Rabu, 1 Disember 2010
Hukum Lelaki Mendengar Nyanyian Wanita Di Dalam Radio
Prof Dr Syeikh Ahmad as-Syarbadi, seorang pensyarah di Universiti al-Azhar menjawab:
Hukum mendengar suara nyanyian wanita adalah bergantung kepada keadaan suara tersebut. Sekiranya suara wanita itu suara yang lemah lembut dan menaikkan syahwat maka hukum nyanyian ini adalah haram. Hukum lelaki mendengarnya pun adalah haram kerana boleh menyebabkan terjebak dalam dosa. Ini juga kerana suara ini boleh menimbulkan godaan kepada orang lelaki.
Demikian juga sekiranya terdapat perkara yang haram dalam nyanyian tersebut maka haram nyanyian tersebut dan haram mendengarnya. Adapun sekiranya nyanyian itu seperti berikut:
Suara yang yang normal, terpelihara dari perkara yang haram, tidak ada yang lemah gemalai dan tidak menyebabkan godaan kepada lelaki.
Lirik yang baik, terpelihara dari perkara yang tidak elok dan lirik yang menggalakkan kepada perkara yang baik.
Maka tidak haram mendengarnya.
Dalam sirah Nabawiyah ada menyebut bahawa Rasulullah saw pergi ke rumah seorang sahabiah bernama Rubaie’ binti Mu’awwiz ra untuk memberi tahniah sempena perkahwinannya. Sampai di sana Nabi saw mendengar beberapa orang wanita-wanita muda memukul gendang dan mendendangkan nyanyian. Nabi saw tidak menegah mereka menyanyi sehinggalah apabila mereka menyebut lirik berikut:
((وفينا نبي يعلم ما في غد))
“Kami mempunyai Nabi yang mengetahui apa yang terjadi pada esok hari.”
Nabi saw pun bersabda:
دعي هذا وقولي ما كنت تقولين
“ Jangan sebut rangkap ini dan nyanyikanlah dengan rangkap-rangkap nyanyian yang sebelumnya.” (Hr Ibnu Hibban).
Rujukan: Bainal Fan wal Feqh oleh Rejab Abu Malih.
>