Khamis, 7 Oktober 2010

TERLAMPAU BANYAK CAKAP

Terlampau banyak cakap ialah terlalu sangat suka dan gemar kepada bercakap
-cakap dalam perkara-perkara yang sia-sia yang tidak mendatangkan kebajikan.
Adalah terlampau banyak cakap di cela oleh syarak seperti firman Allah s.w.t.:
                  “Tidak berkebajikan pada kebanyakan cakap- cakap mereka melainkan percakapan orang yang menyuruh berbuat sedekah, atau menyuruh berbuat kebajikan atau mendamaikan di antara manusia.” (Surah an-Nisa: 114).

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Barang siapa beriman kepada Allah dan percayakan Hari Kiamat maka hendaklah ia bercakap dalam perkara yang berkebajikan, atau hendaklah ia diam.”

“Barang siapa banyak cakapnya maka banyak jatuhnya (salahnya) maka banyak dosanya, dan barangsiapa banyak dosanya maka neraka lebih utama baginya.”

Percakapan yang banyak mengenai perkara yang berkebajikan, melarang orang berbuat kejahatan, maka ia tidaklah tercela, bahkan ia adalah terpuji kerana ia disuruh oleh syarak.

Oleh Hj. Mohd. Zain bin Haj. Seruddin.
B.A.. al-Azhar.






 
21042002 – 1445.

“Allah Yang Menjadikan Mati Dan Hidup, Untuk Mencuba Siapa Di Antara Kamu Yang Paling Beramal.”
(al-Mulk: 2)





Sombong Dan Laknat Allah.

BONGKAK dan sombong menutup pintu kemuliaan dan membuka pintu kekejian. Kerana ia menjadikan seseorang itu enggan menerima nasihat dan tidak mahu bergaul secara baik dengan orang lain.

Allah memurkai orang seperti ini dan tidak akan memberi petunjuk kepada mereka. FirmanNya: “Aku akan palingkan dari tanda-tanda kebesaran Ku mereka yang bersikap takabur dibumi secara tidak hak.”

Mengikut ayat berkenaan, manusia sebenarnya tidak mempunyai hak langsung untuk bersifat takbur kerana ia hanya sifat Allah dan kalau mereka bersifat bagitu Allah tidak akan memberi petunjuk kepada mereka.

Malah dalam ayat yang lain pula Allah memperingatkan bahawa orang-orang yang bersifat takbur itu tidak mempunyai kedudukan dihari akhirat nanti. Firman Allah:”Itulah hari akhirat yang telah kami jadikan kepada mereka yang tidak inginkan kesombongan dibumi dan tidak sukakan keburukan.”

Dalam ayat berkenaan Allah menyamakan sikap takbur itu dengan perbuatan jahat. Begitu juga Rasulullah s.a.w. memperingatkan bahawa orang-orang sperti itu tidak akan masuk syurga. Sabda baginda: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar bijian sifat takbur.”

Antara sifat-sifat bongkak dan sombong ialah membesarkan diri. Apabila Ali Ibn Abi Talib r.a. dan Uqbah Ibn Muit masing-masing mengangkat diri sendiri Allah menegur mereka dengan mengatakan perlakuan seperti itu bukan sikap orang Mukmin, tetapi sebaliknya sikap orang-orang fasik. Firman Allah: “Apakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidak sama.”

Sehubungan dengan ini Rasulullah juga bersabda: “Aku adalah ketua bagi semua anak cucu Adam, tetapi tak perlu meninggikan diri.”

Allah juga menolak sikap berbangga dengan keturunan. Firman Allah: “Sesungguhnya yang paling mulia sekali dari kamu ialah yang paling bertakwa.”

Ayat berkenaan adalah penegasan kepada huraian yang sebelumnya mengenai kepelbagaian banmgsa dan keturunan.

Rasulullah juga menegaskan hakikat yang sama. Sabda baginda: “Nabi kamu semua hanyalah satu dan bapa kamu semua hanyalah satu. Sesungguhnya  tidak ada kelebihan orang Arab atas bukan Arab dan tidak ada kelebihan orang putih atas orang hitam kecuali berasaskan ketakwaan.”

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi: “Sesiapa yang mengheret hujung pakaiannya dengan rasa bangga Allah tidak akan melihat kepadanya.”

Kata Ahnaf Ibn Qais: “Kebanggan seseorang itu sebenarnya lahir dari kehinaan dalam dirinya sendiri.”

Apabila anak al-Mahlab berjalan dihadapan Malik Ibn Dinar dengan penuh bangga, kata Malik: “Wahai anak ku, kalau kamu buangkan sifat menunjuk-nunjuk itu tentu kamu kelihatan lebih cantik.”  Jawab pemuda itu: “Tidakkah kamu mengenali aku?”  Jawab Malik: “Lebih dari kenal. Kamu bermula sebagai mani yang hanyir dan berakhir sebagai bangkai yang kotor. Dan antara dua titik itu kamu menjunjung ubun-ubun.  Pemuda itu lalu menundukkan kepalanya.

Kata Sufian Ibn Uyainah: “Sesiapa yang terjerumus dalam maksiat kerana nafsu syahwat dia mungkin boleh terlepas dengan taubat. Kerana Adam a.s. pernah menderhaka kepada Tuhan atas dorongan nafsu tetapi kemudiannya Tuhan mengampunkannya. Tetapi kalau maksiat seseorang itu berlaku atas dorongan rasa sombong, besar kemungkinan dia akan dilaknat. Kerana iblis telah menderhaka kepada Tuhan kerana takbur lalu dia dilaknat.
Oleh: Prof.Madya Mahmood Zuhdi.

Merasa puas dengan diri sendiri, sangkanya diri itu sudah sangat cukup sempurna,
Lupa akan kekurangan diri dan ingat kekurangan orang lain.
Menjalar pula kedalam dirinya menyangka bahawa segala sesuatu tidak akan sempurna kalau ia tidak ada.
Sebenarnya ia pun tidak sempurna kalau tidak dengan orang lain.
Janganlah kita menghargakan diri sendiri dan lupa kekurangannya.
Laksana lada yang mendakwakan pedasnya,
Garam mendakwakan masinnya,
Cuka yang mendakwakan masamnya,
Ikan yang mendakwakan sedapnya.
Adalah kepedasan, kemasinan, kemasaman dan kesedapan itu,
Setelah dikumpulkan didalam satu belanga, dimasak oleh tangan yang ahli, barulah jadi makanan yang enak.
Oleh: Prof.Dr.HAMKA.