Ahad, 14 November 2010

Menghayati Erti Pengorbanan Dalam Islam

“BERKORBAN adalah satu bentuk ujian daripada Allah s.w.t. kerana dalam menjalani kehidupan di dunia ini, kita harus melakukan pengorbanan. Hidup tanpa pengorbanan adalah kehidupan yang gagal.

“Dalam menjalani hidup yang baik, kita mesti berkorban masa dan tenaga misalnya berusaha mencari rezeki yang halal bagi mengelakkan kemiskinan. Ia merupakan tuntutan hidup,” kata pensyarah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Roslan Mohamed mengenai konsep berkorban dalam Islam.

Korban berasal daripada perkataan Arab iaitu udhiyah. Ia menjurus kepada peristiwa pengorbanan satu keluarga iaitu Nabi Ibrahim dan isterinya, Hajar yang sanggup mengorbankan sesuatu yang amat mereka sayangi iaitu anaknya, Nabi Ismail demi kasih dan cinta kepada Allah s.w.t.


“Ini adalah nilai pengorbanan yang cukup tinggi di sisi Allah s.w.t. kerana ia bukan sahaja menguji kesabaran Nabi Ibrahim tetapi menduga sejauh mana ketakwaan Nabi Ibrahim. Maka Allah s.w.t. menggantikan tempat Nabi Ismail dengan seekor biri-biri.

“Sebagai orang Islam yang beriman, elakkan perasaan rugi dan sia-sia atas pengorbanan yang dilakukan kerana sesungguhnya Allah s.w.t. akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik,” katanya yang merujuk kepada surah as-Saffat, ayat 100 hingga 111.

Dalam Islam, Allah s.w.t. menggalakkan umatnya memiliki sifat berkorban demi membantu orang yang kurang bernasib baik. Memetik kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib: “Bahawa apabila kita dapat korbankan sesuatu yang paling berharga untuk orang lain, kelebihan yang akan kita peroleh nanti lebih daripada yang dikorbankan.

“Oleh itu, dalam melakukan sesuatu pengorbanan, jangan menganggapnya sebagai sia-sia tetapi sebagai satu cara untuk mendapat peluang yang lebih baik. Allah s.w.t. menjanjikan ganjaran pahala kepada mereka yang sanggup melakukan pengorbanan dan beramal kebajikan kepada mereka yang memerlukan bantuan,” ujar Roslan.


Mengenai konsep mengorbankan binatang pada hari-hari tasyrik, secara idealnya adalah lambang kepada sebuah pengorbanan yang menuntut makna tersirat di sebalik yang tersurat. Konsep ibadah korban lebih luas dan mampu melahirkan insan yang berwawasan serta memiliki anjakan paradigma.

“Jika dikaitkan ibadah korban dengan realiti semasa hari ini, kita boleh dianggap sebagai gagal sekiranya tidak dapat berkorban untuk orang lain walaupun mampu untuk mengorbankan seekor lembu atau unta.

“Dalam konteks ini, kita harus memperbetulkan persepsi dalam masyarakat. Ramai yang mampu mengorbankan binatang tetapi dalam erti kata sebenar tidak dapat menjiwai pengertian korban,” kata Roslan mengaitkan ibadah korban dengan pengertian pengorbanan.

Untuk menyemai semangat pengorbanan yang semakin hilang penghayatannya, beliau berkata, ibu bapa boleh menterjemahkannya dalam bentuk amalan harian dengan menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Secara tidak langsung, tindakan ini akan melahirkan anak-anak yang mudah membantu orang lain yang kurang bernasib baik.

“Kita perlu lahirkan keluarga yang ada nilai-nilai pengorbanan kerana pada hari ini, masyarakat Islam khususnya melalui transformasi dunia yang penuh cabaran.

“Sudah sampai satu tahap, umat Islam jangan hanya sekadar membaca sejarah dan kisah mengenai Nabi Ibrahim sebaliknya melihat erti pengorbanan dalam konteks yang lebih luas,” katanya.

Senario menarik yang turut berkait dalam isu pengorbanan ialah penglibatan ramai remaja Islam dengan gejala sosial seperti mat rempit, menghisap dadah, pelacuran dan sebagainya. Bagi membanteras permasalahan ini, banyak pihak perlu tampil untuk menyelamatkan remaja yang telah terkorban jiwa dan akhlak mereka akibat terpengaruh dengan rentak dunia yang semakin mencabar.


Tegas beliau, erti pengorbanan masih belum diungkap sepenuhnya kerana persepsi masyarakat yang mengaitkannya dengan pemikiran yang sempit. Pengorbanan yang jelas dapat diungkap apabila anak-anak berkorban menjaga ibu bapa yang sakit, suami menjaga isteri yang sakit, isteri menjaga suami yang sakit atau ada yang mengorbankan kehidupan mereka demi memberi nafas baru kepada golongan kurang bernasib baik.

Mengenai umat Islam luar negara yang ditindas seperti mana yang berlaku di negara-negara barat, Roslan berkata, pengorbanan yang boleh dilakukan untuk membantu mereka ialah sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t. memohon kesejahteraan mereka selain menghulurkan bantuan dari segi tenaga dan kewangan.

Dalam situasi begini juga, umat Islam perlu memiliki sifat hiba, sedih dan marah apabila melihat saudara seIslam ditindas dan hak mereka diketepikan.

Semangat berkorban perlu dijadikan satu budaya agar ia sebati dalam kehidupan seluruh umat manusia. Situasi ini akan menjana keutuhan masyarakat secara keseluruhannya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Sesiapa yang tidak mempedulikan orang Islam yang lain, maka dia bukan dari kalangan orang Islam.

Dalam erti kata lain, budaya berkorban yang diterapkan dalam masyarakat mampu menghindarkan sifat dendam, dengki, khianat dan perbalahan sebaliknya membina umat Islam yang ampuh dan berkualiti.

“Dalam Islam, pengorbanan ialah melakukan apa yang mampu kita lakukan termasuk korbankan masa, wang ringgit dan tenaga untuk membantu orang lain yang dalam kesusahan. Contohnya, dalam korban binatang, ada usaha rakyat Malaysia yang melakukannya di Kemboja, Vietnam dan Thailand,” jelas Roslan.

Menurut beliau, seseorang yang tidak pernah berkorban untuk orang lain sebenarnya tidak menghargai kehidupan yang dilaluinya di dunia. Pepatah ada menyebut, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Apabila seseorang membantu orang lain yang dalam kesusahan, bantuan itu akan diingat dan dikenang hingga ke akhir hayat. Secara tidak langsung ia membawa kepada keakraban dalam kalangan umat Islam.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0101&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive



Jom PuasA Sunat HarI ArafaH


Hari ini tanggal 15 November 2010/9 Dzulhijjah 1431 H, insya'allah saudara-saudara kita yg melaksanakan ibadah haji akan melaksanakan puncak dari ibadah Haji yakni wukuf di Arafahfah, oleh itu Baginda Rasulullah SAW. memerintahkan kita yg belum mampu melaksanakan Rukun Islam yang ke 5 ini untuk berpuasa Arafah sebagai mana sabda Baginda:

Dari Abu Qatadah Rahimahullah. Rosululloh shollallohu ‘alaihi wa sallam bersabda : "Puasa Arofah (9 zulhijjah) dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyuro (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (HR. Muslim)

Oleh itu jagan lupa besok hari Isnin 15 November 2010/9 Dzulhijjah 1431 H, mari sama-sama kita tunaikan salah satu ibadah sunnah untuk berpuasa Arafah,,,

Mari kita perbanyak do'a, karena "Sebaik-baik do’a adalah do’a pada hari Arofah. Dan sebaik-baik yang ku ucapkan, begitu pula diucapkan oleh para Nabi sebelumku adalah ucapan “Laa ilaha illallah wahdahu laa syarika lah, lahul mulku walahul hamdu wa huwa ‘ala kulli sya-in qodiir (Tidak ada sesembahan yang berhak disembah kecuali Allah semata, tidak ada sekutu bagi-Nya. Miliki-Nya segala kerajaan, segala pujian dan Allah yang menguasai segala sesuatu)

(HR. Tirmidzi no. 3585, dari Amr bin Syuaib, dari ayahnya, dari abangnya. Syeikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini hasan.)

ARTIKEL TAMBAHAN

Hari Arafah merupakan hari yang mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Jika para jemaah haji diwajibkan berada di padang Arafah untuk wuquf di sana, kita yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji pula digalakkan untuk berpuasa pada hari ini. Kedatangannya setahun sekali ini janganlah disia-siakan. Kita juga digalakkan untuk berzikir dan berdoa kepada Allah pada hari ini. Di sini dipetik sebuah hadis untuk renungan kita bersama.

Hadits Abu Qatadah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِى قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِى بَعْدَهُ

Puasa Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang.” [HR. Muslim no. 1162, dari Abu Qotadah]

Puasa hari ‘Arafah ialah puasa sunat pada hari kesembilan Dzulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang, sebagaimana hadith yang telah diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari ra:

Dan Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari ‘Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith:

Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari ‘Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di ‘Arafah lantas Baginda meminumnya. (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Juga daripada hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:

Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari ‘Arafah bagi mereka yang berada di ‘Arafah. (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah rha) [1]

Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Dzulhijjah di samping berpuasa pada hari ‘Arafah (9 Dzulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Dzulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Dzulhijjah (Hari ‘Arafah). Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari, iaitu dari hari yang pertama bulan Dzulhijjah hingga ke hari yang kelapan sama ada bagi orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama dengan hari ‘Arafah.

Diriwayatkan dari Ibn Abbas ra:

Rasulullah SAW bersabda: “Tiada amal yang soleh yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih disukai daripada hari-hari ini (sepuluh hari pertama dalam bln Dzulhijjah).” (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari beberapa isteri Nabi SAW:

Sesungguhnya Rasulullah SAW melakukan puasa sembilan hari di awal bulan Dzulhijjah, di hari ‘Asyura dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin yang pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya. (Hadith Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasa’ie)

Adapun berpuasa pada hari Aidiladha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari tasyrik (11, 12 dan 13 Dzulhijjah) adalah diharamkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan dari Umar ra:

Bahawasanya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari, iaitu ‘Eid al-Adha dan ‘Eid al-Fitr. (Hadith Riwayat Imam Muslim, Ahmad, an-Nasa’ie, Abu Dawud)

Serta hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:

Rasulullah SAW telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina: “Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari tasyrik). Ia adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad, sanadnya hasan) [2]

Allahu a’lam bisshawab..

——————————————————

[1] al-Imam as-Syaf’ie rh berpendapat; “Disunatkan puasa pada hari ‘Arafah bg mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji. Adapun bg yang mengerjakan ibadah haji, adalah lebih baik untuknya berbuka agar ia kuat berdoa di ‘Arafah.” Dari pendapat Imam Ahmad rh pula; “Jika ia sanggup berpuasa maka boleh berpuasa, tetapi jika tidak hendaklah ia berbuka, sbb hari ‘Arafah memerlukan kekuatan (tenaga).” Begitu juga dengan para sahabat yang lain, lebih ramai yang cenderung untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah ketika mengerjakan ibadah haji

[2] Ulama Syafi’iyyah membenarkan untuk berpuasa pada hari tasyrik hanya untuk keadaan tertentu seperti bersumpah, qadha puasa di bulan Ramadhan serta puasa kifarah (denda). Puasa tanpa sebab tertentu pada hari-hari ini (puasa sunat) adalah ditegah.

Sumber:

http://www.facebook.com/note.php?note_id=462454014529&id=169144529616

dan

http://www.facebook.com/note.php?note_id=159072027467613&id=100000389588030