Selasa, 9 November 2010

Merentasi Benua : Sejarah Baju Melayu



Kini pakaian tradisional kaum lelaki Melayu yakni baju Melayu sudah berusia lebih kurang 700 tahun. Ini dikira sejak Sultan Muhammad Syah (1424-1444) , memberi titah, ‘ di larang memakai cara Atas Angin (Arab termasuk China) , cara Keling(ga/gi)….’ (Sejarah Melayu). Sebaliknya apabila baginda menunaikan fardu solat Hari Raya, baginda menyarung baju Melayu (dipakai cara sarung, lengkap destar.

Tiba di masjid barulah baginda mengena jubah (pakaian Atas Angin). Dalam teks Hikayat Hang Tuah pula diperikan memakai Cara Melayu = termasuk segala peralatan pakaian kebesaran diraja ditambah dengan tingkah laku sopan yang selaras dengan pegangan Islam. Dalam sejarah melayu juga dikatakan bahawa baju melayu yang di pakai oleh rakyat melaka singkat dan sendat, tetapi seorang pembesar melayu telah memanjangkannya dan membesarkan pesaknya, maka terbentuklah baju melayu seperti sekarang. Persoalannya kenapa baju kurung Cekak Musang berhias lima butir kancing atau butang? Dua butir bertindih di cekak leher, dan diikuti dengan tiga butir di bahgian bawah (belahan).

Menurut seorang bekas budayaawan dari UKM, dari segi entnografi sosiobudaya kancing itulah lambang keharmonian rumah tangga masyarakat melayu. Dua butir bertindih di bahagian atas ibarat kerukunan diantara pasangan suami isteri = ayah ibu. Tiga butir di bawahnya melambangkan tiga orang anak mereka = sulung, tengah dan bungsu. Ini sekadar pandangan umum. Kalau anak mereka hanya satu atau lebih lima orang maka tujuh butir lah butangnya, atau sebutir seperti baju Melayu Teluk Belanga?

Sebenarnya bukan begitu. Menurut Azah Aziz (Mak Engku),
Tujuh butir untuk kalangan bangsawan atau raja di istana!
Dalam hal ini kita juga harus merujuk kepada sistem nombor, yang juga wujud dalam rekabentuk keris = berlok 3 – 11. Lok 11 ialah milik Sultan = pemerintah termasuk Ratu, lok 9 (Cik Siti Wan Kembang), lok 5 untuk bendahara dan anak-anak raja. Begitu juga tangga rumah Melayu dikira berurutan 3-9 mata. Bumbung perabung Masjid Kampung Laut 3-5 tinggat. Kajian seni rupa Melayu harus lagi merujuk kepada filsafat Nakula. Nah, disini dapat kita lihat bahawa betapa berilmu dan berseninya bangsa melayu yang sering dikatakan pelupa ini. Siapa kata orang melayu bukan bangsa filosuf. Walaupun karya filosufi kita tidak dicatatkan dengan tinta atau di cetak ia tidak bermakna kita buta falsafah.

Dalam Islam semua nombor hanya di kira dari 1- 9. Dalam kiraan ilmu keislamanan kita boleh merujuk langsung kepada 5 = rukun Islam, atau 6 Rukun Iman. Jadi setujukah anda dengan jumlah butir baju Melayu Cekak Musang mengira jumlah 5 sesuai dengan pegangan kita, Rukun Islam. Insya Allah sesuai dengan fahaman kita terutama dalam konsep Dakwah yang paling sederhana, ” Salah satu pokok da’wah itu ialah ‘HUSNUL JIWARI – iaitu pergaulan yang baik dengan tetangga dekat . Inilah yang dihurai oleh Prof Dr HAMKA (lih.Prinsip Kebijaksanaan
Da’wah Islam, Pustaka Melayu Baru, K.L.1981,hal.13).

Sekarang anda buatlah kesimpulan samaada anda masih lagi merasakan bangsa kita tidak setanding atau sehebat bangsa lain. Adakah benar seperti apa yang dikatakan oleh orientalis barat bahawa orang Melayu hanya memakai cawat dan ada yang bertelanjang. Jadi jika anda terserempak dengan seseorang di sekitar Kuala Lumpur dengan berbaju Melayu cekak musang atau teluk Belanga, janganlah anda memandang lekeh atau menghina. Berkemungkinan besar orang itu adalah saya kerana baju melayu adalah pakaian harian saya.

Sumber : http://berita-harian-online.com/sejarah-baju-melayu/