Isnin, 18 Oktober 2010

‘AIDS’ Yang Menyerang Jiwa.

Kesihatan jiwa lebih utama daripada kesihatan badan. Jiwa yang sihat akan menjadikan badan sihat daripada maksiat. Maksiat adalah kuman perosak yang sangat berbisa. Biasanya merosakkan kesihatan jiwa dan kesihatan badan. Apabila jiwa telah sakit, hilanglah daya ketahanan menghadapi cabaran hidup. Sedang hidup didunia ini penuh dengan cabaran dan dugaan yang tiada siapa pun dapat mengelak.
Sabda Rasulullah s.a.w.: “Dunia adalah negara bala dan ujian”.

Jasad yang sakit akan kehilangan ‘kudrat’ yang ada dalam diri seseorang. Selama ini manusia dapat merasai dengan cepat kehilangan kudrat dirinya. Tetapi apabila hilang kudrat jiwa, hilang kekuatan jiwa – tidak ramai yang menyedarinya. Kecuali bagi orang yang mahu berfikir.

Kudrat jiwa hilang disebabkan jiwa sakit. Manusia yang telah hilang kudrat jiwanya tidak akan berdaya untuk membina sahsiah diri. Hidup dijalani tanpa pegangan dan arah tujuan bagaikan bunga lalang diudara, ditiup angin kesana kemari. Justeru itu, mereka menjadi umat yang dapat dijajah dan diperhamba oleh manusia lain. Manusia dijajah dan diperhambakan oleh syaitan adalah juga dengan sebab yang sama. Tunduknya manusia kepada syaitan kerana jiwanya sakit, jiwanya telah hilang kudrat.

Untuk menjadi manusia yang merdeka daripada dijajah oleh syaitan atau sesama manusia, maka jiwa hendaklah dipulihkan. Pemulihan jiwa ini boleh dilakukan dalam berbagai bentuk dan cara, sesuaian dengan penyakit yang dihadapi oleh seseorang itu. Penyakit terbesar bahayanya yang menimpa jiwa manusia ialah penyakit syirik. Sebab itulah diakhirat nanti dosa syirik ini Allah tidak ampunkan. Justeru itu mereka yang mensyirikkan Allah kekal abadi dalam seksa api neraka. Firman Allah s.w.t.: “Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa syirik tetapi mengampunkan dosa-dosa selain syirik”.  [al-Nisak: 48].

Syirik ada dua jenis. Yang pertama, syirik jali dan kedua, syirik khafi. Syirik Jali itu ialah terang –terang menyenggutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Sama ada dengan batu atau kayu atau api atau matahari atau manusia dan sebagainya. Sementara Syirik Khafi pula iaitu walaupun yang disembah tetap Allah tetapi sewaktu menyembahNya, perhatian manusia masih diperlukan. Orang yang diserang syirik khafi ini tidak dapat mencapai taraf “memada dengan Allah semata-mata”.

Kedua-dua jenis syirik ini telah melanda seluruh dunia. Orang kafir dilanda syirik jali, sementara orang Islam dilanda oleh syirik khafi. Oleh itu perjuangan kita ialah membenteras kedua-dua jenis syirik ini dan maksiat. Agar dengan itu kesihatan jiwa dapat dipulihkan. Inilah bahana “Aids” yang melanda jiwa.Oleh: Zabidi Al Helmi.

 

“Dalam Peristiwa Israk Dan Mikraj Rasulullah Melihat Sekumpulan Manusia Yang Memakan Daging Yang Busuk Dan Mentah, Sedangkan Daging Yang Elok Dan Masak Ada Ditangan Yang Satu Lagi.
Baginda Bertanya Kepada Jibril Dan Dijawab: “Mereka Mempunyai Isteri atau Suami Yang Halal Bersih, Tetapi Mereka Lebih Suka Lelaki Atau Perempuan Yang Jahat Untuk Memuaskan Nafsu”.
______________________________________

“Maka Kahwinilah Perempuan Yang Kamu Suka, Dua, Tiga Dan empat, Sekiranya Kamu Takut Tiada Berlaku Adil, Maka Cukuplah Satu”.
[an-Nisa’: 3]