Khamis, 11 November 2010

Adab Berbicara Yang Dianggap Remeh




Kita sering marah kepada anak muda kini kerana tidak ada abab ketika berbicara dengan ibu bapa dan orang ramai. Tetapi kita lupa untuk melatih mereka supaya beradab dalam semua keadaan. Tentu tidak wajar kita terus salahkan anak-anak kita. Di sini saya senaraikan 12 adab sopan untuk kita amalkan bersama.

1. Semua pembicaraan harus berunsurkan kebaikan. Firman Allah: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka Kami akan memberi pahala yang besar.” (QS 4/114))

Firman yang lain: “Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.” (QS 23/3)

Dan dalam hadis nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa yang beriman pada ALLAH dan hari akhir maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam.” (HR Bukhari Muslim)

2. Berbicara harus jelas dan benar, sebagaimana dijelaskan dalam hadis Aisyah ra:
“Bahawasanya perkataan rasulullah s.a.w. itu selalu jelas sehingga boleh difahami oleh semua yang mendengar.” (HR Abu Daud)

3. Seimbang dan menjauhi bercakap kosong, berdasarkan sabda nabi s.a.w.:
“Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku nanti di hari Kiamat ialah orang yang banyak cakap dan berlagak dalam berbicara.

” Maka dikatakan: Wahai Rasulullah kami telah mengetahui erti al-thartharun dan mutasyaddiqun, lalu apa makna al-mutafayhiqun? Maka jawab nabi s.a.w.: “Orang yang sombong.” (HR Tirmidzi dan dihasankannya)

4. Menghindari banyak berbicara, kerana dikhuatiri boleh membosankan orang yang mendengar, sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Wa’il:
“Adalah Ibnu Mas’ud r.a sentiasa mengajar kami setiap hari Khamis, maka berkata seorang lelaki: Wahai abu Abdul Rahman (gelar Ibnu Mas’ud)!

Bolehkah anda mahu mengajar kami setiap hari? Maka jawab Ibnu Mas’ud : Sesungguhnya tidak ada yang menghalangiku memenuhi keinginanmu, hanya aku khuatir membosankan kalian, kerana aku pun pernah meminta yang demikian pada nabi s.a.w. dan baginda menjawab dikhuatiri boleh membosankan kami.” (HR Muttafaq ‘alaih)

Namun tidak salah mengulangi kata-kata yang penting jika diperlukan, daripada Anas r.a bahawa adalah nabi s.a.w. jika berbicara maka baginda mengulanginya tiga kali sehingga semua yang mendengarkannya menjadi faham, dan apabila baginda mendatangi rumah seseorang maka baginda pun mengucapkan salam tiga kali. (HR Bukhari)

5. Menghindari daripada mengucapkan yang bathil, salah berdasarkan hadis nabi s.a.w.:
“Sesungguhnya seorang hamba yang mengucapkan satu kata yang diredhai ALLAH s.w.t. akan dicatat oleh ALLAH s.w.t.

keredhaan-NYA bagi orang tersebut sehingga hari Kiamat. Dan seorang lelaki mengucapkan satu kata yang dimurkai ALLAH s.w.t. maka ALLAH s.w.t. mencatatnya yang demikian itu hingga hari Kiamat.” (HR Tirmidzi dan ia berkata hadis hasan shahih; juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

6. Menjauhi perdebatan sengit, berdasarkan hadis nabi s.a.w:
“Tidaklah sesat suatu kaum setelah mendapatkan hidayah untuk mereka, melainkan kerana terlalu banyak berdebat.” (HR Ahmad dan Tirmidzi)

Dalam hadis lain baginda bersabda:“Aku jamin rumah didasar syurga bagi yang menghindari berdebat sekalipun ia benar, dan aku jamin rumah di tengah syurga bagi yang menghindari dusta walaupun dalam bergurau, dan aku jamin rumah di puncak syurga bagi yang baik akhlaknya.” (HR Abu Daud)

7. Menjauhi kata-kata keji, mencela, melaknat, berdasarkan hadis nabi s.a.w:
“Bukanlah seorang mu’min jika suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji.” (HR Tirmidzi dengan sanad shahih)

8. Menghindari banyak bergurau, berdasarkan hadis nabi SAW:
“Sesungguhnya seburuk-buruk orang di sisi ALLAH s.w.t di hari Kiamat kelak ialah orang yang suka membuat manusia tertawa.” (HR Bukhari)

9. Menghindari menceritakan aib orang dan saling memanggil dengan gelar yang buruk, berdasarkan firman Allah: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;

dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim.” (QS 49/11)

Sabda nabi s.a.w.:
“Jika seorang menceritakan suatu hal padamu lalu ia pergi, maka ceritanya itu menjadi amanah bagimu untuk menjaganya.” (HR Abu Daud dan Tirmidzi dan ia menghasankannya)

10. Menghindari dusta, berdasarkan hadis nabi s.a.w.:
“Tanda-tanda munafik itu ada tiga, jika ia bicara berdusta, jika ia berjanji mengingkari dan jika diberi amanah ia khianat.” (HR Bukhari)

11. Menghindari ghibah dan mengadu domba, berdasarkan hadis nabi s.a.w:
“Janganlah kalian saling mendengki, dan janganlah kalian saling membenci, dan janganlah kalian saling berkata-kata keji, dan janganlah kalian saling menghindari, dan janganlah kalian saling meng-ghibbah satu dengan yang lain, dan jadilah hamba-hamba ALLAH yang bersaudara.” (HR Muttafaq ‘alaih)

12. Berhati-hati dan adil dalam memuji, berdasarkan hadis nabi s.a.w. daripada Abdur Rahman bin abi Bakrah daripada bapaknya berkata:

“Ada seorang yang memuji orang lain di depan orang tersebut, maka kata nabi s.a.w: ‘Celaka kamu, kamu telah mencelakakan saudaramu! Kamu telah mencelakakan saudaramu!” (dua kali), lalu kata baginda s.a.w.:

“Jika ada seseorang ingin memuji orang lain di depannya maka katakanlah: Cukuplah si fulan, semoga ALLAH mencukupkannya, kami tidak mensucikan seorangpun disisi ALLAH, lalu barulah katakan sesuai kenyataannya.” (HR Muttafaq ‘alaih dan ini adalah lafzh Muslim)

Dan dari Mujahid dari Abu Ma’mar berkata: “Berdiri seseorang memuji seorang di depan Miqdad bin Aswad secara berlebih-lebihan, maka Miqdad mengambil pasir dan menaburkannya di wajah orang itu, lalu berkata: Nabi s.a.w. memerintahkan kami untuk menaburkan pasir di wajah orang yang gemar memuji.” (HR Muslim).


Sumber : Drs Khalid Idham Lim