Rasanya seolah2 baru semalam dipimpin ibu berjalan di permatang sawah sambil membacakan seayat demi seayat surah2 lazim untuk saya hafal. Setiap hari saya menemani ibu menjaga padi dari di makan burung. Sehinggalah suatu hari, sedang asyik bermain2 dalam bendang, kedengaran panggilan ibu, “Li, cepat balik. Kita nak bertolak petang ni. Kenderaan dah dapat”
Saya tidak menyangka itulah kali terakhir saya merasa nikmat bebas bermain di sawah padi dengan teman2 sekampung. Selepas itu bermulalah perjalanan kami bertiga, ibu, kakak dan saya mencari ayah yang tidak pernah saya temui.
Ibu sering menceritakan kisah sedihnya saat melahirkan saya tanpa kehadiran ayah . Waktu itu kakak kedua saya yang baru berumur 4 tahun pula sedang sakit tenat. Sehari selepas saya lahir, kakak meninggal dalam pangkuan nenek. Kata ibu, semasa melihat jari2 tangan kakak yang sedang memeluk leher nenek sudah menjadi biru tanda2 dia dalam nazak, ibu mendekatinya dan sempat berbisik ke telinga kakak, “Hanim, Mak relakan Hanim pergi. Tunggu mak dan abah di syurga nanti,ye” Selepas itu kakak terus menarik nafas terakhir. Ibu berusaha keras menahan perasaan kehilangan anak yang sedang lincah dan comel tanpa suami untuk berkongsi.
Hanya 9 tahun selepas itu ibu berusaha keras mencari ayah atas desakan adiknya yang tidak sanggup melihat kakaknya hidup terpisah dari suami. Jasa Om Lukman, bapa saudara saya itu amat besar sekali.
Kami memulakan jejak kasih mencari ayah dengan menumpang sebuah lori sayur. Saya masih ingat ibu membawa bekal telur rebus kesukaan saya supaya tidak lapar dalam perjalanan yang entah berapa lama akan sampai. Kami dibantu oleh seorang sepupu yang katanya boleh membantu mencari ayah. Selepas hampir seminggu, berpandukan maklumat2 kabur akhirnya kami bertemu jua dengan ayah. Bayangan seorang anak kampung seperti saya tentang ayah ialah ayah saya tinggal di kota raya Kuala Lumpur tentunya hidup mewah. Namun bayangan itu akhirnya semuanya meleset. Ayah yang kami temui amat daif sekali dengan baju pagoda berlubang2. Tetapi keseronokan mempunyai ayah di depan mata mengatasi segalanya.
Ibu membisikkan pada saya, “Kita akan terus tinggal di sini dengan abah.” Kata2 itu memulakan kehidupan kami di tengah kota Kuala Lumpur dan selepas itu kami tdak pernah pulang ke kampung selama 23 tahun. Kata2 itulah juga memulakan perubahan kehidupan ibu seorang wanita kampung yang tidak pernah tinggal dibandar. Ibu terpaksa hidup berjimat sejimat-jimatnya.
Apa yang saya lihat setiap hari biasanya menimbulkan pertanyaan dalam hati tentang erti kehidupan.
Makan malam berlaukkan telur rebus
Sewaktu ibu membelah sebiji telur rebus untuk dikongsi dengan ayah, ibu dan kakak sebagai lauk makan malam, saya bertanya dalam hati macam mana agaknya rasanya makan nasi dengan lauk pauk yang melimpah dan makan sepuasnya. Kami hanya mampu makan lauk yang terpaksa dijimatkan. Kalau ada rezeki adalah ikan bilis sebagai lauk tambahan. Hanya seekor ikan bilis untuk satu suap.
Kereta hanya milik orang kaya
Semasa memandang kawan2 dihantar ayah mereka ke sekolah menaiki kereta sedangkan saya kadang2 terpaksa berjalan kaki sejauh 5 km untuk menjimatkan belanja, saya berkata dalam hati alangkah enaknya jadi anak orang yang punya kereta. Kalau saya ada kereta saya akan duduk dan tidur dalam kereta itu.
Suatu hari seorang saudara mengajak saya bersamanya pergi jalan2 melihat kapalterbang di Subang Airport menaiki kereta Mercedes anaknya yang baru dibeli. Kerana rasa teruja untuk jalan-jalan, ibu memakaikan saya baju merah kesukaan saya dan dengan sabar menanti ketibaan kereta Mercedes yang dijanjikan. Sebaik saja saya membuka pintu kereta dan duduk, terdengar suara isteri empunya kereta menjerit “Hei, mana boleh naik ramai2 ni. Berat sangat, nanti rosak kereta ni!!”
Dengan rasa malu saya berundur sambil berkata dalam hati ”kereta mercedes tu tak boleh bawa saya sebab saya orang miskin. Orang miskin ni berat.”
Saya berlari masuk ke rumah menangis kerana malu dihalau di depan orang. Baju merah yang menyalut badan saya yang kurus melidi itu basah dengan airmata.
Menumpang menonton tv di rumah jiran
Ayah tidak mampu membeli radio atau tv. Untuk melihat jam pun pun terpaksa meninjau jam dinding jiran. Sekali seminggu ayah membenarkan saya menumpang menonton cerita melayu di tv rumah jiran, Itupun sekadar mengintai dari luar pintu rumah jiran itu. Menonton sambil berdiri sampai cerita selesai. Usah ditanya betapa siksanya berdiri sambil dihurung nyamuk. Kalau hujan, ibu menyuruh saya pakai payung. Masa itu saya berangan2 alangkah enaknya kalau ada tv di rumah sendiri dan menonton sambil berbaring dan ada kipas bertiup.
Bantuan Baitulmal Wilayah.
Suatu ketika saya menerima bantuan baju sekolah dari Baitulmal. Saya membelek-belek baju itu. Kainnya tebal dan kasar tidak sama dengan baju kawan2 lain. Sedang asyik membelek baju, cikgu memberitahu, “Martinelli, nama kamu tersenarai untuk pergi ke Masjid Negara minggu depan kerana ada jamuan untuk kanak2 miskin.”
Saya berangan2 sendiri, bagaimana agaknya rasanya punya duit yang banyak dan membelikan semua orang baju cantik dan menjamu mereka tanpa menyebut ‘jamuan untuk anak-anak miskin’.
Semasa ibu terlantar sakit hampir setahun, ayah begitu sabar melayan ibu. Waktu itulah saya berusaha sendiri mencari rezeki dengan kerja tangan yang dijual di Pasar Minggu. Ibu selalu berpesan kalau susah jangan minta pada siapapun. Saya tidak mahu ibu susah hati takut ibu tambah sakit. Oleh itu setiap kali mendapat hasil jualan saya akan tunjukkan pada ibu.
Suatu hari, semasa ayah sibuk mengurskan ibu yang sakit di hospital, seorang lelaki yang menyamar sebagai kawan ayah datang meminta saya memberikan semua lukisan ayah. Katanya ayah yang suruh. Dia menyapuh bersih semua lukisan ayah. Bila ayah pulang beliau terduduk kesedihan dengan nasib malang yang datang menimpa satu-persatu. Ayah mengusap kepala saya dan dari raut wajahnya dapat saya rasa betapa sedihnya ayah.
Dalam hati saya berkata, “Kenapalah ada orang yang sanggup menipu orang susah seperti kami?”
Monolog-monolog mencari erti hidup sering berlegar dalam kepala saya tanpa suara. Kadang2 ia menjadi angan2, kadang2 menjadi dendam. Mungkin latihan dari ibu supaya jangan mengharapkan bantuan orang dan berusaha sendiri untuk hidup membuat saya menjadi cepat matang. Monolog2 itu jugalah yang kerap saya ingat sampai sekarang kerana ia benar2 menjadi pengajaran yang amat mahal harganya.
1. Hormati orang lain termasuk anak kecil kerana kita tidak tahu apa yang kita ucap atau lakukan pada mungkin akan terlekat di hati mereka selamanya2.
2. Dalam kita berpesta makanan sehingga melimpah2 ramai lagi yang kebuluruan.
3. Kalau memberi sedekah, berikanlah juga kasih sayang dengan memberikan barang yang baik bukan barang yang buruk dan terlalu rendah kualitinya.
4. Berhati2 dengan ungkapan yang boleh menghina orang yang kita bantu seperti memberi nama acara ‘bersama anak Miskin’. ‘Orang2 Cacat penglihatan’
5. Usah kedekut. Kalau ada orang ingin merasa sedikit nikmat yang kita dapat dari Allah, ajaklah mereka berkongsi sedikit nikmat itu. Nikmat yang kita terima hanya pinjaman dari Allah dan akan diambilNya kembali bila Dia mahu.
Sabda Rsulullah saw.
Tegaknya tiang dunia dengan 4 perkara.
i. Dengan ilmu para ulama’
ii. Dengan adilnya para pemerintah
iii.Dengan kemurahan hati orang2 kaya
iv. Dengan doa sekalian orang fakir miskin
Maka sekiranya tidak adanya ulama nescaya binasalah sekian orang yang jahil. Sekiranya pemerintah tidak adil nescaya (ibarat) manusia memakan manusia lain sebagaimana harimau memakan kambing. Sekiranya tidak ada kemurahan hati orang2 kaya, nesacaya binasalah sekalian fakir miskin dan sekiranya tiada doa fakir miskin, nescaya runthlah langit dan bumi.
Maaf saya tidak dapat sumber perawi hadith itu.
sumber : http://blogs.iium.edu.my/martinelli/2009/11/