Jumaat, 15 Oktober 2010

Pilih Jodoh Biar Sepadan.

Dalam masyarakat Melayu, kita selalu mendengar orang tua-tua menasihatkan anak-anak muda, kalau nak cari jodoh biarlah sepadan dan setaraf. Pemilihan jodoh biarlah setara disegi taraf, status social dan seterusnya. Bertemu jodoh yang setara, mereka dikatakan seperti pinang dibelah kacip dan seperti sirih pulang ke ganggang, engang sama engang dan pipit dengan pipit, tidak setaraf dan tidak sepadan, seperti merak dengan gagak dirimba.

Dalam Islam, prinsip setara atau kufu didalam mencari jodoh sudah menjadi perbincangan hangat dikalangan ulama. Sebahagian besar ulama menerima prinsip kufu didalam perkahwinan disegi aspek akhlak dan keagamaan tetapi tidak pada status social, keturunan dan ekonomi. Ibn Hazm berpendapat bahawa setiap Muslim adalah setaraf dengan muslimah yang lain dan demikianlah sebaliknya kecuali jika Muslim tadi seorang ‘kaki perempuan’ [penzina] atau perempuan muslimah tadi seorang pelacur atau penzina. Allah berfirman: “Lelaki yang berzina [lazimnya] tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik, dan perempuan yang berzina itu pula [lazimnya] tidak ingin berkahwin melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinnan yang demikian itu terhalang kepada orang-orang yang beriman.” [al-Nur: 3].

Demikian sifat dan keinginan golongan yang sentiasa melakukan zina, lelaki dan perempuan, adalah didalam kehinaan dan akan meneruskan perbuatan keji mereka jika tidak bertaubat. Allah menegaskan dalam ayat 26, surah Al-Nur: [Lazimnya] perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan [sebaliknya] perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka [yang baik] itu adalah bersih dari [tuduhan buruk] yang dikatakan oleh orang-orang [yang jahat] itu akan beroleh pengampunan [dari Allah s.w.t.] dan pengurniaan yang mulia itu.”

 
 

Ayat tersebut jelas mengambarkan bahawa biasanya orang-orang buruk perangai lebih suka mencari pasangan hidup daripada orang yang sejenis dengannya supaya masing-masing bebas melakukan perkara-perkara yang keji. Adalah jelas bahawa penzina tidak sesuai dan kufu dengan orang yang baik dan bersih. Ini diperkuatkan lagi firman Allah s.w.t.: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.” [al-Nisa: 3].

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Janganlah kamu mengahwini seseorang perempuan itu kerana kecantikkannya, mungkin kecantikkannya itu menjadinya buruk, jangan kamu mengahwininya kerana harta kerana mungkin hartanya itu menjadikan ia zalim tetapi kahwinilah mereka itu kerana agamanya, sesungguhnya perempuan hamba yang hitam tetapi beragama adalah lebih afdal untuk dikahwini.” Walaupun hadis tersebut pada zahirnya ditujukan kepada lelaki yang sedang mencari jodohnya, tetapi ia boleh juga dijadikan panduan didalam usaha menentukan sifat-sifat bakal suami.

Allah berfirman: “Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan musyrik sebelum mereka beriman [memeluk agama Islam], dan sesungguhnya seseorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu [kahwinkan perempuan-perempuan Islam] dengan lelaki kafir nusyrik, sebelum mereka beriman [memeluk agama Islam] dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki kafir musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. [Yang demikian ialah kerana] orang-orang kafir itu mengajak ke neraka. Sedangkan Allah s.w.t. mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan keizinannya. Dan Allah s.w.t. menjelaskan ayat-ayatnya [keterangan-keterangan hukumnya] kepada umat manusia supaya mereka dapat mengambil pengajaran [daripadanya].” [al-Baqarah: 221].

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Jika datang kepada kamu pinangan daripada seorang yang kamu reda terhadap agama dan akhlaknya, walaupun kurang berada, hendaklah kamu terima, kalau kamu menolaknya padanya adalah fitnah dan kerosakkan dimuka bumi.”  Allah s.w.t.: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalan dan beramah mesra antara satu dengan yang lain, sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah s.w.t. ialah orang yang lebih taqwanya diantara kamu [bukan yang lebih mulia keturunan atau bangsanya]. Sesungguhnya Allah s.w.t. maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuannya.” [al-Hujurat: 13].

Oleh:Prof.Dr.Mahmud Saedon Awang Othman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan