Selasa, 2 November 2010

kisah KISAH SAYANG..



Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada 
aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang 
menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket 
seluar ayah. 

Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua. 
Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar 
melihat 

rotan panjang sedepa di tangan ayah. 

"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar. 

Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata 
ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai. 

"Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!" sambung ayah 
sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang 
aku. 

Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah 
tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!" 

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata 
itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku 
gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun 
airmata adik tak tumpah. 

Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut: 


"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi 
perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?" 

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. 
Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun 
adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi 
kesakitan yang mencucuk-cucuk. 

Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap 
aku yang takut berkata benar. 

Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya 
lalu berkata,"Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!" 

Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. 

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan 
aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran 
belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung 
pelajaran ke peringkat pra-universiti. 

Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu 
di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua anak kita 
cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!" 

"Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak. 


"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?" 

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah 
dan ibu. 
"Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!" 

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya 
dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam. 

Panggggg....sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa 
yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis. 

"Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana 
persekolahan kamu, ayah akan lakukan!" 

"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat 
membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik 
tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak. 

"Kakak perempuan...biarlah kakak yang berhenti." 

Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. 
Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di 
atas 

pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang 
tercatat..... 

"Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya 
cari kerja dan akan kirim wang buat akak." 

Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas 
dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya 
memujuk 

ayah. 

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: 
"Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!" 

"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?" 


Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik 
berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa 
sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!" 


Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. 
Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?" 

Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku 
cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku 
kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik. 

Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak 
peduli apa orang lain kata." 


Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk 
kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak, saya tengok 
ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak." 

Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya 
dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan. 

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. 
Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu. 


"Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik." 

"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya 
luka-luka." 

Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan. 


"Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya. 

"Tak....Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil 
dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang 
masa. 


Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk 
bekerja keras." 

Apalagi...aku menangis seperti selalu. 

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan 
menawarkan jawatan pengurus kepada adik. 

"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik. 


"Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik 
ada." 

"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk. 

"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan 
kesedihannya. 

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah 
ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis 
sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda 
sayangi?" 

Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya...."katanya lantas 
menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati. 

"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki 
ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya 
memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada 
saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat 
kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar." 

"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan 
apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan 
menjaganya sampai bila-bila." 

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap 
adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan