ASAM garam mewarnai perjalanan hidup anak kesayangan Abu Bakar as-Siddiq, Aisyah yang terkenal dengan gelaran Ummul Mukminin. Kesempatan hidup berumahtangga dengan Rasulullah SAW dan menjadi isteri paling rapat menghasilkan sebuah peribadi mulia dalam dirinya.
Walaupun sering ditonjolkan sebagai isteri manja dan kuat cemburu, beliau adalah wanita memiliki naluri keibuan yang kental dalam mengasuh, mendidik serta mengajar ilmu Allah kepada anak saudara dan kanak-kanak di sekitar kediamannya.
Kisah Aisyah diabadikan dalam buku berkulit tebal berjudul Aisyah Ummul Mukminin oleh penulis kelahiran India, Sulaiman an-Nadawi sebagai cermin kepada wanita Islam hari ini yang berusaha mengindahkan keperibadian dan menyempurnakan kehidupan yang diambil daripada Aisyah.
Aisyah adalah sumber rujukan intelektual sahabat terkemuka. Sejarah mencatatkan sahabat banyak belajar masalah berkaitan agama dan hukum fiqah daripadanya kerana pengetahuan yang luas dalam bidang itu.
Selain itu, beliau sangat berhati-hati ketika mengulas sebarang masalah peribadi, di samping mengetahui banyak rahsia Nabi Muhammad SAW. Aisyah juga mengisahkan banyak hadis yang didengar daripada Baginda secara langsung.
Buku Aisyah Ummul Mukminin menyingkap sejarah empunya nama timangan as-Siddiqiah yang bermaksud perempuan yang berkata benar. Ada kisah menyebut nama timangannya Humaira, iaitu kemerah-merahan, tetapi Nabi Muhammad SAW lebih gemar memanggilnya Bintus-Siddiq, anak gadis lelaki berkata benar.
Sejarah hidup Aisyah yang menjadi topik mula buku ini menceritakan detik kelahiran, zaman kanak-kanak serta perkahwinannya dengan Nabi Muhammad SAW pada usia enam tahun. Pernikahan itu digambarkan begitu indah, walaupun tarikh sebenar tidak dapat dipastikan ahli sejarah.
Penceritaan dalam bahasa mudah berserta dalil daripada hadis menjadikan pembaca leka dan tidak sabar untuk mengetahui kisah selanjutnya, terutama membabitkan permulaan kehidupan kanak-kanak usia sembilan tahun menguruskan rumah tangga serta suami yang jauh lebih tua daripadanya.
Umumnya, kehidupan Aisyah adalah bukti terbaik indahnya Islam pada wanita. Syariat Islam meletakkan kedudukan wanita di tingkat yang mulia. Ingin mengetahui keistimewaan ibu kepada umat Mukmin ini, boleh mendampingi buku Aisyah Ummul Mukminin kerana banyak rahsia yang didedahkan berpandukan kepada catatan hadis dan diceritakan dengan gaya penceritaan begitu menarik sekali.
Melalui Aisyah juga banyak hak wanita diperjuangkan kerana beliau akan membantah jika ada pihak cuba merendahkan martabat wanita.
Sebagai isteri yang paling dicintai Nabi Muhammad SAW dan dicemburui isteri yang lain, Aisyah juga menaruh rasa cemburu terhadap madunya kerana masing-masing bersaing untuk mendapatkan cinta serta perhatian Baginda.
Tirmizi mencatatkan, “Aisyah mempunyai tahap pemikiran yang tinggi dan menonjol di kalangan wanita. Malah kecerdasan pemahaman serta daya fikiran yang kuat mengalahkan kebanyakan lelaki dan wanita yang hidup pada zamannya.”
Pengetahuan dimiliki Aisyah merangkumi pelbagai bidang seperti al-Quran, hadis, ilmu fiqah dan qiyas, ilmu tauhid, akidah, rahsia syariat, perubatan, sejarah, pidato serta syair. Maka tidak hairanlah jika beliau menjadi sumber rujukan para sahabat.
Umumnya, kehidupan Aisyah adalah bukti terbaik betapa indahnya Islam pada wanita. Syariat Islam meletakkan kedudukan wanita di tingkat yang mulia. Melalui Aisyah juga banyak hak wanita diperjuangkan kerana beliau akan membantah jika ada pihak cuba merendahkan martabat wanita
sumber : http://nusayba.wordpress.com/2008/08/19/aisyah-humaira/