Rabu, 26 Januari 2011

"HAWA"Kesatilah air mata mu itu

 Apabila hati terikat dengan Allah, kembalilah wanita dengan asal fitrah kejadiannya, menyejukkan hati dan menjadi perhiasan kepada dunia - si gadis dengan sifat sopan dan malu, anak yang taat kepada ibu bapa, isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya pada suami."

Bait-bait kata itu aku tatapi dalam-dalam. Penuh penghayatan. Kata-kata yang dinukilkan dalam sebuah majalah yang ku baca. Alangkah indahnya jika aku bisa menjadi perhiasan dunia seperti yang dikatakan itu. Ku bulatkan tekad di hatiku. Aku ingin menjadi seorang gadis yang sopan, anak yang taat kepada ibu bapaku dan aku jua ingin menjadi seorang isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami, kerana Allah.

Menjadi seorang isteri....kepada insan yang disayangi.....idaman setiap wanita. Alhamdulillah, kesyukuran aku panjatkan ke hadrat Ilahi atas nikmat yang dikurniakan kepadaku.

Baru petang tadi, aku sah menjadi seorang isteri setelah mengikat tali pertunangan 6 bulan yang lalu. Suamiku, Muhammad Harris, alhamdulillah menepati ciri-ciri seorang muslim yang baik. Aku berazam untuk menjadi isteri yang sebaik mungkin kepadanya.

"Assalamualaikum," satu suara menyapa pendengaranku membuatkan aku gugup seketika.

"Waalaikumusalam," jawabku sepatah. Serentak dengan itu, ku lontarkan satu senyuman paling ikhlas dan paling manis untuk suamiku. Dengan perlahan dia melangkah menghampiriku.

"Ain buat apa dalam bilik ni ? Puas abang cari Ain dekat luar tadi. Rupanya kat sini buah hati abang ni bersembunyi. `'

Aku tersenyum mendengar bicaranya. Terasa panas pipiku ini. Inilah kali pertama aku mendengar ucapan `abang' dari bibirnya.

Dan itulah juga pertama kali dia membahasakan diriku ini sebagai `buah hati' nya. Aku sungguh senang mendengar ucapan itu. Perlahan-lahan ku dongakkan wajahku dan aku memberanikan diri menatap pandangan matanya.

Betapa murninya sinaran cinta yang terpancar dari matanya, betapa indahnya senyumannya, dan betapa bermaknanya renungannya itu. Aku tenggelam dalam renungannya, seolah-olah hanya kami berdua di dunia ini.

Seketika aku tersedar kembali ke alam nyata. "Ain baru je masuk. Nak mandi. Lagipun dah masuk Maghrib kan ? `' ujarku.

`' Ha'ah dah maghrib. Ain mandi dulu. Nanti abang mandi dan kita solat Maghrib sama-sama ye ? `'Dia tersenyum lagi. Senyum yang menggugah hati kewanitaanku. Alangkah beruntungnya aku memilikimu, suamiku.

Selesai solat Maghrib dan berdoa, dia berpusing mengadapku. Dengan penuh kasih, ku salami dan ku cium tangannya, lama.

Aku ingin dia tahu betapa dalam kasih ini hanya untuknya. Dan aku dapat merasai tangannya yang gagah itu mengusap kepalaku dengan lembut. Dengan perlahan aku menatap wajahnya.

"Abang....." aku terdiam seketika. Terasa segan menyebut kalimah itu di hadapannya. Tangan kami masih lagi saling berpautan. Seakan tidak mahu dilepaskan. Erat terasa genggamannya.

"Ya sayang..." Ahhh....bicaranya biarpun satu kalimah, amat menyentuh perasaanku.

"Abang... terima kasih atas kesudian abang memilih Ain sebagai isteri biarpun banyak kelemahan Ain. Ain insan yang lemah, masih perlu banyak tunjuk ajar dari abang. Ain harap abang sudi pandu Ain. Sama-sama kita melangkah hidup baru, menuju keredhaan Allah." Tutur bicaraku ku susun satu persatu.

"Ain, sepatutnya abang yang harus berterima kasih kerana Ain sudi terima abang dalam hidup Ain. Abang sayangkan Ain. Abang juga makhluk yang lemah, banyak kekurangan. Abang harap Ain boleh terima abang seadanya. Kita sama-sama lalui hidup baru demi redhaNya."

`'Insya Allah abang....Ain sayangkan abang. `'

`'Abang juga sayangkan Ain. Sayang sepenuh hati abang.''

Dengan telekung yang masih tersarung, aku tenggelam dalam pelukan suamiku.

Hari-hari yang mendatang aku lalui dengan penuh kesyukuran. Suamiku, ternyata seorang yang cukup penyayang dan penyabar. Sebagai wanita aku tidak dapat lari daripada rajuk dan tangis.

Setiap kali aku merajuk apabila dia pulang lewat, dia dengan penuh mesra memujukku, membelaiku. Membuatku rasa bersalah. Tak wajar ku sambut kepulangannya dengan wajah yang mencuka dan dengan tangisan.

Bukankah aku ingin menjadi perhiasan yang menyejukkan hati suami? Sedangkan Khadijah dulu juga selalu ditinggalkan Rasulullah untuk berkhalwat di Gua Hira'.

Lalu, ku cium tangannya, ku pohon ampun dan maaf. Ku hadiahkan senyuman untuknya. Katanya senyumku bila aku lepas menangis, cantik!

Ahhh....dia pandai mengambil hatiku. Aku semakin sayang padanya. Nampaknya hatiku masih belum sepenuhnya terikat dengan Allah. Lantaran itulah aku masih belum mampu menyerahkan seluruh kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami.

`' Isteri yang paling baik ialah apabila kamu memandangnya, kamu merasa senang, apabila kamu menyuruh, dia taat dan apabila kamu berpergian, dia menjaga maruahnya dan hartamu .`'

Aku teringat akan potongan hadis itu. Aku ingin merebut gelaran isteri solehah. Aku ingin segala yang menyenangkan buat suamiku. Tuturku ku lapis dengan sebaik mungkin agar tidak tercalar hatinya dengan perkataanku. Ku hiaskan wajahku hanya untuk tatapannya semata-mata.

Makan minumnya ku jaga dengan sempurna. Biarpun aku jua sibuk lantaran aku juga berkerjaya. Pernah sekali, aku mengalirkan air mata lantaran aku terlalu penat menguruskan rumah tangga apabila kembali dari kerja. Segalanya perlu aku uruskan. Aku terasa seperti dia tidak memahami kepenatanku sedangkan kami sama-sama memerah keringat mencari rezeki.

Namun, aku teringat akan kisah Siti Fatimah, puteri Rasulullah yang menangis kerana terlalu penat menguruskan rumah tangga.

Aku teringat akan besarnya pahala seorang isteri yang menyiapkan segala keperluan suaminya. Hatiku menjadi sejuk sendiri.

Ya Allah, aku lakukan segala ini ikhlas keranaMu. Aku ingin mengejar redha suamiku demi untuk mengejar redhaMu. Berilah aku kekuatan, Ya Allah.

" Ain baik, cantik. Abang sayang Ain.`' Ungkapan itu tidak lekang dari bibirnya. Membuatkan aku terasa benar-benar dihargai. Tidak sia-sia pengorbananku selama ini. Betapa bahagianya menjadi isteri yang solehah.

Kehidupan yang ku lalui benar-benar bermakna, apatah lagi dengan kehadiran 2 orang putera dan seorang puteri. Kehadiran mereka melengkapkan kebahagiaanku.

Kami gembira dan bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan kepada kami.

Namun, pada suatu hari, aku telah dikejutkan dengan permintaannya yang tidak terduga.

"Ain.....abang ada sesuatu nak cakap dengan Ain."

"Apa dia abang?" tanyaku kembali. Aku menatap wajahnya dengan penuh kasih. `' Ain isteri yang baik. Abang cukup bahagia dengan Ain. Abang bertuah punya Ain sebagai isteri," bicaranya terhenti setakat itu. Aku tersenyum. Namun benakku dihinggap persoalan. Takkan hanya itu?

"Abang ada masalah ke?" Aku cuba meneka.

"Tidak Ain. Sebenarnya......," bicaranya terhenti lagi. Menambah kehairanan dan mencambahkan kerisauan di hatiku. Entah apa yang ingin diucapkannya.

"Ain......abang.....abang nak minta izin Ain......untuk berkahwin lagi," ujarnya perlahan namun sudah cukup untuk membuat aku tersentak. Seketika aku kehilangan kata.

"A.....Abang.....nak kahwin lagi?" aku seakan tidak percaya mendengar permintaannya itu. Ku sangka dia telah cukup bahagia dengannku. Aku sangka aku telah memberikan seluruh kegembiraan padanya. Aku sangka hatinya telah dipenuhi dengan limpahan kasih sayangku seorang.

Rupanya aku silap. Kasihku masih kurang. Hatinya masih punya ruang untuk insan selain aku.

Tanpa bicara, dia mengangguk. `' Dengan siapa abang ? `' Aku bertanya. Aku tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk tidak mengalirkan air mata. Tapi....hatiku... hanya Allah yang tahu betapa azab dan pedih hati ini.

`' Faizah. Ain kenal dia, kan ? `'

Ya, aku kenal dengan insan yang bernama Faizah itu. Juniorku di universiti. Rakan satu jemaah. Suamiku aktif dalam jemaah dan aku tahu Faizah juga aktif berjemaah.

Orangnya aku kenali baik budi pekerti, sopan tingkah laku, indah tutur kata dan ayu paras rupa. Tidakku sangka, dalam diam suamiku menaruh hati pada Faizah.

" A....Abang......Apa salah Ain abang?" nada suaraku mula bergetar. Aku cuba menahan air mataku daripada gugur. Aku menatap wajah Abang Harris sedalam-dalamnya. Aku cuba mencari masih adakah cintanya untukku.

"Ain tak salah apa-apa sayang. Ain baik. Cukup baik. Abang sayang pada Ain."

"Tapi....Faizah. Abang juga sayang pada Faizah....bermakna.....sayang abang tidak sepenuh hati untuk Ain lagi."

"Ain.....sayang abang pada Ain tidak berubah. Ain cinta pertama abang. Abang rasa ini jalan terbaik. Tugasan dalam jemaah memerlukan abang banyak berurusan dengan Faizah....Abang tak mahu wujud fitnah antara kami.

Lagipun....abang lelaki Ain. Abang berhak untuk berkahwin lebih dari satu. `'

Bicara itu kurasakan amat tajam, mencalar hatiku. Merobek jiwa ragaku. Aku mengasihinya sepenuh hatiku. Ketaatanku padanya tidak pernah luntur. Kasih sayangku padanya tidak pernah pudar. Aku telah cuba memberikan layanan yang terbaik untuknya. Tapi inikah hadiahnya untukku?

Sesungguhnya aku tidak menolak hukum Tuhan. Aku tahu dia berhak. Namun, alangkah pedihnya hatiku ini mendengar ucapan itu terbit dari bibirnya. Bibir insan yang amat ku kasihi.

Malam itu, tidurku berendam air mata. Dalam kesayuan, aku memandang wajah Abang Harris penuh kasih. Nyenyak sekali tidurnya.

Sesekali terdetik dalam hatiku, bagaimana dia mampu melelapkan mata semudah itu setelah hatiku ini digurisnya dengan sembilu.

Tidak fahamkah dia derita hati ini? Tak cukupkah selama ini pengorbananku untuknya? Alangkah peritnya menahan kepedihan ini. Alangkah pedihnya!

Selama seminggu, aku menjadi pendiam apabila bersama dengannya. Bukan aku sengaja tetapi aku tidak mampu membohongi hatiku sendiri. Tugasku sebagai seorang isteri aku laksanakan sebaik mungkin, tapi aku merasakan segalanya tawar. Aku melaksanakannya tidak sepenuh hati.

Oh Tuhan.....ampuni daku. Aku sayang suamiku, tapi aku terluka dengan permintaannya itu.

Apabila bertembung dua kehendak, kehendak mana yang harus /> dituruti. Kehendak diri sendiri atau kehendak Dia ?

Pastinya kehendak Dia. Apa lagi yang aku ragukan? Pasti ada hikmah Allah yang tersembunyi di sebalik ujian yang Dia turunkan buatku ini. Aku berasa amat serba-salah berada dalam keadaan demikian.

Aku rindukan suasana yang dulu. Riang bergurau senda dengan suamiku. Kini, aku hanya terhibur dengan keletah anak-anak.

Senyumku untuk Abang Harris telah tawar, tidak berperisa. Yang nyata, aku tidak mampu bertentang mata dengannya lagi. Aku benar-benar terluka.

Namun, Abang Harris masih seperti dulu. Tidak jemu dia memelukku setelah pulang dari kerja walau sambutan hambar. Tidak jemu dia mencuri pandang merenung wajahku walau aku selalu melarikan pandangan dari anak matanya.

Tidak jemu ucapan kasihnya untukku. Aku keliru. Benar-benar keliru. Adakah Abang Harris benar-benar tidak berubah sayangnya padaku atau dia hanya sekadar ingin mengambil hatiku untuk membolehkan dia berkahwin lagi?

`Oh Tuhan...berilah aku petunjukMu.' Dalam kegelapan malam, aku bangkit sujud menyembahNya, mohon petunjuk dariNya. Aku mengkoreksi kembali matlamat hidupku.

Untuk apa segala pengorbananku selama ini untuk suamiku ? Untuk mengejar cintanya atau untuk mengejar redha Allah ?

Ya Allah, seandainya ujian ini Engkau timpakan ke atas ku untuk menguji keimananku, aku rela Ya Allah. Aku rela.

Biarlah... Bukan cinta manusia yang ku kejar. Aku hanya mengejar cinta Allah. Cinta manusia hanya pemangkin. Bukankah aku telah berazam, aku inginkan segala yang menyenangkan buat suamiku?

Jikalah...Jikakah....

jikakah....

Jikalah bahagia akan menjadi masa lalu pada akhirnya, Maka mengapa mesti dirasakan sendiri, Sedang berbagi akan membuatnya lebih bermakna

Jikalah cinta akan menjadi masa lalu pada akhirnya, Maka mengapa mesti ingin memiliki dan selalu bersama, Sedang memberi akan lebih banyak menuai arti.

Jikalah harta akan menjadi masa lalu pada akhirnya, Maka mengapa mesti ingin dikukuhi sendiri, Sedang kedermawanan justru akan melipat gandakannya.

Jikalah kepandaian akan menjadi masa lalu pada akhirnya, Maka mengapa mesti membusung dada dan membuat kerusakan di dunia, Sedang dengannya manusia diminta memimpin dunia agar sejahtera.

Jikalah derita akan menjadi masa lalu pada akhirnya, Maka mengapa mesti dijalani dengan sepedih rasa, Sedang ketegaran akan lebih indah dikenang nanti.

Jikalah kesedihan akan menjadi masa lalu pada akhirnya, Maka mengapa tidak dinikmati saja, Sedang ratap tangis tak akan mengubah apa-apa.


Jikalah luka dan kecewa akan menjadi masa lalu pada akhirnya, Maka mengapa mesti dibiarkan meracuni jiwa, Sedang ketabahan dan kesabaran adalah lebih utama.

Jikalah kebencian dan kemarahan akan menjadi masa lalu pada akhirnya, Maka mengapa mesti diumbar sepuas jiwa, Sedang menahan diri adalah lebih berpahala.

Jikalah kesalahan akan menjadi masa lalu pada akhirnya, Maka mengapa mesti tenggelam di dalamnya, Sedang taubat itu lebih utama.


Jikalah hidup akan menjadi masa lalu pada akhirnya, Maka mengapa mesti diisi dengan kesia-siaan belaka, Sedang begitu banyak kebaikan bisa dicipta.


Suatu hari nanti,

Saat semua telah menjadi masa lalu

Aku ingin ada di antara mereka

Yang beralaskan di atas permadani

Sambil bercengkerama dengan tetangganya

Saling bercerita tentang apa yang telah dilakukannya di masa lalu

Hingga mereka mendapat anugerah itu



(Duhai kawan, dulu aku miskin dan menderita, namun aku tetap berusaha senantiasa bersyukur dan bersabar. Dan ternyata, derita itu hanya sekejap saja dan cuma seujung kuku, di banding segala nikmat yang kuterima di sini)



(Wahai kawan, dulu aku membuat dosa sepenuh bumi, namun aku bertobat dan tak mengulang lagi hingga maut menghampiri. Dan ternyata, ampunan-Nya seluas alam raya, hingga sekarang aku berbahagia)


Suatu hari nanti

Ketika semua telah menjadi masa lalu

Aku tak ingin ada di antara mereka

Yang berpeluh darah dan berkeluh kesah:

Andai di masa lalu mereka adalah tanah saja.



(Duhai! harta yang dahulu kukumpulkan sepenuh raga, ilmu yang kukejar setinggi langit, kini hanyalah masa lalu yang tak berarti. Mengapa dulu tak kubuat menjadi amal jariah yang dapat menyelamatkanku kini?)


(Duhai! nestapa, kecewa, dan luka yang dulu kujalani, ternyata hanya sekejap saja dibanding sengsara yang harus kuarungi kini. Mengapa aku dulu tak sanggup bersabar meski hanya sedikit jua?)

Isnin, 24 Januari 2011

PENGENALAN ISLAM


Ulamak ilmu jarh wa ta’dil (penilaian keadilan perawi hadith) telah bersetuju secara keseluruhannya bahawa fenomena pembohongan di kalangan syiah adalah lebih menonjol dan ketara berbanding dengan kelompok-kelompok yang lain. Kitab-kitab ilmu jarh wa ta’dil yang masyhur seperti kitab-kitab Imam Bukhari, Ibnu ‘Adi, Ibnu Mu’ien, Ad-Daruquthni dan lain-lain penulisan mereka yang berikhtisaskan hal ehwal sanad periwayatan, secara nyata membuat kesimpulan bahawa, pembohongan oleh syiah adalah yang paling banyak di kalangan ahli qiblat. Bahkan muncul pepatah yang berbunyi ‘lebih pembohong dari rafidhi (syiah)’ sebagai mengisyaratkan kepada betapa seseorang itu sangat kuat berdusta.
Sebagai contoh, Abu Muawiyah Ad-Dharir Al-Kufi berkata, aku telah mendengar Al-A’masy menyebut, “…aku telah menemui orang ramai dan tidaklah mereka menamakan syiah itu melainkan sebagai para pendusta.” (lihat : Minhaj As-Sunnah oleh Ibnu Taimiyah juzuk 1 ms. 16). Al-Khatib Al-Baghdadi juga pernah meriwayatkan dengan sanad kepada Ibnu Al-Mubarak, beliau berkata, “Abu ‘Ismah telah bertanya kepada Abu Hanifah : daripada siapakah kamu memerintahkan aku supaya mendengar (untuk mengambil dan meriwayatkan hadith)?” Abu Hanifah menjawab, “Daripada setiap mereka yang adil pada hawa nafsunya melainkan syiah, kerana sesungguhnya usul aqidah mereka adalah menghukum sesat para sahabat Muhammad SAW”. (lihat : Al-Kifayah fi ‘Ilmi Ar-Riwayah oleh Al-Khatib Al-Baghdadi ms. 203).
Bahkan Hamad bin Salamah telah berkata, “telah berkata syeikh mereka (syiah) bahawa: Sesungguhnya jika kami berkumpul, kami akan memperelokkan satu-satu riwayat dan kemudian kami jadikan ia sebagai hadith!” (lihat: Minhaj As-Sunnah oleh Ibnu Taimiyah juzuk 1 ms. 16). Selain itu, Yunus bin Abdul A’la telah berkata, “Asyhab telah berkata: Imam Malik telah ditanya pendapatnya mengenai syiah rafidhah”. Imam Malik menjawab, “janganlah kamu bercakap dengan mereka dan jangan meriwayatkan apa-apa dari mereka. Sesungguhnya mereka itu adalah pendusta.” (lihat: Al-Muntaqa oleh Adz-Dzahabi, ms. 21). Harmalah juga pernah bekata, “aku mendengar Imam Asy-Syafie berkata: aku tidak pernah melihat seseorang membuat kesaksian palsu selain daripada syiah ar-rafidhah”. (lihat : Al-Kifayah fi ‘Ilmi Ar-Riwayah oleh Al-Khatib Al-Baghdadi ms. 202).
Lebih jauh daripada itu, syiah telah menjadikan pendustaan sebagai syiar mereka lalu diimejkan jenayah itu dengan imej keagamaan dengan menamakannya sebagai ‘Taqiyyah’. Misalnya mereka berkata, “Tiada iman bagi sesiapa yang tidak bertaqiyyah” Kalam ini mereka nisbahkan kepada Muhammad Al-Baqir sebagai pengkhianatan dan pencelaan ke atas Al-Baqir. (lihat: Al-Kafi fil Usul oleh Al-Kulaini, bab At-Taqiyyah juzuk 2 ms. 19).
ALUL BAYT DAN PEMBOHONGAN SYIAH
Pembohongan syiah bukan sahaja mendapat komentar oleh para ulamak hadith dan lain-lainnya, bahkan turut diulas oleh Saidina Ali RA dan para Alul Bayt sendiri. Misalnya, Abu Amr Al-Kasyi menyebut di dalam kitab Ar-Rijal, “Abu Abdillah (iaitu Jaafar As-Sadiq) telah berkata: sesungguhnya kami Alul Bayt adalah orang-orang yang benar, tetapi kami tidak bebas dari terkena pendustaan ke atas kami. Lantas kebenaran kami telah gugur disebabkan oleh pendustaan mereka ke atas kami di kalangan manusia. Rasulullah SAW adalah sebenar-benar insan tetapi Musailamah telah mendustainya, Amirul Mu’minin Ali bin Abi Thalib adalah orang benar selepas Rasulullah SAW dengan kesaksian daripada Allah tetapi dia telah didustakan oleh Abdullah bin Saba’ -Laknatullah ‘Alaih-. Manakala Abu Abdillah Al-Husein bin Ali pula telah ditimpa bencana Al-Mukhtar (Ats-Tsaqafi). ..Manakala Ali bin Al-Husein pula telah didustakan oleh Abdullah bin Al-Harith Asy-Syami dan Bannan… begitu juga dengan Al-Mughirah bin Said serta As-Sirriey dan Abu Al-Khattab…” Lantas beliau menyambung, “… laknat Allah ke atas mereka semua, dan kami juga tidak terlepas dari didustakan oleh pendusta. Cukuplah Allah (sebagai pelindung kami) dari bencana sekalian pendusta, semoga Allah merasakan ke atas mereka kepanasan besi yang terbakar”. (lihat: Ar-Rijal oleh Al-Kasyi ms. 257).
Sesungguhnya golongan syiah telah mencipta banyak hadith dan riwayat palsu yang bertepatan dengan kehendak hawa nafsu mereka sebagaimana mereka mencipta hadith palsu di dalam bab kelebihan Ali dan Alul Bayt. Mereka juga mencipta banyak nas palsu untuk mencela pada sahabat RA khususnya Abu Bakar RA dan Umar Al-Khattab RA. (lihat contohnya di dalam Syarh Nahjil Balaghah oleh Ibnu Abi Al-Haddad, juzuk 2 ms.135). Syiah juga mencipta hadith palsu untuk menghina Muawiyah RA. Satu contoh mudah adalah hadith yang dinisbahkan kepada Rasulullah SAW kononnya Baginda berkata, “jika kamu melihat Muawiyah di atas mimbarku, maka bunuhlah dia” (lihat: Al-Alie’ Al-Masnu’ah fi Al-Ahadith Al-Maudhu’ah oleh As-Sayuti, juzuk 1 ms. 323) Bukan sahaja di dalam membahaskan tentang Ali RA dan Muawiyah RA, bahkan syiah juga mencipta banyak pembohongan terhadap para sahabat RA yang lain. Jika mereka berani untuk mendustakan Nabi SAW maka seudah tentulah pembohongan ke atas selain Baginda itu jauh lebih mudah bagi mereka.

IBNU TAIMIYAH DAN SYIAH
Penulisan Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya Minhaj As-Sunnah adalah di antara penulisan yang paling baik di dalam proses mendedah dan menyingkap perancangan dan taktik syiah merosakkan kesucian Islam di dalam masalah aqidah, hadith, fiqh dan sejarah. Katanya, “… sesungguhnya ahli ilmu telah bersepakat dengan naqal,, riwayat dan isnad bahawa syiah itu adalah sedusta-dusta kaum, pembohongan di kalangan mereka telah begitu lama, dan sebab itulah para imam dan ulamak Islam mengenali mereka sebagai kelompok yang beridentitikan ‘kaki dusta’” (lihat: Minhaj As-Sunnah oleh Ibnu Taimiyah juzuk 1 ms. 16).
Jika dibuat penelitian terhadap riwayat-riwayat yang dipelopori oleh syiah, kita akan menemui kesimpulan bahawa golongan ini tidak pernah memperincikan hadith- hadith mereka kepada soal amanah, ‘adalah (keadilan perawi) dan penjagaan serta hafalan. Kitab-kitab muktabar mereka seperti Al-Kafi dan sebagainya, penuh dengan riwayat-riwayat yang disanadkan kepada sedusta-dusta perawi. Ini adalah kerana, pertimbangan kesahihan riwayat mereka hanyalah berpaksikan kepada sikap taasub, hawa nafsu dan kebencian mereka terhadap kepimpinan dan ulamak Islam. Jelas sekali mereka tidak menerima riwayat melainkan ia dibawa oleh perawi yang semazhab dengan mereka, iaitu cukup dengan kedudukan perawi itu seorang syi’e imami. Tidak menjadi soal sama ada perawi itu seorang yang teliti atau lalai, benar atau pembohong, mereka tidak menilai riwayat-riwayat dengan satu kaedah ilmiah sebagaimana yang kita lihat di kalangan ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kaedah ini adalah intisari terpeliharanya ajaran Islam bahkan dikagumi oleh pengkaji- pengkaji barat seperti Margolioth dan lain-lain. Seringkali apabila ditanya siapakah perawi hadith ini, syiah akan menjawab, ia diriwayatkan oleh Al-Husein, Al-Baqir atau Musa Al-Kadzim… maka muktamadlah ia. (lihat: Asy-Syiah fi ‘Aqa’idihim wa Ahkamihim oleh Amir Muhammad Al-Kadzimi Al-Qazwini ms. 6, dinaqalkan dari Wa Jaa’a Daurul Majus oleh Dr. Abdullah Al-Gharib ms. 121)
Ibnu Taimiyah ketika membantah dakwaan Ibnu al-Muthahhar Al-Hulliy Ar-Rafidhi yang mendakwa di dalam kitabnya Minhaj Al-Karamah bahawa perawi-perawi syiah adalah tsiqah, beliau berkata,
“.. Kami (ahli sunnah dan hadith) mengkritik perawi-perawi kami dari kalangan ahli sunnah tanpa membuat sebarang penambahan. Kami mempunyai tulisan yang banyak sekali untuk menilai sama ada mereka adil atau dhaif, benar atau lalai, dusta atau keliru. Kami tidak menyokong mereka secara batil sebagai usul walaupun dengan kesalehan dan keelokan ibadat mereka. Bahkan kami menggugurkan periwayatan mereka sebagai hujah sekiranya mereka banyak melakukan kesilapan di dalam meriwayatkan hadith dan lemah ingatan walaupun mereka itu terdiri daripada wali-wali Allah. Sedangkan kalian (syiah) menetapkan seorang perawi itu sebagai tsiqah (berkepercayaan) hanya kerana dia seorang syiah imami, tanpa mengira dia itu seorang yang pelupa atau kuat ingatan, berdusta atau bercakap benar. Dengan itu penuhlah di tangan kalian berita dan khabar lisan kalian yang berdusta atau tidak diketahui kesahihannya. Sama perihalnya dengan Ahli Kitab Yahudi dan Kristian dengan pendustaan syiah Ar-Rafidhah sebagai perbandingan…”
“… Kami mengetahui bahawa Khawarij itu lebih jahat daripada kalian, tetapi walaupun begitu kami tidak menuduh mereka sebagai pendusta. Ini adalah kerana kami telah  pun menguji mereka dan jelasnya mereka itu bercakap benar. Maka bagi mereka itu apa yang benar dan ke atas merekalah kesalahan-kesalahan yang dilakukan.Sedangkan di sisi kalian, yang benar itu dianggap seperti titik hitam yang keji…! Sedangkan Ahli Sunnah dan Hadith tidak merestui pembohongan walaupun ia boleh memberikan keuntungan pada hawa nafsu. Lihat sahaja berapa banyak riwayat mengenai kelebihan Abu Bakar, Umar, Uthman bahkan Muawiyah serta yang lain-lainnya di dalam hadith-hadith yang sanadnya diriwayatkan oleh  An-Naqqasy, Al-Qathi’ie, Ats-Tsa’labi, Al-Ahwazi, Abi Naiem, Al-Khatib, Ibnu Asakir dan lain-lainnya. Akan tetapi ulamak hadith tidak menerima sekiranya ada keterangan tentang berlakunya pendustaan di dalamnya bahkan jika pada isnad hadith itu ada sahaja seorang perawi majhul yang tidak diketahui perihalnya, maka hadith itu ditangguhkan penerimaannya. Sedangkan kalian (syiah) hanya mensyaratkan hadith di sisi kalian bahawa ia bertepatan dengan hawa nafsu biarpun ia umpama daging yang busuk mahupun lemak!” (lihat Al-Muntaqa oleh Adz-Dzahabi ms. 480)

IBNU QAYYIM AL-JAUZIYAH DAN SYIAH
Ketika mengulas tentang syiah, Ibnu Qayyim Al-Jauziyah menyatakan, “Manakala Ali bin Abi Thalib, hukum hakam dan fatwanya begitu tersebar sekali. Akan tetapi, semoga Allah membinasakan syiah, mereka telah merosakkan banyak daripada ilmunya (Ali bin Abi Thalib) dengan melakukan pendustaan ke atas beliau. Oleh yang demikianlah, anda dapati kebanyakan ashabul hadith dan ahlus sahih tidak berpegang kepada hadith dan fatwa Ali bin Abi Thalib melainkan jika ia datang melalui periwayatan Ahli Baytnya dan pengikut Abdullah bin Mas’ud.” (lihat : ‘A’lam Al-Muwaqqi’ien oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, juzuk 1 ms. 21)
Jelaslah kelihatan di dalam pengamatan kita, bahawa kebanyakan riwayat yang wujud mencela khilafah Amirul Mu’minin Uthman bin Affan RA. adalah daripada golongan syiah. Mereka tidak meriwayatkan berita-berita tentang peristiwa berkenaan daripada perawi yang menyaksikan kejadiannya, bahkan hanya mendengar daripada yang mendengar, berdusta dari yang berdusta. Dalam banyak keadaan juga, seorang perawi banyak meriwayatkan kejadian yang berlaku berpuluh tahun sebelum itu.
Berikut adalah pendapat para ulamak jarh wa ta’dil berhubung dengan beberapa orang perawi syiah terkemuka. Mereka adalah di antara pemilik riwayat-riwayat yang terdapat di dalam kitab sejarah yang utama seperi kitab Tarikh Ar-Rusul wal Muluk oleh Imam At-Thabari. Merekalah juga tokoh ahli akhbar (akhbariyyin) yang paling banyak menyumbang riwayat berhubung dengan fitnah yang berlaku di zaman Saidina Uthman dan Ali RA. Riwayat-riwayat berkenaan memperlihatkan pengolahan kisah dengan gambaran khusus untuk mereka menyebarkan propaganda syiah di awal-awal terasasnya sejarah Islam, selepas mereka menipu ramai manusia atas nama agama dan kecintaan kepada Alul Bayt!
Kita kemukakan tiga contoh perawi syiah yang merupakan antara perawi yang wujud di dalam periwayatan Tarikh At-Thabari. Penjelasan ini bertujuan untuk memperlihatkan  bagaimana mudarat yang telah syiah lakukan terhadap sejarah Islam. Mereka yang mahu melanjutkan pengetahun berhubung dengan perawi-perawi syiah, kitab-kitab ilmu jarh wa-ta’dil mempunyai banyak catatan berhubung dengan mereka. Bahkan terdapat juga buku yang mengumpulkan maklumat berhubung dengan perawi syiah secara khusus. Misalnya kitab Rijal Asy-Syiah fil Mizan oleh Abdul Rahman Abdullah Az-Zar’ie, cetakan Darul Arqam, Kuwait.
Abu Mikhnaf Lut bin Yahya
Abu Hatim berkata mengenainya : matruk (ditinggalkan -yakni tidak diambil periwayatannya). Ad-Darulquthni pula mengatakan bahawa beliau dhaif (lemah). Ibnu Mu’ien berkata: dia itu tidak dipercayai dan tidak mempunyai sebarang nilai.. Ibnu ‘Adie mengatakan bahawa beliau ini syiah pekat yang menjadi tuan punya kisah-kisah (akhbar) kaum itu. Adz-Dzahabi mengatakan bahawa beliau seorang ikhbari (ahli akhbar) yang cuai dengan periwayatannya serta tidak dipercayai.

Hisham bin Muhammad bin As-Saib Al-Kalbi
Imam Ahmad bin Hanbal berkata: Sesungguhnya beliau adalah pemilik hikayat-hikayat malam (samar) dan perihal nasab. Padaku tidaklah ada seorang pun yang mengambil hadith daripadanya. Ad-Darulquthni pula memberi komentar bahawa Al-Kalbi ini matruk. Ibnu Asakir mengatakan bahawa beliau ini syiah rafidhie yang tidak boleh dipercayai. Al-’Uqaili mengatakan bahawa padanya ada kelemahan (dari segi jarh wa ta’dil). Ibnu Al-Jarud dan Ibnu As-Sakan menyenaraikan Al-Kalbi di dalam kitab Ad-Dhu’afa (perawi-perawi yang dhaif) mereka. Al-Kalbi juga dicela oleh Al-Asma’ani.  Ibnu Hibban juga mengatakan bahawa beliau meriwayatkan daripada bapanya yang mana mereka berdua terkenal dengan kisah-kisah karut dan akhbar yang tidak diketahui asal-usulnya. Juga sangat melampau di dalam berpegang dengan mazhab syiahnya.. Ibnu Mu’ien berkata: beliau itu seorang yang tidak dipercayai, pendusta dan sering tercicir di dalam periwayatannya. Ibnu ‘Adie berkata: Hisham Al-Kalbi itu lebih terkenal dengan hikayat-hikayat malam (samar) dan setahu aku tidaklah ia mempunyai sebarang musnad bahkan  bapanya juga adalah al-kazzab (sangat pendusta). Adz-Dzahabi pula memberi komen: Hisham itu tidak boleh dipercayai.
Jabir bin Yazid Al-Ju’fie
Ibnu Mu’ien berkata : Jabir itu seorang yang sangat pendusta, hadithnya tidak ditulis dan tiada kemuliaan baginya. Zaidah bin Qudamah Ats-Tsaqafi Al-Kufi berkata : sesungguhnya Al-Ju’fie itu demi Allah seorang seorang yang sangat pendusta dan beriman dengan akidah Ar-Raj’ah. Abu Hanifah pula menyebut : Di kalangan orang yang pernah aku temui, tiadalah yang lebih pendusta dari Jabir Al-Ju’fie. Tidaklah aku berikan dia satu-satu pendapatku melainkan ia akan mendatangiku dengan sesuatu yang telah ia lakukan kepada pendapatku. An-Nasa’ie berkata : matruk. Abu Daud pula berkata : Tiadalah sebarang kekuatan pada hadithnya (Al-Ju’fie) di sisiku. Asy-Syafie berkata :  Aku mendengar Sufian bin Uyainah berkata: Aku mendengar kalam Jabir Al-Ju’fie lantas aku segera menyembunyikan diri kerana bimbang kami akan ditimpa oleh bumbung! Yahya bin Ya’la pula menyebut : Aku mendengar Zaidah Ats-Tsaqafi Al-Kufi berkata : Jabir A-Ju’fie itu seorang syiah Ar-Rafidhie yang mencaci sahabat-sahabat Nabi SAW. Ibnu Hibban pula memberikan komentarnya : Beliau (Al-Ju’fie) itu adalah saba’ie pengikut Abdullah bin Saba’. Beliau mempercayai bahawa Ali itu akan kembali ke dunia. Al-Jourjanie berkata : Beliau itu sangat pendusta.

Kesimpulan
Ketiga-tiga perawi tadi adalah pemegang kepada riwayat-riwayat utama berhubung dengan peristiwa fitnah di zaman Saidina Uthman RA yang terdapat di dalam kitab Tarikh Al-Umam War-Rusul oleh Imam At-Thabari. Merekalah yang bertanggungjawab terhadap riwayat-riwayat dusta yang memburuk-burukkan para sahabat Rasulullah SAW seperti Uthman bin Affan RA., Aishah RA. dan Muawiyah bin Abi Sufian RA. Kefahaman umat Islam terhadap beberapa peristiwa getir di zaman itu seperti Perang Jamal dan Siffin, Majlis Tahkim, pembunuhan Husein RA dan sebagainya, juga dicemari dengan riwayat-riwayat para pembohong seperti perawi yang telah kita sebutkan di atas.   Oleh yang demikian, amat penting bagi kita untuk membuat penilaian semula terhadap Sejarah Islam yang kita fahami selama ini. Mana-mana riwayat yang didapati bercanggah dengan kedudukan para Sahabat RA dan Baginda SAW sendiri, hendaklah dikaji semula dan dinilai berdasarkan kedudukan perawi yang meriwayatkannya.
Ini adalah anjuran Imam At-Thabari sendiri sebagaimana yang beliau nyatakan di dalam muqaddimah kitabnya Tarikh Al-Umam wal Muluk (Tarikh At-Thabari) yang masyhur itu; bahawa kesahihan riwayat-riwayat yang dikemukakannya hendaklah ditentukan dengan menilai sanad yang beliau sertakan pada hampir setiap riwayat. Janganlah nanti kerana menganggap kitab Tarikh At-Thabari itu muktabar, maka kita mengabaikan kaedah yang disyaratkan kepada mereka yang ingin mengambil manfaat daripada penulisannya itu. Sesungguhnya  semua ini berhajatkan kepada disiplin ilmu yang tinggi, maka janganlah nanti ada pula yang mencabuli kebenaran yang menjadi hak Allah tanpa ilmu pengetahuan yang nyata. Allah SWT berfirman:
“Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah SWT, tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ia menurut tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan.” (Al-Hajj 22 : 3)
FirmanNya lagi:
“Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah SWT dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan atau Kitab ALlah yang menerangi kebenaran. Ia membantah sambil memalingkan sebelah badannya dengan sombong angkuh sehingga menghalang dirinya dan orang lain dari jalan agama Allah; ia akan beroleh kehinaan di dunia dan Kami akan merasakannya azab membakar pada hari kiamat kelak” (Al-Hajj 22 : 8-9)
amahzun.jpg
Artikel ini diterjemah dan disunting berdasarkan tesis PhD Dr. Muhammad Amahzun bertajuk“Tahqiq Mawaqif As-Sahabah fil Fitnah min Riwayat Al-Imam At-Thabari wal Muhaddithin” yang diterbitkan dalam bentuk buku oleh Dar At-Thayyibah lin Nasyr wat Tauzi’, Riyadh.