Selasa, 5 Oktober 2010

AMALAN SOLEH TEMAN SETIA DALAM KUBUR

Semua benda yang bernyawa akan mati termasuk manusia, jin dan malaikat. Walau bagaimana pun binatang tidak ada tanggungjawab seperti manusia dan jin, sementara malaikat pula mempunyai tanggungjawab yang khusus. Namun begitu mereka tidak pernah melakukan kesalahan kerana para malaikat tidak mempunyai nafsu sebab itulah malaikat sentiasa bersih dan tidak melakukan sebarang kesalahan dan maksiat.

Allah menjadikan jin dan manusia supaya mereka mengakui bahawa Allah itu adalah Tuhan sebenar yang menjadikan semua alam termasuk langit dan bumi.

Dialah yang menyediakan rezeki kepada semua makhlukNya dengan rezeki yang sesuai, sedangkan semua rezeki yang diberikan kepada mereka secara percuma tanpa diminta bayaran. Oleh yang demikian tidak wajar sama sekali jin dan manusia ingkar dengan perintah Allah.

Dengan rahmatNya Dia menjadikan jin dan manusia mempunyai akal untuk berfikir dalam perkara yang berfaedah, mereka diberi pendengaran untuk mendengar perkara yang baik. Oleh itu tidak sepatutnya mereka kufur kepada Allah.

Mereka dapat memilih ajaran yang baik dan yang buruk kerana Allah telah mengutuskan Rasul bagi menyampaikan ajaran Allah kepada umat manusia.

Nabi telah menyatakan kepada mereka bahawa Allah memberi ganjaran yang baik kepada mereka yang beriman dan membuat amalan yang soleh, mereka diberi peluang masuk syurga di akhirat kelak.

Bagi mereka yang kufur kepada Allah ditempatkan dalam api neraka.

Kita sebagai manusia adalah makhluk Allah yang paling sempurna kerana rupa bentuk manusia yang lebih cantik jika dibandingkan dengan berbagai jenis binatang.
Kita mempunyai akal yang boleh mengenal sesuatu yang baik dan yang tidak baik, kita dapat menerima berbagai ilmu pengetahuan yang berguna untuk kebaikan di dunia dan akhirat.

Dengan adanya ilmu pengetahuan, manusia memajukan lagi kehidupan mereka disampaing dapat memahami ajaran yang suci.

Dunia ini adalah tempat sementara bagi umat manusia membuat amal ibadat, namun begitu tidak menjadi kesalahan kepada mereka mencari harta kekayaan dengan cara yang baik dan diredahai Allah kerana mereka memerlukan wang untuk mencari nafkah dan lain-lain keperluan.

Namun begitu bagi mereka yang menpunyai harta kekayaan tidak sepatutnya lupa dengan Allah yang memberikan kekayaan kepada mereka. Harta yang berlebihan pula patut digunakan untuk membantu mereka yang susah, seperti fakir miskin, membantu anak yatim dan sebagainya.

Jika hendak mengira nikmat Allah yang diberikan kepada kita, sudah tentu kita tidak boleh mengiranya, cuba kita perhatikan anggota kepala kita miliki seperti akal yang boleh berfikir, mata yang boleh memandang, telinga yang boleh mendengar dan mulut yang boleh bercakap, sudah tentu anggota tersebut tidak dapat ditukar ganti dengan barang palsu.

Oleh itu tidak sepatutnya kita cuai dengan tanggungjawab kita kepada Allah, kita perlu ingat bahawa semua umat manusia akan menemui mati dan apabila seseorang itu telah mati, maka tidak ada peluang lagi untuk mereka membuat amal ibadat, kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah yang dapat digunakan oleh mereka yang masih hidup, kedua ilmu pengetahuan yang dapat digunakan orang lain kerana mereka belajar atau membaca buku karangan orang yang telah mati dan ketiga mereka yang mempunyai anak yang soleh yang boleh mendoakan ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

Oleh yang demikian kita sebagai umat Islam yang beriman, mistilah melakukan sesuatu yang berfaedah didunia kerana apabila seorang itu mati, harta dan anak isteri tidak bersama dengan mereka lagi.

Yang bersama dengan mereka ialah ilmu pengetahuan yang telah diamalkan dan amal kebajikan yang baik kepada Allah. Hanya dengan cara itu sahaja mereka dapat selamat dari seksa kubur dan seksa api neraka.
Oleh: Abd. Hazir Hj. Sudin.



“Perbezaan kepercayaan Islam dengan nasrani. Buat nasrani, kematian itu adalah dosa. Buat Islam, kematian itu adalah keadilan Tuhan, belas kasihan Tuhan kepada hambaNya, disuruh pergi ke dunia, dan kemudian dipanggil pulang. Mengapa ke dunia? Untuk belajar memperbaiki budi, berjuang dalam hidup. Kalau orang bersungguh-sungguh memperbaiki hidupnya, inginlah dia hidup supaya sesudah hidup itu, dia bersoleh kematian”.
Prof.Dr.Hamka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan