Aku masih ingat dan masa tu aku masih kecil lagi. Pada petang itu, dari pantai aku berlari pulang ke rumah.
"Assalamualaikum," aku memberi salam.
Aku lihat ayah baru pulang dari laut bersama sedikit hasil tangkapannya. Ayah menjawab salam dan hanya tersenyum melihat aku. Aku berlari mendapatkan ayah untuk memohon sesuatu.
"Ayah, boleh tak tolong buatkan Man satu layang-layang? Man nak main dengan kawan-kawan".
Ayah memegang dan menggosok kepala aku dan ayah berkata, "Ayah tak pandai Man". Lalu ayah pun naik ke rumah meninggalkan aku di bawah. Aku mencebik mulut dengan kecewa. "Ayah tu semua tak pandai. Dulu minta ayah ajarkan Man membaca pun ayah cakap ayah tak pandai. Nasib Kak Aida ada ajarkan". Aku membebel seorang diri. Ayah seorang nelayan dan aku hanya jumpanya sekejap-sekejap sahaja sebab ayah selalu turun ke laut berhari-hari. Pada malam itu aku tak mahu makan sebab merajuk dengan ayah.
Keesokkan paginya apabila bangun dari tidur aku turun ke laman rumah. Aku lihat ada beberapa batang buluh. Abang Madi datang pada aku bersama parang, segulung kertas dan benang. Dia menghulurkan pada aku sambil berkata, "ayah kita bukan tak pandai Man", sambil tersenyum padaku. Pada petang itu aku gembira sebab dapat bermain layang-layang dengan kawan-kawanku sampai lupa kerja rumah yang cikgu suruh siapkan. Aku jadi lalai sebentar.
Hari ini hari Sabtu dan esok hari ahad hari persekolahan bagi negeri Kelantan. Aku jadi kalut pagi tu. Itu semua disebabkan layang-layang yang buat aku lalai untuk menyiapkan kerja rumah. Cikgu Rokiah cikgu matematik aku tersangatlah garang. Kak Aida tiada di rumah kerana ada kelas tambahan di sekolah. Aku jadi buntu kerana aku tak dapat selesaikan beberapa soalan yang aku rasakan tersangatlah susah. Yang ada dirumah pada masa tu Cuma aku, ayah dan abang Madi yang sibuk membantuayah membaiki pukat dan jala. Ibu dah lama meninggal sewaktu melahirkan aku. Lalu aku berkata pada ayah,
"Ayahhhh...tolonglah Man ni. Man tak tahu nak selesai soalan-soalan ni. Tolonglah Man Ayahhh...."
"Ayah tak pandai Man", sambil tersenyum. Abang Madi Cuma gelengkan kepala pada aku. Aku jadi memberontak dan mula mengeluarkan kata-kata kebudak-budakkan aku.
"Ayah semua tak pandai. Minta ajar membaca tak pandai, mengira tak pandai, buat layang-layang untuk Man pun tak pandai. Man tak suka ada ayah macam ni", sambil menangis dan berlari ke belakang rumah. Abangku tiba-tiba menjerit pada ku, "Mannnn!!!". Ayah Cuma tersenyum dan memegang tangan abang Madi. "Madi, adik tu kecik lagi".
Petang tu aku tengok Ayah menaiki basikal dan aku tak tahu Ayah ke mana. Aku tanya abang Madi dan dia cuma jawab Ayah ke Bandar. Tapi aku rasa hari tu terlalu lewat untuk ayah ke Bandar. Malam tu ketika hari makin lewat dan ketika aku masuk tidur ayah masih lagi belum pulang. Hanya abang Madi dan Kak Aida yang setia menunggu Ayah pulang.
Ayam mula berkokok dan azan Subuh sayup-sayup kedengaran. Aku bangun untuk ke sekolah. Kak Aida dan abang Madi sudah siap dengan pakaian seragam sekolah.
"Kak Aida mana ayah?", tanya ku pada Kak Aida yang sibuk siapkan sarapan.
"Ayah dah ke laut Man. Ni ayah berikan barang untuk Man".
Aku memeriksa plastik beg tu dan aku terkejut melihat barang dalam tu. "Yeayyy...Ayah belikan Man buku rujukan Matematik dengan kalkulator baru". Kak Aida senyum dan berkata padaku, "Ayah kita bukan tak pandai Man". Tiba-tiba rasa bersalah menyelubungi aku.
"Abang Madi, Ayah marah Man ke?"
"Ayah belikan Man kalkulator baru mestilah Ayah sayangkan Man. Abang pun tak pernah ada kalkulator tau". Abang Madi senyum padaku.
Sebelah tengahari kami bertiga pulang dari sekolah. Selepas itu, Abang Madi ke rumah Pak Lang Hussien sebab abang Madi ambil upah baiki pukat dan jala dengan bapa saudara kami tu. Kak Aida ke sekolah semula sebab ada kelas tambahan. Tinggallah aku seorang diri di rumah. Abang Madi dan Kak Aida dah pesan padaku jangan ke mana-mana sebab aku harus tunggu ayah baik dari laut. Lanjut ke malam ayah belum lagi pulang. Aku dan Kak Aida masuk tidur dan Abang Madi masih lagi menunggu ayah.
Keesokkan paginya ayah masih juga belum pulang. Kami bertiga jadi makin risau. Abang Madi ke pengkalan menunggu ayah sehingga larut malam, namun masih tiada khabar berita. Pagi-pagi esoknya Abang Madi pulang dari pengkalan dan membisikkan sesuatu ke telinga Kak Aida. Tiba-tiba Kak Aida rebah. Aku dan Abang Madi jadi kalut. Pada petangnya ketika ramai orang datang ke rumah aku baru aku tahu yang ayah sudah tiada. AYAHKU SUDAH TIADA!!! Aku meraung, menjerit, menangis sambil dipeluk oleh Kak Aida.
Ketika jasad ayah dibawa pulang, aku jadi sebak dan segala dosa aku pada ayah mula menyelubungi aku. Aku peluk ayah, aku cium dahi ayah. Kak Aida rebah lagi dan ini entah yang ke berapa. Arwah ayah dikebumikan disebelah kubur Ibu.
Sesudah selesai semuanya, Kak Aida dan Abang Madi datang padaku dan memeluk aku. Kak Aida berkata padaku, "Man, kita sudah tiada Ayah. Man kena tabah dan Ayah selalu sayangkan kita seperti mana tuhan sayangkan ayah".
Malam tu aku memegang buku rujukan yang dibeli Ayah padaku. Dengan sebak aku membukanya. Air mata sudah banyak membasahi buku itu. Mataku tertumpu pada sebuah tulisan tangan dan aku mula membacanya.
"Man, bila Man besar nanti Man mesti jadi orang yang Berjaya. Man belajarlah bersungguh-sungguh. Jangan jadi macam ayah. Man, ayah tak pernah bersekolah sebab itulah ayah tak pernah tahu membaca dan mengira. Man pasti tahu ini tulisan Kak Aida kerana Ayah jugak tak pandai menulis. Man, ayah bangga sebab Man pandai membuat layang-layang. Ayah tak pandai membuat layang-layang. Ayah sejak dari kecil sudah ke laut. Ayah nak anak-anak Ayah jadi orang yang berguna dan pandai supaya takjadi macam Ayah. Man, gunakan buku ini sebaik-baiknya kerana ini saja yang mampu ayah sediakan untuk anak-anak Ayah".
Aku menangis dan airmata ku sudah tak dapat ditahan lagi. Aku lihat Kak Aida di tepi pintu menangis sambil memandangku. Abang Madi di bawah bersama Pak Lang Hussien turut memandang aku dari luar tingkap.
"Man, Ayah sanggup ke hutan pada malam hari untuk carikan buluh untuk Man"
"Man, Ayah sanggup berbasikal ke Bandar untuk belikan buku rujukan untuk Man"
"Man, Ayah kita bukan tak pandai".
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Hari ini penerbangan aku yang pertama selaku Co-Pilot. Kak Aida dan Abang Man yang berada di hujung Airport melambai-lambaikan tangan padaku. Selama ini Kak Aida telah berkorban demi adik-adiknya. Kak Aida sanggup berhenti belajar dan menjaga kami dan jasa Ayah pada kami adalah segala-galanya. AYAHKU SEORANG YANG PANDAI. AYAHKU SEORANG YANG BIJAK.Aku menggenggam buku rujukan yang dibeli ayah untuk terbang bersama impian Ayah. Setiap yang terjadi pada waktu itu akan aku ingat sampai aku mati. Ayah, ampunkan Man.
Written by Pak Pin dan dikongsikan kembali oleh:zulkifli@lekirmai.blog
Tiada ulasan:
Catat Ulasan