Rabu, 17 November 2010

Pameran Al-Qur'an Terpanjang Di Dunia Di Cheng Ho Expo 2010 Bernilai RM 300 Juta Dipamerkan




Buat pertama kalinya, orang ramai khususnya rakyat Kelantan dapat menyaksikan secara lebih dekat al-Quran terpanjang di dunia yang bakal dipamerkan dalam Ekspo Cheng Ho bermula 21 hingga 26 November ini.

Pameran Al-Qur'an termahal di dunia yang ditulis dengan tangan di atas tembaga bersalut emas, bernilai RM300 juta akan menjadi tarikan sempena Cheng Ho Expo 2010.

Lebih bertuah, al-Quran sepanjang 209 meter dan 1.15 meter lebar itu dipamerkan kepada orang ramai buat pertama kali setelah ia disiapkan dalam masa dua tahun dengan menggunakan kudrat 80 pekerja tempatan.

Keunikan al-Quran itu adalah beberapa tarikan utama yang bakal dipersembahkan kepada orang ramai sepanjang enam hari expo yang berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV.



Bagi tujuan itu, Sinar Harian dengan kerjasama penganjur Expo Cheng Ho dan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa melakukan lawatan ke negara China baru-baru ini bagi meninjau persiapan bakal peserta expo berkenaan sebelum ketibaan mereka 21 September ini.

Ketika ditemui di tapak Expo Dunia 2010 di Shanghai, pemilik al-Quran berkenaan, Eusof Yin berkata, pihaknya bersedia untuk ke Kelantan kerana ingin berkongsi bersama anugerah ciptaan tuhan itu.

“Al-Quran ini dibuat dari kertas yang digunting, ini merupakan seni pertukangan dari China yang sangat menarik untuk dikongsi, secara tidak langsung ia satu kerja dakwah,” katanya yang pertama kali membuka gulungan al-Quran untuk tatapan rombongan dari Kelantan ini.