Jumaat, 15 Oktober 2010

Marilah Sahabat-Sahabatku

                                             Nawaitu....

Pilih Jodoh Biar Sepadan.

Dalam masyarakat Melayu, kita selalu mendengar orang tua-tua menasihatkan anak-anak muda, kalau nak cari jodoh biarlah sepadan dan setaraf. Pemilihan jodoh biarlah setara disegi taraf, status social dan seterusnya. Bertemu jodoh yang setara, mereka dikatakan seperti pinang dibelah kacip dan seperti sirih pulang ke ganggang, engang sama engang dan pipit dengan pipit, tidak setaraf dan tidak sepadan, seperti merak dengan gagak dirimba.

Dalam Islam, prinsip setara atau kufu didalam mencari jodoh sudah menjadi perbincangan hangat dikalangan ulama. Sebahagian besar ulama menerima prinsip kufu didalam perkahwinan disegi aspek akhlak dan keagamaan tetapi tidak pada status social, keturunan dan ekonomi. Ibn Hazm berpendapat bahawa setiap Muslim adalah setaraf dengan muslimah yang lain dan demikianlah sebaliknya kecuali jika Muslim tadi seorang ‘kaki perempuan’ [penzina] atau perempuan muslimah tadi seorang pelacur atau penzina. Allah berfirman: “Lelaki yang berzina [lazimnya] tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik, dan perempuan yang berzina itu pula [lazimnya] tidak ingin berkahwin melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinnan yang demikian itu terhalang kepada orang-orang yang beriman.” [al-Nur: 3].

Demikian sifat dan keinginan golongan yang sentiasa melakukan zina, lelaki dan perempuan, adalah didalam kehinaan dan akan meneruskan perbuatan keji mereka jika tidak bertaubat. Allah menegaskan dalam ayat 26, surah Al-Nur: [Lazimnya] perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan [sebaliknya] perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka [yang baik] itu adalah bersih dari [tuduhan buruk] yang dikatakan oleh orang-orang [yang jahat] itu akan beroleh pengampunan [dari Allah s.w.t.] dan pengurniaan yang mulia itu.”

 
 

Ayat tersebut jelas mengambarkan bahawa biasanya orang-orang buruk perangai lebih suka mencari pasangan hidup daripada orang yang sejenis dengannya supaya masing-masing bebas melakukan perkara-perkara yang keji. Adalah jelas bahawa penzina tidak sesuai dan kufu dengan orang yang baik dan bersih. Ini diperkuatkan lagi firman Allah s.w.t.: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.” [al-Nisa: 3].

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Janganlah kamu mengahwini seseorang perempuan itu kerana kecantikkannya, mungkin kecantikkannya itu menjadinya buruk, jangan kamu mengahwininya kerana harta kerana mungkin hartanya itu menjadikan ia zalim tetapi kahwinilah mereka itu kerana agamanya, sesungguhnya perempuan hamba yang hitam tetapi beragama adalah lebih afdal untuk dikahwini.” Walaupun hadis tersebut pada zahirnya ditujukan kepada lelaki yang sedang mencari jodohnya, tetapi ia boleh juga dijadikan panduan didalam usaha menentukan sifat-sifat bakal suami.

Allah berfirman: “Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan musyrik sebelum mereka beriman [memeluk agama Islam], dan sesungguhnya seseorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu [kahwinkan perempuan-perempuan Islam] dengan lelaki kafir nusyrik, sebelum mereka beriman [memeluk agama Islam] dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki kafir musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. [Yang demikian ialah kerana] orang-orang kafir itu mengajak ke neraka. Sedangkan Allah s.w.t. mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan keizinannya. Dan Allah s.w.t. menjelaskan ayat-ayatnya [keterangan-keterangan hukumnya] kepada umat manusia supaya mereka dapat mengambil pengajaran [daripadanya].” [al-Baqarah: 221].

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Jika datang kepada kamu pinangan daripada seorang yang kamu reda terhadap agama dan akhlaknya, walaupun kurang berada, hendaklah kamu terima, kalau kamu menolaknya padanya adalah fitnah dan kerosakkan dimuka bumi.”  Allah s.w.t.: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalan dan beramah mesra antara satu dengan yang lain, sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah s.w.t. ialah orang yang lebih taqwanya diantara kamu [bukan yang lebih mulia keturunan atau bangsanya]. Sesungguhnya Allah s.w.t. maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuannya.” [al-Hujurat: 13].

Oleh:Prof.Dr.Mahmud Saedon Awang Othman.

Kehalusan Titi Siratalmustaquim Bagai Rambut Belah Tujuh.

Ketika dikumpulkan dipadang Masyar nanti, sekelian manusia dan jin akan manjadi gementar kerana amalan masing-masing akan ditimbang. Disini tibalah saatnya manusia akan dihisabkan bagi menentukan nasib masing-masing iaitu samaada akan dihumbankan ke neraka yang tidak terkira azabnya atau diganjarkan pula dengan syurga bernikmat nan indah.

Kelak Allah akan bertindak selaku hakim yang bakal mengadili perhisaban setiap manusia dan jin. Bagaimanapun peluang untuk tampil ke muka pengadilan dihari akhirat itu nanti tidak semistinya dilalui oleh semua insan.

Setiap seorang dari mereka akan ditangkap oleh para malaikat dengan garang dan kasar mereka akan dicampakan atau ditarik masuk ke rahang neraka yang menjulang panas apinya.

Manakala manusia-manusia mukmin dan orang-orang pilihan Allah akan dibawa kemuka pengadilan secara lembut untuk dihisab dihari itu.

Imam Muslim meriwayatkan, terdapat tiga golongan manusia yang tidak akan dipanggil untuk penghisaban kerana kejinya perangai mereka ketika didunia.

Golongan yang tiga itu:
  1. Orang yang menurunkan kainnya dibawah mata kakinya.
  2. Orang yang suka mengungkit pemberiannya terhadap seseorang.
  3. Orang yang menjual barang dengan sumpah palsu.

Disamping orang-orang kafir dan tiga golongan manusia tersebut, manusia yang asyik mengerjakan syirik tidak akan berpeluang untuk berhadapan dengan Allah bagi dipertimbangkan amalan diakhirat nanti.

Orang-orang yang bernasib baik tetap akan gementar seluruh anggota masing-masing kerana akan diperiksa lebih dahulu rekod amalan mereka sebelum ditimbangkan dineraca yang dipanggil sebagai ‘Mirzan’.

Allah akan memerintah malaikat-malaikatnya mengumpulkan umat-umat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. untuk diadili lebih dahulu seorang demi seorang.

Lalu dibuka kitab amalan masing-masing didepan mereka. Melihatkan mereka dengan tubuh yang basah berpeluh, dengan hati yang terkejut-kejut akan lembaran amalan mereka yang dilakukan sepanjang kehidupan didunia.

Ketika itu ditanya satu persatu amalan mereka, dan pada ketika itulah mulut mereka yang berhadapan dengan mahkamah pengadilan akan terkunci tidak dapat menjawap atau menafikan apa jua dakwaan yang dihadapkan.

Yang menjadi pembela mereka pada hari itu ialah amalan-amalan suci dan soleh terdiri dari sembahyang, sedekah, jihad, korban dan lain-lain.

Lidah, telinga, mata, hidung, tangan dan kaki akan menjadi saksi yang bakal membenarkan atau menafikan dakwaan-dakwaan.

Seseorang insan itu didakwa telah meragut nyawa seseorang manusia secara aniaya dan tanpa sebab ketika didunia maka tangannya berkata-kata.

Perhitungan Allah tentang perhisaban yang ditetapkannya dihari akhirat nanti akan berjalan licin dan tidak berselindung lagi.

Perhisaban manusia dimahkamah Illahi dihari akhirat akan disaksi oleh seluruh manusia dan jin serta juga para malaikat dan nabi-nabi. Setelah selesai dibentangkan tentang segala kesalahan dan kerja-kerja jahat mereka serta juga tentang amal-amal baik ketika didunia dulu lalu dihantarkan manusia itu kepada neraca ‘Mirzan’ untuk ditimbangkan beratnya atau ringannya amalan baik dan jahat tadi. 

Sekira didapati berat dosa mereka maka sekali gus ia akan berhadapan dengan api neraka yang marak menjulang yang sentiasa menanti mangsa-mangsanya.

Dan jika didapati pahalanya lebih berat dari dosa-dosa yang pernah dilakukan maka cerahlah nasibnya, akan terlepaslah dia dari bakaran api neraka.

Process pengadilan dimahkamah hari akhirat mempunyai peringkat masa tertentu dan ini bergantung kepada amalan seseorang. Ada yang merasakan pengadilan itu berjalan terlalu lama, memakan tempuh berpuluh-puluh tahun, ada pula yang merasakan seperti setahun, ada pula yang merasakan seperti setahun atau sebulan atau cuma beberapa minggu saja.

Dan ada golongan yang merasakan bahawa perjalanan pengadilan dihari akhirat sebagai terlalu singkat, Cuma sehari atau sekejab sahaja. Bagaimanapun setelah pertimbangan dilakukan dimahkamah Padang Masyar, manusia-manusia tadi dihantarkan pula menyeberangi satu jambatan yang melintasi kawah api neraka menuju ke neraka.

Gementarlah sekali lagi sekelian tubuh kerana dijambatan itu ditentukan sampaikah tidaknya perjalanan seseorang insan itu ke syurga atau terjunam masuk ke dalam neraka.

Orang-orang yang beramal soleh serta telah mendapat pengampunan dari Allah, para Rasul, Nabi-Nabi, para wali, para syuhada, ahli-ahli jihad serta mereka yang tinggi amalan baiknya merasakan jambatan yang memisahkan antara Padang Mahsyar dengan syurga sebagai terlalu dekat.

Ada yang merasakan jambatan itu cuma selangkah kecil sahaja, ada yang merasakan pula suatu lompatan dan ada pula yang melihat jambatan itu terlalu panjang dan sukar untuk dilintasi kerana bawahnya api neraka sedang marak menjulang dengan bunyinya yang mengegarkan dan mengerunkan.

Mereka yang tinggi amalannya serta yang mendapat rahmat dan kasihan dari Allah akan melalui jambatan penentuan itu cepat seperti sesaat atau sepertikan sesaat kilat menyambar.

Ada yang melintasi jambatan itu bagaikan hembusan angin kencang dan ada pula yang melintasi jambatan itu bagaikan burung yang terbang laju, ada yang melintasi seperti seekor kambing yang belari perlahan malah ada yang melintasi jambatan itu sehari semalam.

Sebahagian manusia melintasi jambatan penentuan itu memakan masa berminggu-minggu, dan ada yang berbulan-bulan dan ada pula yang bertahun-tahun.

Ada diantara mereka yang melihatnya seperti terlalu sukar untuk dilalui kerana licin dan berduri dan ada pula yang melihatnya sebagai terlalu tajam dan halus seperti rambut yang  dibelah tujuh.

Demikianlah serba sedikit pandangan tentang mahkamah Padang Mahsyar dan titian yang menentukan cerah gelapnya nasib seseorang manusia dihari akhirat nanti sebagaimana yang diterangkan oleh Allah didalam kitab Al-Quran.

Oleh:Naveer Mohidin bin Syed Mohammad.