mahligai yang telah dibina dapat diselamatkan dan sentiasa mendapat rahmat dan keberkataan daripada Allah s.w.t.
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Kawallah perasaan marah dan cubalah memberi kemaafan.Semua manusia pada dasarnya memiliki sifat marah, kerana marah adalah salah satu tabiat manusia. maka agama tidak melarang marah, tetapi kita diperintahkan untuk dapat mengendalikan marah dan senantiasa menjadi pema’af.
Fiirman Allah s.w.t yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh”(Surah Al-A'raaf ayat 199)
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)
2. Bersyukur dengan rezeki yang ada dan bersifat qana'ah.(menerima seadanya sahaja)
Isteri kena redha dengan rezeki yang diperolehi oleh suaminya, janganlah diharapkan kemewahan melebihi daripada kemampuan suami, dunia ini adalah tempat sementara dan tempat kesenangan yang sebenar adalah di hari akhirat. Ramai para wanita masuk Neraka kerana mereka tidak bersyukur di atas rezeki yang dimiliki oleh suaminya. Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita supaya rasa bersyukur itu akan terbina dijiwa kita.
3. Jangan mendengar hasutan atau fitnah daripada orang lain yang cuba nak meruntuhkan keluarga yang sedang dibina. Bertenang dan bersikap terbuka dan hormatilah suami atau isteri masing-masing. Kerana sikap hormat menghormati akan membina rasa kasih sayang yang berterusan.
4. Isteri perlu bersikap terbuka jika suaminya ingin berpoligami jika memang suaminya berkemampuan, dan haram bagi isteri meminta cerai kerana masaalah poligami kerana hak poligami telah termaktub sebagai salah satu daripada hukum Islam. Dalam hadis Nabi s.a.w mengatakan isteri yang meminta cerai daripada suaminya kerana tidak ada asas yang dibenarkan syarak tidak akan mendapat mencium keharuman Syurga.Kawallah emosi dan bersikap bertenang janganlah kerana sikap gopoh gamah dalam sesuatu perkara menyebabkan kita dimurkai oleh Allah s.w.t.
5. Suami perlulah bertanggungjawab untuk memberikan nafkah zahir dan batin dan janganlah mengambil kesempatan di atas sifat lemah lembut isteri hingga menzalimi isteri, ingatlah jika pergolakkan rumah tangga berpunca dari sikap suami kurang bertanggung jawab dia akan menanggung dosa dan akan memikul beban yang berat di hari akhirat nanti.
Akhirkata cubalah selamatkan rumah tangga kalian jika telah berlaku pergolakkan, kerana pahala yang besar menanti kalian jika kalian semua dapat bersabar di atas ujian rumah tangga ini. Ingatlah Allah s.w.t Maha Pengampun dan Maha Penyayang, apakah kita tidak boleh memberi kemaafan kepada pasangan kita jika ada sesuatu yang menyenggung perasaan kita.? Sedangkan Allah s.w.t. boleh memaafkan hamba-Nya?
Dunia ini tempat yang tidak kekal abadi kita tak akan dapat duduk lama di dunia ini dari itu janganlah kerana nak seronok di tempat yang sementara ini kita akan menderita ditempat yang kekal abadi.