Sabtu, 23 Oktober 2010

Isu Setempat -Di Kampung Kayan-


KAYAN - Penduduk Kampung Kayan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera dengan menangkap sebanyak 600 lembu dilepas berkeliaran tanpa pengawasan di penempatan mereka sejak 10 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kayan, Ahdan Jamin berkata, kehadiran lembu liar dalam jumlah banyak itu mengganggu ketenteraman penduduk yang berhadapan dengan bau busuk najis dan kerosakan tanaman.

Dia mendakwa, masalah ternakan lembu berkeliaran tanpa pengawasan menyebabkan seorang ahli jawatankuasa JKKK Kampung Kayan meninggal dunia Isnin lalu kerana bertembung dengan haiwan tersebut pada waktu malam.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis bekerja tiba-tiba bertembung dengan sekumpulan lembu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala.

“Kejadian melibatkan lembu berkeliaran sering berlaku di kampung itu tetapi kemalangan meragut nyawa adalah yang pertama.

“Kejadian ini juga mengakibatkan penduduk mendesak pihak berkenaan mengambil tindakan segera ke atas kumpulan lembu berkenaan kerana tidak mahu ia berulang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Katanya, walaupun dia dan ahli JKKK beberapa kali membuat laporan kepada polis dan pihak atasan mengenainya, tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil.

Sementara itu, Ketua Cawangan Kampung Kayan, Datuk Ali Bagas Abdullah berkata, pihaknya telah membawa itu ke peringkat atasan untuk mencari jalan penyelesaian, tetapi gagal.

Katanya, kehadiran kumpulan lembu tanpa pengawasan pemiliknya itu menyebabkan pelbagai masalah timbul dalam kalangan penduduk setempat.

“Pokok kelapa sawit turut menjadi mangsa apabila kumpulan lembu tersebut memasuki kawasan ladang berkenaan dan memusnahkannya menyebabkan penduduk menanggung kerugian.” katanya.


Di Peti Dari Sinar Harian Online