Rabu, 10 November 2010

Nasihat Kepada Anak


Saya sering mengatakan kepada anak2,

“Usah menyakiti orang lain kerana, di akhirat nanti perbuatan kita itu akan dituntut oleh mereka yang kita sakiti. Kita tidak akan masuk syurga selagi kita tidak medapat maaf dari orang itu.

Tahanlah kemarahan kerana marah itu menyakitkan perasaan orang lain. Kita tidak tahu orang yang kita marahi itu mungkin orang yang dikasihi Allah. Menyakiti kekasih Allah itu buruk padahnya.

Marah itu membawa kepada sifat sombong kerana apabila kita marah, kita merasa besar dan orang yang dimarahi merasa dirinya diperkecilkan. Sombong itu selendang Allah dan Allah membenci kalau kita memakai selendang itu.

Biarlah orang lain dapat merasai nikmat kebaikan kita dan biarlah tiada sesiapa yang merasa sakit akibat dari keburukan dan kejahatan kita kecuali diri kita sendiri.

Usah takut membantu orang lain yang dalam kesusahan kerana Allah sudah menjanjikan ganjaran yang sangat besar untuk itu.

Usah merasa rugi apabila memberi kerana nikmat yang bakal dikembalikan Allah pada orang yang pemurah itu tidak ternilai harganya.

Jadikanlah diri kita seperti air sungai yang tenang. Ia mengalir lembut membawa seribu kebaikan kepada makhluk Allah yang lain. Kalau ada batu menghalang ia tetap terus mengalir mengelilingi batu dengan lembut tanpa mencederakan batu untuk menuju destinasinya. Airnya menghilangkan dahaga.

Jangan jadi seperti air laut yang sentiasa ada pasang surut. Airnya tidak mampu menghilangkan dahaga. Bila tiba waktunya akan menjadi badai yang menakutkan.”

Saya katakan kepada anak lelaki yang sedang menghitung hari menjadi lelaki bernama suami,

“Hormati wanita sebaiknya2. Jangan berkasar kerana wanita itu lembut dan kekasaran seorang suami itu amat menyakitkan. Jangan terlalu lembut kerana kelembutan yang keterlaluan tidak membantu meluruskan kehidupan seorang isteri.

Bersykurlah dengan isteri yang mempunyai nilai agama dan kemanusiaan yang tinggi kerana itu adalah ciri yang diperlukan untuk menjadi ibu yang sempurna kepada bakal zuriat. Nilai agama tanda dia beriman, nilai kemanusian tanda ia pengasih.

Kalau ibubapanya selama ini menciptakan kelembutan untuknya, jangan kita menukarnya dengan kekasaran. Ia amat menyakitkan dan tiada apa untung yang kita dapat selain penyesalan apabila sudah menjejaskan rumahtangga dan pada masa itu segalanya sudah terlambat.”

Hiduplah dengan sederhana kerana sifat bersederhana itu adalah asas kebahagian.

Letakkan diri kita dalam genggaman Allah kerana kita tidak akan mampu merasa selamat apabila terlepas dari genggaman suci itu.”

Lembutkan hati dengan

1. zikir alma’thurat

2. solat sunat

3. puasa sunat

4. sedekah

5. mengusap kepala anak yatim

6. Melihat orang yang kekurangan

Pandanglah dalam-dalam ke dalam diri,

Layakkah kita berkasar sedangkan kita dicipta oleh Yang Maha Lemah Lembut.

Layakkah kita pemarah sedangkan seharian kita memohon kepada Yang Maha Pengasih

Layakkah kita tidak memberi kepada yang memerlukan sedangkan hidup kita bergantung kepada Yang Maha Pemurah.

Mampukah kita terus melakukan dosa sedangkan Allah tidak pernah melepaskan pandanganNya dari kita.

Sumber :http://blogs.iium.edu.my/martinelli/2010/04/