Jumaat, 29 Oktober 2010

Jenis-jenis Cinta dalam Islam (antaranya syirkul Mahabbah)





Cinta ini mengasyikkan sehingga si Majnun melupakan dirinya dan asyik mengingati kekasihnya laila. Dia berkata dalam rangkap syairnya:

“ Aku cuba untuk melupakan untuk mengingatinya tetapi seolah-olah
Laila menjelma dalam diriku pada setiap keadaan”

Setiap manusia ada benda yang dicintainya samada wanita, harta, tahkta, dunia, dirinya dan sebagainya. Kita hendak lihat ditahap mana cinta kita. Di bawah ulama telah menggariskan lima jenis cinta.

LIMA JENIS CINTA

Lima jenis cinta adalah seperti berikut:

PERTAMA: Cinta kepada Allah swt. Cinta Allah sahaja tidak cukup untuk bebas dari azab Allah swt kerana orang-orang musyrikin dan penyembah berhala juga mencintai Allah swt. Mereka mempunyai jenis cinta yang keempat iaitu syirkul mahabbah.

KEDUA: Menyintai apa yang Allah cintai. Inilah yang membezakan diantara orang Islam dan orang kafir. Orang yang paling disayangi oleh Allah adalah orang yang paling kuat cinta jenis ini. Apa yang dicintai oleh Allah swt adalah begitu banyak disebut dalam al-Quran dan hadis Rasulullah saw. Antaranya yang disebut dalam al-Quran adalah:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”

Ayat 4 surah as-Saff.

Ada lapan golongan yang dikasihi Allah seperti dalam al-Quran iaitu 1. Al-Muttaqun. 2. Al-Muhsinun. 3. As-Sabirun. 4. At-Tawwabun. 5. Al-Mutatahhirun. 6. Al-Mutawakkilun. 7. Al-Muqsitun 8. Al-Muqatilun fi sabilillah. InsyaAllah saya akan terangkan dalam artikel akan datang.

Adapun perkara yang dikasihi Allah swt dalam hadis adalah seperti berikut:

“ Seseiapa yang cinta untuk bertemu dengan tuhan , Allah juga cinta untuk menemuinya.”

Hadis sahih Bukhari (2443)

Allah swt berfirman dalam hadis qudsi:

“ Tidak ada perkara yang lebih mendekatkan hambaku denganku daripada kefarduan yang aku fardukan kepadanya. Hambaku sentiasa mendekatkan diriku dengan amalan-amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya.”

Hadis sahih riwayat Bukhari (6137)

KETIGA: Menyintai sesuatu kerana Allah swt.

Nabi saw bersabda:

“ Sesiapa yang menyintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menegah kerana Allah sesungguhnya telah sempurna imannya.”

Hadis riwayat Tirmizi (2521), Abu Daud, Ahmad dan Hakim dengan sanad yang hasan.

Nabi saw juga bersabda:

“ Tidak ada dua orang lelaki berkasih sayang kerana Allah melainkan yang terbaik diantara keduanya adalah yang paling mengasihi saudaranya.”

Hadis riwayat Hakim dan diakui oleh zahabi akan kesahihannya.

KEEMPAT: Cinta sekutu (partnership love) atau syirkul mahabbah

Setiap benda yang dicintai bukan kerana Allah dan bukan diperintah oleh Allah maka dia telah mensyirikkan cinta. Ramai yang menyintai Allah , tapi dalam masa yang sama dia menyintai benda lain bukannya kerana Allah. Inilah yang dirakamkan dalam al-Quran:

“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah.”

Ayat 165 surah al-Baqarah

KELIMA: Cinta yang semula jadi.

Inilah yang disebut oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).”

Ayat 14 surah Ali Imran

Imam Ibnu Qayyim berkata:

“ Cinta ini tidak dicela kecuali sekiranya melalaikan dari mengingati Allah dan menjauhkan dari cintaNya.”

Firman Allah swt:

"Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi."

Ayat 9 surah al-Munafiqun.

Diari Wanita Solehah




Wanita Solehah ibarat sekuntum bunga yang harum yang telah di jaga dan di pelihara dengan baik. Perjalanan harian kehidupannya penuh dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Sentiasa menjaga kehormatan diri, menutup aurat, cukup berhati-hati di dalam percakapan, pergaulan dan tidak menimbulkan fitnah dan syak wasangka.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah."
(Hadis Riwayat Muslim)

Wanita Solehah adalah mereka yang berilmu, cerdik dan pintar. Setiap hari mendalami Ilmu Islam, mengkaji tafsir Al- Quran, hadis Nabi, memahami ilmu realiti semasa dan tahu cara-cara mengubati penyakit masyarakat. Di malam hari menjadi seorang abid, membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, sembahyang tahajjud dan berdoa kepada Allah hingga menitiskan air mata.

Wanita Solehah sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari kemurkaan Allah s.w.t., bersedia menjadi isteri yang taat kepada suami, berfikiran positif terhadap poligami dan bersedia berkongsi kasih sayang jika di takdirkan berlaku di dalam rumah tangga.Menjaga kehormatan diri, menjaga harta suami dan meneruskan proses tarbiyyah keatas anak-anak ketika ketiadaan suami di rumah.

Wanita Solehah juga pandai mengemas dan menghias rumah. Pandai menguruskan perbelanjaan keluarga dengan berjimat cermat dan tidak boros. Pandai mengambil hati suami dan anak-anak dan tahu menyediakan menu makanan yang berhasiat untuk keluarga dan berkemahiran menjahit pakaian.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian melintasi lelaki, agar mereka tercium bau harumnya, maka dia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandangnya itu adalah zina"

"Perempuan yang melabuhkan pakaiannya dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan muhrimnya) adalah seumpama gelap gelita di hari qiamat, tiada nur baginya."

Wanita Solehah mestilah melengkapkan diri dengan ilmu akademik, sains dan teknologi, kedoktoran, kejururawatan dan pendidikan.Ilmu-ilmu ini amat penting untuk pembangunan masyarakat Islam yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah.Kedoktoran dan kejururawatan amat di perlukan untuk merawat pesakit-pesakit terutama wanita Islam.

Bidang pendidikan pula amat di perlukan untuk mendidik generasi baru umat Islam kearah melahirkan satu generasi seperti generasi sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.

Wanita Solehah bersedia menjadi ibu mithali mendidik anak-anak hingga menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Sentiasa meniupkan semangat jihad, menanamkan asas-asas Islam dan aqidah Islam dalam jiwa anak-anaknya.

Bersabar menghadapi keranah anak-anak dan sentiasa mengujudkan biah solehah di dalam rumah hingga menjadi "rumahku, syurgaku". Dari sinilah akan melahirkan Baitul Muslim dan seterusnya masyarakat Islam dan Daulah Islamiyyah.

Wanita Solehah bukan sahaja menjadi isteri dan ibu solehah tetapi dia juga menjadi murabbi dan da'ie. Sentiasa sebuk menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah untuk mengajak para wanita lain agar mereka bersama-sama menjadi wanita-wanita yang benar-benar beriman kepada Allah s.w.t.

"Sesungguhnya tangan yang menghayun buayan ini boleh mengoncang dunia"

Tanda-Tanda Isteri Yang Derhaka





Apabila telah bergelar suami dan isteri maka ketika itu masing-masing mempunyai tugas dan tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Suami bertanggungjawab untuk memberi nafkah secukupnya, mendidik isteri dan anak-anaknya supaya sentiasa mentaati Allah s.w.t. dan beramal dengan Islam. Isteri pula bertanggungjawab mentaati dan menghormati suami dan menjaga kehormatan diri ketika ketiadaan suami dirumah dan melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anaknya dengan didikan Islam.


Sahabat yang dimuliakan,

Kita jangan keliru, apabila wanita disebut sebagai isteri, bukanlah untuk merendahkan taraf wanita itu. Ia adalah sebagai suatu jaminan hak supaya mereka itu dipelihara, dilindungi dan dibela dengan baik oleh suami.

Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka.


Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha bermaksud:

"Aku pernah bertanya kepada Baginda: "Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?" Baginda menjawab:"Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya". Kemudian aku bertanya lagi :"Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?" Baginda menjawab:"Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya."
(Hadis Riwayat Bazar dan al-Hakim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula Nabi s.a.w. bersabda bermaksud: "Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya."

(Hadis Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban)

Jika ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu hanya membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian itu dikhuatiri termasuk di dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.


Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya. Berikut diketengahkan antara ciri atau tanda isteri derhaka:


1.Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami


Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Aku lihat api Neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli Neraka ialah wanita. Rasullullah s.a.w. ditanya: "Mengapa demikian ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup."

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w.bersabda bermaksud:

"Kebanyakan ahli Neraka adalah terdiri daripada kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?" Baginda menjawab : "Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Ibnu ‘Asakir pula menyebut: "Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya."


Para isteri kena ingat bahawa tidak ada alasan yang kukuh untuk isteri menderhakai suaminya jika suaminya miskin dan tidak berharta atau memberi perbelanjaan yang tidak mencukupi. Dalam keluarga Saidatina Fatimah Azzahrah anak Rasulullah s.a.w. sentiasa kekurangan dalam perbelanjaan keluarga kerana kemiskinan Sayyidina Ali k.w. keadaan ini tidak membuat Saidatina Fatimah menderhakai suaminya. Isteri perlu bersabar dan mencari jalan untuk mengatasi masaalah tersebut.


2. Menyakiti hati suami.


Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: " Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami."

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

3.Puasa sunat tanpa keizinan suami.


Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya : "Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4.Keluar rumah tanpa izin suami.


"Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali."

(Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)

5.Meminta cerai daripada suami.


Sabda Rasulallah s.a.w. bermaksud:

"Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syara’ haram baginya bau Syurga."
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

6.Isteri yang tidak menunaikan hajat suami


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

7.Mendedahkan keaifan suaminya pada orang lain :


Isteri yang suka mendedahkan keaifan suaminya pada bukan mahramnya adalah satu sifat yang keji dan di murkai Allah s.w.t. Maruah suami perlu dijaga dan tidak boleh dijaja kesana kesini untuk mencari simpati orang lain. Tetapi sekiranya tujuannya murni untuk membaiki akhlak suaminya dan membaiki keluarganya maka perlulah dirujuk dengan alim ulama' yang mempunyai autoriti seperti pejabat kadi dan kaunsiling dengan tujuan mencari penyelesaian secara baik.


Demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ianya akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya kaum isteri.


Para isteri janganlah berfikiran singkat untuk menderhakai suaminya hanya dengan perkara kecil dan masaalah remeh temeh. Apakah kalian sanggup tergolongan dikalangan para isteri derhaka yang akan memasuki Neraka? Apakah disebabkan masalah duniawi yg kecil contoh giliran balik kampung berhari raya, suami balik lewat, tak dapat membeli barang idaman atau perhiasan boleh menjadi pergaduhan besar hingga berlaku cerai berai dalam rumah tangga? Ingatlah! hidup di dunia hanyalah sementara dan kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi, bersabarlah dengan masaalah di dunia ini untuk mendapat balasan dan ganjaran yang besar di hari akhirat nanti.


Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Seorang perempuan yang beriman kepada Allah tidak halal mengizinkan orang yang dibenci suaminya memasuki ke rumahnya, tidak boleh keluar jika suaminya tidak menyukainya, tidak boleh mentaati seorang pun di rumah suaminya (kecuali suaminya), tidak boleh meninggalkan tempat tidurnya dan tidak boleh memukul suaminya. Jika suaminya berlaku zalim kepadanya, hendaklah ia tetap di sisi suaminya sehingga ia dapat menjadikan suaminya senang. Jika suaminya mahu menerimanya hal itu sangat menguntungkan dirinya dan Allah pun akan menerima alasannya, memenangkannya dan dia tidak berdosa sedikit pun. Sekiranya suaminya tetap tidak meredhainya, sesungguhnya alasannya di sisi Allah tetaplah kuat.”
(Hadis Riwayat Hakim)

Disediakan oleh : Abu Basyer

Cara-Cara Menguruskan Jenazah



CARA-CARA PENGURUSAN MAYAT
(memandi, mengapan, sembahyang dan kebumi)


Risalah kecil ini datang menemui saudara kaum muslimin bagi menjelaskan cara-cara urusan fardhu kifayah yang mesti disempurnakan oleh orang-orang Islam terhadap seseorang Islam yang telah mati sama ada kecil atau besar, lelaki maupun perempuan, kita sedia maklum dan percaya setiap yang hidup pasti akan berkesudahan dengan mati . Firman Allah SWT :

Ertinya : Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawa pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan amalan kamu, ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.

Hidup lawannya mati, selepas mati kemudian manusia akan dibangkit hidup semula pada hari kiamat bagi menerima balasan di atas segala amalan dan perbuatannya di dunia ini.

Sabda Nabi SAW :

عن عرو بن ميمون الأودي , رضي الله عنه , قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لرجل وهو يعظه إغتنم خمسا قبل خمس , شبابك قبل هرمك , وصحتك قيل سقمك , وغناك قبل فقرك , وفراغك قبل شغلك , وحياتك قبل قومك .

Ertinya : Daripada Amru Bin Maimun Al-Aidi R.A, katanya Rasulullah S.A.W ada bersabda kepada seorang, menasihatkannya : "Rebutlah peluang lima keadaan sebelum datangnya keadaan yang lain, keadaan mudamu sebelum datang keadaan tuamu dan keadaan sihatmu sebelum datangnya keadaan sakitmu, dan keadaan berada (kaya)mu sebelum datangnya keadaan fakir (berhajat)mu dan keadaan lapangmu sebelum datangnya keadaan sibukmu, dan keadaanmu masih hidup sebelum datangnya matimu. (hadis riwayat At-tirmizi).

Dan Sabda Nabi SAW lagi :

اكيس الناس اكثرهم ذكر الموت واشدهم استعدادا له اولئكهم الاكياس , ذهبوا بشرف الدنيا وكرامة الأخرة .

Ertinya : Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada mati serta yang terbanyak persiapannya untuk menghadapi mati itu, mereka itu ialah orang-orang yang benar-benar cerdik. Dan mereka akan pergi ke alam akhirat (alam baqa') dalam keadaan mulia di dunia dan membawa iman dan amalan yang akan memberi kemuliaan di akhirat (beramal sempurna untuk mendapat balasan di akhirat tanpa meninggal nikmatnya di dunia).

PERKARA-PERKARA YANG WAJIB TERHADAP ORANG MATI

Perkara-perkara yang wajib terhadap orang mati (fardu kifayah) empat perkara :

  1. Memandikan mayat.
  2. Mengapankannya.
  3. Sembahyang ke atasnya.
  4. Mengebumikannya.

1. Memandikan Mayat

Salah satu daripada mandi yang diwajibkan ialah memandikan mayat dan adalah fardu kifayah dan disyaratkan :

1. Mayat itu mayat orang Islam.

2. Mayat itu ada tubuh walau sedikit sekalipun.

3. Mayat itu bukan mati syahid ma'rakah.

Cara Memandikan Mayat

Sebelum seorang mayat dimandikan perlu disediakan lebih dahulu beberapa perkara supaya setelah dimandikan dapat di kapan kemudian di sembahyang dan dibawa ke kubur untuk disemadikan (dikebumikan) tanpa kelengahan lagi itu :

  1. Disediakan air mutlak secukupnya.
  2. Air daun bidara atau sabun mandi.
  3. Air kapur baruh. Ketiga perkara ini alat untuk memandikan mayat.
  4. Kain kapan secukupnya.
  5. Kapas satu bungkus.
  6. Air mawar.
  7. Serbuk pewangi (debu kayu gaharu atau lainnya).
  8. Pengusung mayat (keranda).
  9. Kayu tudung liang lahad atau lung.
  10. Kain untuk tudung keranda atau pengusung untuk diusung ke kubur.
  11. Ugupan (kemenyan) dan bekas bara api.

Setelah semua perkara di atas sudah ada dan orang yang hendak sembahyang pun ada, mayat dibawa masuk ke bilik mandi atau di mana-mana tempat yang sesuai untuk dimandikan mayat, mula-mula :

  1. Disalinkan pakaiannya (pakaian-pakaian basahan).
  2. Diletakkan di atas tempat tinggi atau di riba oleh keluarganya. Dan orang yang memandikan mayat seelok-eloknya memakai sarung tangan.
  3. Dibersihkan najis pada tubuh jika ada.
  4. Dihilangkan perkara yang menegah sampai air ke seluruh badannya.
  5. Diangkatkan sebelah atas tubuhnya (sebelah kepala) dan disandarkan punggungnya ke paha atau sesuatu. Dan diurutkan atas perutnya kemudian ditekan sedikit dengan perlahan-lahan supaya keluar kekotoran yang patut keluar dari duburnya (Nguwam) kemudian dibasuh duburnya seperti biasa.
  6. Mayat ditelentangkan, dimandikan dengan air mutlak meratakan tubuhnya dan digosok, seperti mandi wajib daripada janabat, haid atau sebagainya, supaya meratai air ke seluruh badan termasuk celah-celah paha. Lipatan-lipatan dan sebagainya.
  7. Disugikan mulutnya dengan benda lembut seperti kain putih yang disediakan khas baginya dan dicungkilkan di celah-celah kuku jika perlu, dan diselati celah-celah jari atau janggutnya jika ada dan perlu disisir rambutnya.
  8. Kemudian dibalik badannya sebelah kanan ke atas sebelah kiri ke bawah dicucur air mutlak, digosok-gosok dan dicucur air hingga rata.
  9. Dibalik pula tubuhnya. Supaya sebelah kiri ke atas dan sebelah kanan ke bawah dan dicucuri air supaya meratakan semua tubuhnya. Semasa melintang, menyenggeng hendaklah digosok tubuhnya supaya hilang segala kekotoran dan disertakan dengan air daun bidara atau kapur baruh atau sabun bagi memudahkan hilang kekotoran daki jika ada.

Sekali rata semua tubuh sekali. Kemudian dicucur lagi hingga tiga kali rata air rata, kemudian dicucur air daun bidara diakhiri dengan air kapur baruh (semolek-moleknya 3 kali).

Orang yang berhak memandikan mayat

Orang yang lebih utama memandikan mayat ialah keluarganya (warisnya) yang terdekat jika ia pandai memandikan mayat, jika tidak keluarganya yang lebih dan beramanah walau macam mana sekalipun mayat lelaki hendaklah dimandikan oleh orang lelaki atau isterinya atau orang yang haram nikah dengan si mati, begitu juga mayat wanita hendaklah dimandikan oleh wanita atau suaminya atau orang yang haram nikah dengannya.

Jika ketiadaan mereka-mereka seperti ini ditayamumkan sahaja, seperti mayat perempuan tidak ada orang perempuan atau suaminya atau mahramnya begitu juga sebaliknya.

Setelah selesai mandi disalin kain basahan itu dan dilapkan tubuhnya dengan kain yang bersih.

Semasa menukar pakaian dan semasa memandikan, wajib dijaga jangan terbuka auratnya dan di tempat memandikan mayat sama ada bilik atau tidak hanya orang yang perlu sahaja boleh masuk kerana jaga aurat si mati dan seorang kerabatnya yang terdekat.

Sifat-sifat yang mesti ada pada seseorang yang hendak menguruskan Jenazah

  1. Sifat berani.

  2. Sabar.

  3. Amanah.

  4. Mempunyai kemahiran dan ilmu yang cukup.


2. Fardu Kifayah yang kedua terhadap mayat orang Islam ialah kapan.

Setelah selesai dimandikan dan disalin kainnya dengan kain yang bersih mayat dikapankan iaitu :

  1. Kain kapan telah disediakan, yang wajibnya selapis bagi lelaki dan perempuan. Dan afdal bagi lelaki tiga lapis bungkus lepuk (tanpa baju dan serban) menggunakan kain kapan berwarna putih menutup seluruh badannya dan salah satu daripadanya kain pakai atau tiga lapis selain daripada kain pakai dan boleh dipakai baju dan serban dengan dua lapis kain kapan yang lain.

Manakala bagi mayat perempuan afdal lima lapis iaitu kain pakai di pinggang, baju, telekung atau kain tudung kepala dan dua lapis kain kapan yang lain menutup semua tubuhnya (badan mayat).

  1. Kain kapan dihampar sehelai demi sehelai dan ditaburkan di atasnya dengan serbuk pewangi seperti debu kayu gaharu atau kapur baruh atau sebagainya dialas di atas kain kapan dengan kapas dan direnjis air mawar atau sebagainya.
  1. Mayat lelaki dipakai kain lebih dahulu baru diletak di atas kain kapan tersebut, kedua tangan mayat diletak ke atas badannya, tangan kanan diletak di atas di atas tangan kirinya seperti semasa kiam sembahyang atau kedua-dua tangannya diluruskan menurut badannya.

Dan bagi mayat perempuan dipakai kainnya, bajunya lebih dahulu kemudian baru diletak di atas kain kapan yang terhampir itu. Tangannya diletak sama seperti lelaki juga kemudian dipakai telekung atau kain tudung kepala.

  1. Kapas digunakan untuk menutup lipatan-lipatan badan, sendi-sendi dan muka si mati sebelum dibungkus dengan kain kapan.
  1. Kain kapan hendaklah ditutup (dibalut tubuh si mati) selapis demi selapis kemudian diikat dengan tali daripada kain putih juga jika ada supaya tidak terbuka. Sebaik-baik ikatan lima ikatan ; di bahu, di punggung, di betis, di hujung kepala dan hujung kaki. Ikatan itu dibuka semasa hendak dikebumikan dan setelah dimasukkan ke dalam kubur.

3. Fardu Kifayah yang Ketiga

Fardu kifayah yang ketiga wajib dilakukan ke atas mayat orang Islam ialah sembahyang iaitu setelah selesai kapan, mayat diletakkan di tempat yang suci atau di dalam usungan. Jika mayat lelaki kepalanya di sebelah kiri orang yang hendak sembahyang ke atasnya, dan kakinya di sebelah kanan mereka tersebut.

Dan jika mayat perempuan adalah sebaliknya dan diletak terlentang melintang kiblat di sebelah hadapan. Orang hendak sembahyang ke atasnya dan ditudung dengan kain yang bersih.

Rukun Sembahyang Mayat

Rukun sembahyang mayat tujuh perkara :

  1. Niat sembahyang ke atas mayat.
  2. Takbir Allahuakbar empat kali.
  3. Berdiri betul bagi orang yang berkuasa.
  4. Membaca Al-Fatihah selepas Takbiratul Ihram.
  5. Berselawat ke atas Nabi SAW selepas takbir kali yang kedua.
  6. Doa bagi si mati selepas takbir yang ketiga.
  7. Memberi salam "Assalamualaikum warahmatullah" selepas takbir yang keempat.

Cara-cara sembahyang ke atas mayat

Mula-mula berdiri betul dan bertakbiratul Ihram "Allahuakbar" disertakan dengan niat iaitu jika mayat orang lelaki :

أُصَلِّي عَلَى هَذَا الْمَيِّتِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ ِللهِ تَعَالَى

Ertinya : Sengaja aku sembahyang di atas ini mayat lelaki empat takbir kerana Allah Taala.

Jika mayat perempuan dewasa lafaz niatnya :

أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ الْمَيِّتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ ِللهِ تَعَالَى

Ertinya : Sengaja aku sembahyang di atas ini mayat perempuan empat takbir kerana Allah Taala.

Dan lafaz niat bagi mayat kanak-kanak lelaki :

أُصَلِّي عَلَى هَذَا الْمَيِّتِ الطِّفْلِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ ِللهِ تَعَالَى

Ertinya : Sengaja aku sembahyang di atas ini mayat kanak-kanak lelaki empat takbir kerana Allah Taala.

Dan jika mayat kanak-kanak perempuan lafaz niatnya :

أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ الْطِّفْلَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ ِللهِ تَعَالَى

Ertinya : Sengaja aku sembahyang di atas ini mayat kanak-kanak perempuan empat takbir kerana Allah Taala.

Dan lafaz niat bagi sembahyang mayat yang ghaib :

أُصَلِّي عَلَى مَيِّتِ فُلاَنٍ بْنِ فُلاَنٍ الْغَائِبِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ ِللهِ تَعَالَى

Ertinya : Sengaja aku sembahyang mayat si anu anak si anu yang ghaib empat takbir kerana Allah Taala.

Jika mayat ghaib itu perempuan :

أُصَلِّي عَلَى مَيِّتَةِ فُلاَنَةٍ بْنِت فُلاَنٍ الْغَائِبَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ ِللهِ تَعَالَى

Ertinya : Sengaja aku sembahyang mayat si anu anak perempuan si anu yang ghaib empat takbir kerana Allah Taala.

Semua lafaz ini bagi sembahyang berseorangan, jika berimam sebut jadi imam atau mengikut imam mana yang berkenaan.

(اِمَامًا ِللهِ تَعَالَى)

Atau

(مَأْمُوْمًا ِللهِ تَعَالَى)

Jika mayat yang hadir itu ramai, lafaz niatnya :

أُصَلِّي عَلَى هَؤُلاَءِ الأَمْوَاِتِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ ِللهِ تَعَالَى

Ertinya : Sengaja aku sembahyang di atas semua mayat ini empat takbir kerana Allah taala.

Jika seorang diri tetapi jika berimam sama seperti lafaz di atas tadi menyebut imam atau mengikut imam.

Selepas takbiratul Ihram baca surah Al-Fatihah dari awal hingga akhirnya, setelah habis Fatihah takbir kali yang kedua "Allahuakbar"

Selepas takbir ini berselawat ke atas Nabi SAW iaitu seperti :

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Dan sunat ditambah

كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْم وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ , وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ فِيْ الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَّجِيْدٌ .

Kemudian takbir kali yang ketiga, selepas takbir ini baca dengan doa bagi mayat seperti:

اللّهُمّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ. وَاعْفُ عَنْهُ.

Dan sunat menambah

وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ. وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ. وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثّلْجِ وَالْبَرَدِ, وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ. وَأَبْدِلْهُ دَاراً خَيْراً مِنْ دَارِهِ. وَأَهْلاً خَيْراً مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجَاً خَيْراً مِنْ زَوْجِهِ. وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَتِهِ وَ مِنْ عَذَابِ النَّارِ .

Ertinya : Ya Allah ampunilah baginya dan muliakanlah tempatnya dan lapangkanlah tempat masuknya (di dalam kubur) dan mandikanlah dia dengan air salji dan air dingin (embun) dan bersihkanlah dia daripada kesalahan (dosa) seperti dibersihkan kain putih daripada kekotoran dan gantikanlah tempat yang lebih baik daripada tempat tinggalnya dan ahli (keluarga) yang lebih baik daripada ahlinya dan sahabat yang lebih baik daripada sahabatnya dan masukkanlah dia ke dalam syurga dan lindungkan dia daripada seksa kubur dan seksa neraka.

Ini lafaz doa bagi mayat lelaki jika perempuan semua ha' dhomir ditukar kepada haa seperti :

اللّهُمّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا. وَاعْفُ عَنْهَا

Dan seterusnya kecuali :

وَفِتْنَتِهِ

Dikekalkan hi berbaris di bawah iaitu :

وَأَعِذْهَا مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَتِهِ وَ مِنْ عَذَابِ النَّارِ

Dan jika mayat kanak-kanak lelaki doanya :

اَللَّهُمَّ اجْعَلْهُ فَرَطًا ِلأَبَوَيْهِ , وَسَلَفًا وَذُخْرًا وَعِظَةً وَاعْتِبَارًا وَشَفِيْعًا وَثَقِّلْ بِهِ مَوَازِيْنَهُمَا , وَأَفْرِغِ الصَبْرَ عَلَى قُلُوْبِهِمَا وَلاَ تَفْتَنْهُمَا بَعْدَهُ , وَلاَ تَحْرِمْهُمَا أَجْرَهُ .

Dan doa bagi mayat kanak-kanak perempuan :

اَللَّهُمَّ اجْعَلْهَا فَرَطًا ِلأَبَوَيْهَا , وَسَلَفًا وَذُخْرًا وَعِظَةً وَاعْتِبَارًا وَشَفِيْعًا وَثَقِّلْ بِهَا مَوَازِيْنَهُمَا , وَأَفْرِغِ الصَبْرَ عَلَى قُلُوْبِهِمَا وَلاَ تَفْتَنْهُمَا بَعْدَهَا , وَلاَ تَحْرِمْهُمَا أَجْرَهَا .

Selepas itu takbir "Allahuakbar" kali yang keempat kemudia membaca doa :

اَللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهُ وَاغْفِرْ لَنَا وَِلإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالإِيمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلاًّ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Doa ini kepada mayat lelaki dan jika mayat perempuan dhomir berbaris hadapan di ganti dengan haa seperti :

اَللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهَا وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهَا

Dan seterusnya.

Ertinya : Ya Allah, janganlah Engkau tahankan kami ganjaran pahalanya dan janganlah Engkau fitnahkan kami selepas kematiannya, ampunilah kami dan juga dia yang telah mati dan ampunilah saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dengan beriman dan jangan Engkau jadikan di dalam hati kami kebencian / kecemburuan terhadap orang-orang yang beriman sesungguhnya Engkau Maha Lemah-lembut lagi Pengasih dan Penyayang.

Doa ini sunat jua tidak rukun.

Kemudian memberi salam "Assalamualaikum warahmatullah" seperti lain-lain sembahyang jua iaitu disudahi dengan memberi salam.

Setelah selesai sembahyang dengan memberi salam baca Al-fatihah dan dibaca doa bagi si mati

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ قَبْرَهُ رَوْضَةً مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ , اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّهُ وَأَنْتَ خَلَقْتَهُ وَأَنْتَ هَدَيْتَهُ لِلإِْسْلاَمِ وَأَنْتَ قَبَضْتَ رُوْحَهُ وَأَنْتَ أَعْلَمُ بِسِرِّهِ وَعَلاَنِيَتِهِ وَقَدْ جِئْنَاكَ شُفَعَاءَ لَهُ وَِلاِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا رَبَّنَا إِنَّك رَؤُوْفٌ رَّحِيْم , وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ , سُبْحَانَكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ وَسَلاَمٌ عَلَى الْمُرْسَلِيْنَ وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

Lafaz doa ini bagi mayat lelaki, jika mayat perempuan diubah dhomir "hu" itu kepada "haa" seperti :

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ قَبْرَهَا - اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّهَا - وَأَنْتَ خَلَقْتَهَا

Atau doa ini :

اَللَّهُمَّ هَذَا عَبْدُكَ وَابْنُ عَبْدَيْكَ , خَرَجَ مِنْ رَوْحِ الدُّنْيَا وَسَعَتِهَا , وَمَحْبُوْبِهِ وَأَحِبَّائِهِ فِيْهَا إِلَى ظُلْمَةِ الْقَبْرِ وَمَاهُوَ لاَقِيْهِ , كَانَ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اَنْتَ وَحْدَكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ , وَأَنَّ مُحَمَّدً عَبْدُكَ وَرَسُوْلُكَ , وَأَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنَّا .

اَللَّهُمَّ إِنَّهُ نَزَلَ بِكَ وَأَنْتَ خَيْرُ مَنْزُوْلٍ بِهِ , وَأَصْبَحَ فَقِيْرًا إِلَى رَحْمَتِكَ , وَأَنْتَ غَنِيٌّ عَنْ عَذَابِهِ , وَقَدْ جِئْنَاكَ رَاغِبِيْنَ إِلَيْكَ , شُفَعَاءَ لَهُ.

اَللَّهُمَّ إِنْ كَانَ مُحْسِنًا فَزِدْ فِيْ إِحْسَانِهِ , وَإِنْ كَانَ مُسِيْئًا فَتَجَاوَزَ عَنْهُ , وَلَقِّهِ بِرَحْمَتِكَ رِضَاكَ , وَقِهِ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابِهِ . وافْتَحْ لَهُ فِيْ قَبْرِهِ , وَجَافِ اْلأَرْضَ عَنْ جَنْبَيْهِ ، وَلَقِّهِ بِرَحْمَتِكَ اْلأَمْنَ مِنْ عَذَابِكَ حَتىَّ تَبْعَثَهُ إِلَى جَنَّتِكَ يَااَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ .

Doa ini untuk si mati lelaki, jika si mati perempuan, maka lafaz doanya sebagai berikut :

اَللَّهُمَّ هَذَهِ اَمَتُكَ وَبِنْتُ عَبْدَيْكَ , خَرَجَتْ مِنْ رَوْحِ الدُّنْيَا وَسَعَتِهَا , وَمَحْبُوْبِهَا وَأَحِبَّائِهَا فِيْهَا إِلَى ظُلْمَةِ الْقَبْرِ وَمَاهِيَ لاَقِيَتْهُ , كَانَتْ تَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اَنْتَ وَحْدَكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ , وَأَنَّ مُحَمَّدً عَبْدُكَ وَرَسُوْلُكَ , وَأَنْتَ أَعْلَمُ بِهَا مِنَّا .

اَللَّهُمَّ إِنَّهَا نَزَلَتْ بِكَ وَأَنْتَ خَيْرُ مَنْزُوْلٍ بِهَا , وَأَصْبَحَتْ فَقِيْرَةً إِلَى رَحْمَتِكَ , وَأَنْتَ غَنِيٌّ عَنْ عَذَابِهَا , وَقَدْ جِئْنَاكَ رَاغِبِيْنَ إِلَيْكَ , شُفَعَاءَ لَهَا.

اَللَّهُمَّ إِنْ كَانَتْ مُحْسِنَةً فَزِدْ فِيْ إِحْسَانِهَا , وَإِنْ كَانَتْ مُسِيْئَةً فَتَجَاوَزَ عَنْهَا , وَلَقِّهَا بِرَحْمَتِكَ رِضَاكَ , وَقِهَا فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابِهِ . وافْتَحْ لَهَا فِيْ قَبْرِهَا , وَجَافِ اْلأَرْضَ عَنْ جَنْبَيْهَا ، وَلَقِّهَا بِرَحْمَتِكَ اْلأَمْنَ مِنْ عَذَابِكَ حَتىَّ تَبْعَثَهَا إِلَى جَنَّتِكَ يَااَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ .

Beberapa perkara sunat bagi sembahyang jenazah

  1. Sunat bagi imam berdiri berbetulan dengan kepala mayat jika si mati itu lelaki, dan berdiri berbetulan dengan pinggang mayat jika si mati itu perempuan.
  1. Sunat sembahyang jenazah di masjid.
  1. Sunat berjemaah - makin ramai orang yang bersembahyang jenazah makin besar faedah dan kelebihannya. Bilangan sepatutnya tidak kurang daripada empat pulut orang dan jika boleh cukup seratus orang atau lebih.
  1. Mengangkat dua tangan semasa bertakbir pada tiap-tiap kali (sebanyak empat kali).
  1. Perlahankan bacaan.
  1. Membaca A'uzubillah sebelum bismillah.
  1. Sunat dijadikan tiga saf jika makmun ramai iaitu sekurang-kurang dua orang bagi satu-satu saf.

4. Fardu kifayah yang keempat terhadap mayat orang Islam, mengebumikannya.

Iaitu apabila seorang Islam mati wajiblah ia dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan dikebumikan (dikuburkan).

Sekurang-kurang kubur yang wajib ialah yang dapat menahan daripada keluar bau dan terselamat daripada dibongkar oleh binatang buas. Dalamnya lebih daripada seperdirian manusia biasa sekadar setengah hasta dan sebaik-baiknya dibuat liang lahad (ini lebih afdal) iaitu dikorek lubang di sebelah kiblat lubang kubur sekadar termuat mayat jika tanah kubur itu keras (liat) tetapi jika tanah itu perus (mudah runtuh) memadai digali di tengah-tengah lubang kubur itu seperti parit bagi memudahkan letak mayat.

Cara menurunkan mayat ke dalam kubur

Mayat hendaklah diusung dan dimasukkan pengusung ikut sebelah kaki kubur dan diletakkan mayat yang di dalam pengusung itu di tepi kubur (sebelah balik kaki kubur) dan dikeluarkan mayat daripada pengusung itu kepada terus diturunkan ke dalam kubur dan ditarik pengusung ikut sebelah kaki mayat. Mayat sunat disambut oleh tiga orang di dalam kubur, semuanya lelaki tidak kecuali mayat lelaki atau perempuan. Sebaiknya kerabat si mati yang lebih dekat kalau mayat itu perempuan yang bersuami salah seorang ialah suaminya sendiri. Mayat diletak dalam liang lahad dengan mengadap kiblat iaitu menyenggeng di atas lambung kanan atau tengah lorong yang dibuat di tengah lubang kubur dengan cara yang sama dan ditutup dengan papan atau long mana yang berkenaan.

Disunatkan semasa memasuk mayat ke dalam kubur membaca :

1.بِسْمِ اللهِ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ

Dan sunat diraup tanah tiga kali raup- raup yang pertama di baca مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ dan dijatuhkan tanah itu ke dalam kubur dan diraup kali kedua baca وَفِيْهَا نُعِيْدُكُمْ dan dijatuhkan ke dalam kubur, diraup kali ketiga baca وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَى dan dijatuhkan ke dalam kubur juga.

Semasa menurunkan mayat sunat ditudung dengan kain di atas muka kubur lebih-lebih lagi (sunat muakkadah) jika mayat itu mayat perempuan atau khunsa.

Kubur sunat dikambus dan ditinggikan sedikit sekadar sejengkal tetapi tidak membusut tinggi bahkan seperti sutuh.

الحمد لله اولا واخرا والصلاة والسلام على رسوله المصطفى وعلى آله وصحبه أجمعين والحمد لله رب العالمين

Tanggungjawab Anak Lelaki Selepas Berkahwin




Sahabat yang dimuliakan,

Apabila seorang lelaki Muslim berkahwin ia bertanggungjawab memberi nafkah dan segala keperluan kepada isterinya. Samaada nafkah zahir dan batin dan asas pendidikan Islam. Dengan kadar keperluan mengikut kemampuan suami. Bila dikurniakan anak-anak maka tanggungjawabnya akan bertambah kerana telah menjadi ayah untuk menyara segala keperluan nafkah dan pendidikan anak-anaknya pula.

Walaubagaimana pun ia telah memiliki keluarganya sendiri tetapi tanggungjawab kepada kedua ibu bapanya tidak boleh diabaikan kerana ia masih terikat dengan tanggungjawab tersebut.

Dalam Hadith Sahih Bukhari, seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. maksudnya :

“Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?”

Jawab Nabi “Ibu kamu”

“Selepas itu?”-

“Ibu kamu”

“Selepas itu?”-

“Ibu kamu”

Kali ke 4 lelaki itu bertanya, “Selepas itu?”

Jawab Nabi “Ayah kamu”

Lihatlah betapa tingginya nilai ibu di dalam Islam. Seorang ibu tidak ada apa cara sekalipun dapat kita membalasnya. Seorang lelaki datang kepada Sayyidian Umar al-Khattab r.a dan berkata, "Saya telah mendokong ibu saya sepanjang tawaf dan haji, sudahkah saya dapat membalas jasa ibu." Jawab Umar r.a., " Kamu belum dapat membalas jasa ibumu walaupun setitis air mata ibumu semasa melahirkanmu."

Hadis di atas menjelaskan selepas Allah dan Rasul-Nya, orang yang perlu dihormati dan dikasihi adalah ibu dan bapa. Bukan setakat menghormati dan mengasihi mereka tetapi segala keperluan hidup ,keselamatan dan hak-hak mereka perlulah di penuhi sekadar kemampuan si anak tadi.

Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada kedua orang tua ialah menyalahi perintah keduanya, sebagaimana bakti keduanya bererti mematuhi perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang dari mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu bukan maksiat. Meskipun pada asalnya perintah itu termasuk jenis mubah, begitu pula bila termasuk jenis mandub (sunat).

Dalam sebuah hadis dijelaskan, Rasulullah s.a.w. bersabda: Dari Abdullah bin Amr, ia berkata: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah, lalu berkata: 'Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad bersama baginda kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari akhirat. Tetapi aku datang kesini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis'. Lalu sabda baginda: "Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis". (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Jadi perintah ibu atau bapa yang bukan bersifat maksiat atau mempersekutukan Allah, maka kita wajib mentaatinya. Namun jika perintah nya bersifat melawan kehendak dan hukum agama, maka tolaklah dengan cara yang baik.

Sahabat yang dimuliakan,

Seorang wanita apabila telah berkahwin, segala tanggungan dirinya adalah adalah dibawah tanggungan suaminya. Amanah ini terlah diserahkan oleh bapa wanita tadi kepada suaminya.

Bagaimana pandangan Islam kedudukan wanita tersebuat terhadap ibu bapanya?

Islam amat menitik beratkan soal silaturahim, perhubungan sebagai anak dan ibu bapa perlu diteruskan seperti biasa. Wanita kena mentaati suaminya dan diberi keutamaan daripada arahan ibu bapanya kerana tanggungjawab dan ketaatan isteri perlu diberikan kepada suaminya. Walaubagaimana pun Islam melarang suami berlaku tidak adil kepada isterinya jika ada sesuatu keperluan ia ingin membantu ibu bapanya yang susah dan memerlukan bantuan.

Pihak suami perlu ingat bahawa setelah ia mengawini wanita tersebut ibu bapa mertuanya adalah telah menjadi mahramnya dan sama taraf dengan ibu bapanya sendiri. Perlulah diberi kasih sayang dan segala keperluan dan hajat mereka berdua jika mereka terdiri daripada orang miskin perlulah diberi bantuan .

Kedua-duanya (suami dan isteri) wajib berbuat baik kepada kedua orang tua (kedua-dua belah pihak) selagi ada hayat mereka di dunia ini. Berbuat baik dalam erti kata menyenangkan hati kedua-duanya dan menjaga serta memberikan apa-apa keperluan mereka. Anak perempuan tidak terlepas tanggungjawab dan berbakti kepada orang tuanya. Jika dia mampu dia juga hendaklah berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.

Dalam Islam, lelaki adalah ketua keluarga, sebab itulah anak lelaki diberikan lebih tanggungjawab untuk menyara orang tua nya walaupun selepas berkahwin jika dibandingkan dengan perempuan yang kurang tanggungjawabnya untuk berbuat demikian selepas berumah tangga. Sebab itulah dalam Islam anak lelaki beroleh 1/2 nisbah faraid berbanding dengan anak perempuan, ini menunjukkan betapa Islam menghargai tanggungjawab yang dipikul oleh anak lelaki sebagai ketua keluarga.

Namun pendapat yg mengatakan anak perempuan langsung tidak mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapa selepas berkahwin adalah salah sama sekali. Cuba bayangkan jika ibu bapa itu mempunyai 6 orang anak dan kesemuanya adalah perempuan adakah penat lelah selama mereka membesarkan anak-anaknya langsung tidak akan dihargai anak-anaknya selepas anak-anak tersebut berumah tangga? Ini adalah sesuatu yang tidak adil memandangkan mereka tidak merancang untuk mempunyai anak perempuan semuanya.

Di zaman sekarang telah berubah, semua perempuan telah berkerjaya, seharusnya kedua-duanya anak lelaki dan perempuan sama-sama membantu untuk menyara kedua ibu bapa mereka yang telah tua sebagaimana kedua ibu dan bapa telah menyara mereka semuanya.

Walaubagaimana pun sebelum apa-apa bantuan yang ingin diberikan, isteri perlulah meminta keizinan dan redha daripada suami, sesungguhnya seorang suami yang Mukmin tidak akan menghalang sekiranya isterinya ingin membantu dan memberi khidmat kepada kedua ibu bapanya yang memerlukannya. Isteri perlu faham bahawa redha Allah bergantung kepada redha suami tetapi bagi anak lelaki redha Allah bergantung pada redha ibu bapa.

Sahabat yang dihormati,

Dalam Islam lelaki bujang kena tanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya. Lelaki berkahwin kena tanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh.

Hukum menjelaskan anak lelaki kena bertanggungjawab ke atas ibu dan bapanya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggungjawabnya maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua. Manakala seorang perempuan hanya perlu taat kepada suaminya.

Isteri berbuat baik pahala dapat kepadanya kalau buat tidak baik sedang suaminya membiarkan sahaja tidak menasihatinya maka dosanya ditanggung oleh suaminya.

Suami kena bagi nafkah pada isteri, sedangkan pendapatan isteri tidak perlu menanggung nafkah keluarga, walaubagaimana pun isteri boleh membantu meringankan beban suami.

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap empat wanita ini: isterinya, ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya (yang belum berkahwin).

Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh empat orang lelaki iaitu suaminya, ayahnya (jika belum berkahwin), anak lelakinya dan saudara lelakinya.

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yang disukainya cukup dengan empat syarat sahaja:

1. sembahyang lima waktu,

2. puasa di bulan Ramadhan,

3. taat suaminya dan

4. menjaga kehormatannya.

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah dan berdakwah dijalan Allah untuk mendapat redha Allah, tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah akan turut menerima pahala sama seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

Sahabat,

Keruntuhan rumahtangga dan penceraian yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita adalah berpunca daripada pasangan suami isteri yang tidak memahami hukum-hukum Islam. Mereka tidak memahami hak-hak sebagai suami atau isteri. Mereka meletakkan nilai kebendaan dan hawa nafsu dihadapan dan meninggalkan nilai iman dan taqwa sebagai nilai hidup mereka. Penceraian boleh berlaku hanya berpunca daripada perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan mudah bila ada iman dan pemikiran yang resional.

Jika suami faham bahawa kesabaran, lemah lembut dan bertolak ansur itu adalah akhlak yang ditunjukkan Nabi s.a.w. ketika berada di dalam perselishan pendapat dengan isteri maka si suami akan mengutamakan akhlak ini kerana sungguh besar pahalanya disisi Allah s.w.t.Kerana cerai adalah perkara halal yang dibenci oleh Allah s.w.t. Elakkanlah penceraian jika masih ada jalan penyelesaian yang baik.

Dan juga kalaulah si isteri fahan bahawa betapa besarnya dosa derhaka kepada suami dan tidak akan dapat mencium bau Syurga, maka si isteri akan memilih untuk bersabar dan bertolak ansur semata-mata mencari redha Allah. Perlu diingat perasaan marah, keluarkan suara yang tinggi dihadapan suami, mengeluarkan kata-kata kesat dan ungkit mengungkit perkara lama adalah dari dorongan hawa nafsu dan bisikan syaitan. Syaitan memang suka perpecahan dikalangan keluarga Islam kerana dengan perpecahan ini banyak perkara-perkara negatif akan berlaku.

Kedua ibu bapa samaada di pihak suami atau isteri perlulah menjadi penasihat dan pendamai yang baik bukannya menjadi batu api untuk merosakkan rumah tangga yang telah dibina. Ibu bapa yang menjadi pemusnah rumah tangga bahagia anak mereka sendiri adalah mereka-mereka yang melakukan dosa besar dan menempah tempat duduknya di Neraka, nauzubillah. Sebagai orang tua perlu bersikap positif dan proaktif dan tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak jika berlaku perselisihan. Yang penting damaikanlah kerana sifat membantu dan memulihkan suasana tegang adalah sifat ibu bapa yang beriman dan bertaqwa.


Disediakan oleh : Abu Basyer

Meraikan Anak-Anak Yatim,Mualaf & Pelajar Pondok Sempena Hari Paskal TLDM Lumut





















SABTU 16/10/10 - Kami menerima jemputan daripadaa PASKAL ke Hari terbuka Paskal yang diadakan hari ini sambil mereka ingin meraikan anak2 yatim, muallaf dan pelajar pondok. Jam 8 am bas TLDM telah sampai untuk mengambil pelajar pondok. Pelbagai pertunjukkan hebat dijalankan antaranya peluang menembak menggunakan pistol dan MP5A5, rock climbing, memasak makanan dalam hutan, pameran dan barang2 jualan. Terima kasih banyak pada CO Paskal dan semua pegawai2 yang terlibat menjemput kami. Pengalaman ini sangat berharga untuk anak2 pelajar kami.

Gambar-Gambar Ehsan Daripada Kompleks Pendidikan Manabi'ul Ulum Batu 10 Lekir