Begitulah bunyi pepatah melayu yang belum kita pastikan kesahihannya. Banyak yang boleh kita pelajari, walau pun banyak juga yang boleh kita sanggah dengan pepatah ini.
Tetapi untuk lebih bahagia, penulis agak bersetuju dengan pandangan ini. Mengapa?
Hidup seperti enggang, daya tujahan bila terbangnya jauh lebih tinggi dari pipit, makanan enggang juga jauh lebih besar dan banyak dari pipit. Malahan tinggi letak duduk enggang di dahan pokok juga jauh le bih tinggi dari pipit.
Enggang dijadikan Tuhan jauh lebih cantik, bukan saja dari bentuk badannya, malah juga dengan bentuk badannya berbanding pipit yang sederhana.
Namun keduanya tidak pernah bertembung dan sombong. Mereka dapat hidup harmoni mengikut syariat yang ditentukan Tuhan.
Tetapi, mereka akan pasti tak merasa bahagia kalau gagal memahami sunnatullah hidup ini. Pipit akan gagal dalam perlumbaan jarak jauh kerana kemampuan kepaknya yang pendek yang akan hanya membatas dan memenatkan. Berbanding enggang, dengan sekali libasan kepaknya akan menujahkannya jauh ke depan dan boleh menggelungsur dengan lebih lama di udara.
Begitulah kehidupan ini, kita menjadi stress kalau cuba menjadi orang lain. Jadilah diri sendiri, seapa adanya. Dengan pendapatan dari gaji dan perniagaan yang kita perolehi, itu menentukan sejauh mana taraf hidup kita ketika ini. Berbelanja tidak mengikut ukuran boleh mengundang pelbagai masalah seperti hutang keliling pinggang. Tengok saja laporan Utusan Malaysia semalam, trend lelaki muda yang berbelanja kasar dan mempunyai hutang yang banyak, agak mengerikan. Apalagi setelah mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak. Hari-hari bertengkar, ada saja yang tak puas hati. Pening! Pening! Pening!
Susah benar kalau enggang mahu terbang sama dengan pipit. Pipit cepat penat mengikut rentak enggang dan enggang juga akan bosan menunggu pipit. Sebab itu kata orang tua-tua dulu, carilah yang sepadan agar setiap perbuatan akan sama dengan temponya. Memang benarlah kata mereka itu.
Kalau gagal mengikut syariatnya, pipit memang mudah cemburu melihat enggang. Dan enggang juga akan mudah sakit hati kerana tidak boleh memagut beras sama seperti pipit dek kerana paruhnya yang panjang dan besar!
Berbuatlah sesuatu mengikut ukuran dan takaran masing-masing. Allah menjadikan setiap makhluk itu bukan dengan sia-sia. Malah Allah amat adil dalam semua PenciptaanNya.
Kalau kemampuan kita sedikit, jangan berbuat sesuatu yang melebihi kemampuan. Kalau punya duit sedikit, jangan sibuk berhutang sana-sini hanya untuk memiliki kesenangan seperti orang yang kaya. Itu kan stress namanya? Penulis tidak bermaksud untuk tidak menggalakkan orang berusaha dan mencuba, tetapi nikmatilah kesenangan itu bila sudah tiba masanya dan tak perlu nak berhutang atau pecah amanah untuk hidup mewah.
Kita juga tak perlu nak menipu dengan meminjam duit orang dan berlagak seperti orang senang. Pipitlah usahlah menipu dan memperdayakan orang lain hanya semata-mata nak jadi enggang! STRESS!!!!!
Enggang susah nak faham keperluan pipit, pipit juga tak terdaya nak makan makanan enggang. Nabi yang mulia juga selalu nasihatkan kita, bersederhanalah dalam segala hal. Ikutlah ukuran dan takaran agar sesuai dengan keperluan hidup. Apakah kita nak paksa berikan apa yang kita minta? Atau lebih baik menunggu pemberianNya yang jauh lebih sesuai dengan keperluan kita.
Tak malu kah pipit menagih duit ratusan ribu ringgit, malah jutaan ringgit hanya semata-mata pernah bersama sebentar dengan si enggang ? Fikirkan dan nilailah diri samada untuk terus terbang sekawan di antara si enggang dan sang pipit……………………
Jauhi STRESS dan nikmatilah sebuah kebahagiaan…..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan