Jumaat, 29 Oktober 2010

Tanda-Tanda Isteri Yang Derhaka





Apabila telah bergelar suami dan isteri maka ketika itu masing-masing mempunyai tugas dan tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Suami bertanggungjawab untuk memberi nafkah secukupnya, mendidik isteri dan anak-anaknya supaya sentiasa mentaati Allah s.w.t. dan beramal dengan Islam. Isteri pula bertanggungjawab mentaati dan menghormati suami dan menjaga kehormatan diri ketika ketiadaan suami dirumah dan melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anaknya dengan didikan Islam.


Sahabat yang dimuliakan,

Kita jangan keliru, apabila wanita disebut sebagai isteri, bukanlah untuk merendahkan taraf wanita itu. Ia adalah sebagai suatu jaminan hak supaya mereka itu dipelihara, dilindungi dan dibela dengan baik oleh suami.

Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka.


Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha bermaksud:

"Aku pernah bertanya kepada Baginda: "Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?" Baginda menjawab:"Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya". Kemudian aku bertanya lagi :"Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?" Baginda menjawab:"Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya."
(Hadis Riwayat Bazar dan al-Hakim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula Nabi s.a.w. bersabda bermaksud: "Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya."

(Hadis Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban)

Jika ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu hanya membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian itu dikhuatiri termasuk di dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.


Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya. Berikut diketengahkan antara ciri atau tanda isteri derhaka:


1.Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami


Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Aku lihat api Neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli Neraka ialah wanita. Rasullullah s.a.w. ditanya: "Mengapa demikian ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup."

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w.bersabda bermaksud:

"Kebanyakan ahli Neraka adalah terdiri daripada kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?" Baginda menjawab : "Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Ibnu ‘Asakir pula menyebut: "Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya."


Para isteri kena ingat bahawa tidak ada alasan yang kukuh untuk isteri menderhakai suaminya jika suaminya miskin dan tidak berharta atau memberi perbelanjaan yang tidak mencukupi. Dalam keluarga Saidatina Fatimah Azzahrah anak Rasulullah s.a.w. sentiasa kekurangan dalam perbelanjaan keluarga kerana kemiskinan Sayyidina Ali k.w. keadaan ini tidak membuat Saidatina Fatimah menderhakai suaminya. Isteri perlu bersabar dan mencari jalan untuk mengatasi masaalah tersebut.


2. Menyakiti hati suami.


Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: " Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami."

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

3.Puasa sunat tanpa keizinan suami.


Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya : "Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4.Keluar rumah tanpa izin suami.


"Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali."

(Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)

5.Meminta cerai daripada suami.


Sabda Rasulallah s.a.w. bermaksud:

"Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syara’ haram baginya bau Syurga."
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

6.Isteri yang tidak menunaikan hajat suami


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

7.Mendedahkan keaifan suaminya pada orang lain :


Isteri yang suka mendedahkan keaifan suaminya pada bukan mahramnya adalah satu sifat yang keji dan di murkai Allah s.w.t. Maruah suami perlu dijaga dan tidak boleh dijaja kesana kesini untuk mencari simpati orang lain. Tetapi sekiranya tujuannya murni untuk membaiki akhlak suaminya dan membaiki keluarganya maka perlulah dirujuk dengan alim ulama' yang mempunyai autoriti seperti pejabat kadi dan kaunsiling dengan tujuan mencari penyelesaian secara baik.


Demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ianya akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya kaum isteri.


Para isteri janganlah berfikiran singkat untuk menderhakai suaminya hanya dengan perkara kecil dan masaalah remeh temeh. Apakah kalian sanggup tergolongan dikalangan para isteri derhaka yang akan memasuki Neraka? Apakah disebabkan masalah duniawi yg kecil contoh giliran balik kampung berhari raya, suami balik lewat, tak dapat membeli barang idaman atau perhiasan boleh menjadi pergaduhan besar hingga berlaku cerai berai dalam rumah tangga? Ingatlah! hidup di dunia hanyalah sementara dan kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi, bersabarlah dengan masaalah di dunia ini untuk mendapat balasan dan ganjaran yang besar di hari akhirat nanti.


Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Seorang perempuan yang beriman kepada Allah tidak halal mengizinkan orang yang dibenci suaminya memasuki ke rumahnya, tidak boleh keluar jika suaminya tidak menyukainya, tidak boleh mentaati seorang pun di rumah suaminya (kecuali suaminya), tidak boleh meninggalkan tempat tidurnya dan tidak boleh memukul suaminya. Jika suaminya berlaku zalim kepadanya, hendaklah ia tetap di sisi suaminya sehingga ia dapat menjadikan suaminya senang. Jika suaminya mahu menerimanya hal itu sangat menguntungkan dirinya dan Allah pun akan menerima alasannya, memenangkannya dan dia tidak berdosa sedikit pun. Sekiranya suaminya tetap tidak meredhainya, sesungguhnya alasannya di sisi Allah tetaplah kuat.”
(Hadis Riwayat Hakim)

Disediakan oleh : Abu Basyer

Tiada ulasan:

Catat Ulasan