Ahad, 10 Oktober 2010

Kelahiran Anak Jadi Ujian Allah Kepada Ibu Bapa

Anak adalah anugerah Allah yang istimewa kepada pasangan suami isteri.

Firman Allah bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda yang diingini oleh nafsu ialah perempuan dan anak pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul daripada emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan ternakan serta kebun, semuanya ialah kesenangan hidup di dunia.” (Surah Ali Imran, ayat 14)
 Perlu ditegaskan bahawa kelahiran seorang anak diharap akan menyambung warisan keluarga. Ia sebenarnya mengungkap banyak makna dan pengertian yang tersurat dan tersirat di sebalik kewujudan mereka. Ia boleh dijadikan renungan dan iktibar untuk menginsafkan kita sebagai hamba Allah.
 Pertama kelahiran anak memadai sebagai bukti paling mudah mengisyaratkan kekuasaan dan keangungan Allah mengatasi segala-galanya di alam maya ini. Sebelum lahirnya anak itu, dia melalui pelbagai peringkat berbeza dalam rahim selama sembilan bulan 10 hari sehingga tercipta seorang manusia yang sempurna kejadiannya.
 Dalam hal ini, Allah menceritakan proses kejadian manusia di alam rahim dalam firman-Nya bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air benih pada tempat penetapan yang kukuh (dalam rahim). Kemudian kami ciptakan air benih (air mani) itu menjadi sebuku darah beku; lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging. Kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi berapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Selepas sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya.” (Surah al-Mukminun, ayat 12-14)
 Selepas itu, barulah tercipta seorang insan yang sempurna kejadiannya sesuai dengan pengiktirafan Allah kepada manusia sebagai khalifah dan hamba Allah di bumi ini.
 Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (Surah at-Tin, ayat 4)
 Pengajaran betapa kejadian manusia yang amat kompleks ini, cukup membuktikan betapa Allah Maha Besar lagi Maha Agung. Dia adalah pencipta yang sebenarnya kepada sekalian alam ini.
 Seterusnya, manusia sebenarnya amat daif dan kerdil sifatnya sentiasa bergantung harap kepada Allah sepanjang masa.
 Oleh itu, setiap insan wajib beriman kepada Allah untuk menikmati kesejahteraan di dunia dan akhirat dalam keredaan Ilahi.
 Kedua, anak adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa. Justeru, lahirnya seorang anak bukannya sebagai satu keseronokan hidup atau bebanan. Sebaliknya. ujian Allah kepada setiap ibu bapa.
 Firman Allah bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28)
 Dari sini setiap ibu bapa wajib mendidik dan mengasuh anak mereka. Tetapi, malangnya sejak akhir-akhir ini, ada yang sanggup membunuh anak sendiri sama ada dengan membuang bayi di tepi jalan, melakukan penderaan yang membawa kepada kematian dan sebagainya. Maka, tidak hairan As Sheikh Muhammad Qutb menganggap bahawa kita kembali kepada zaman jahiliah yang sanggup menanam hidup-hidup anak perempuan mereka kerana tidak sanggup menanggung malu. Jadi tidak ada bezanya sama sekali di antara perbuatan menanam bayi itu dengan membuang anak dengan niat membunuh. Ini kerana kedua-dua perbuatan itu dilarang Allah.
 Perlu diinsafi bahawa mendidik dan mengasuh anak termasuk dalam pengertian ibadat kepada Allah. Ini kerana, setiap ibu bapa akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dilakukan terhadap anaknya. Lebih-lebih lagi anak itu adalah seumpama helaian kertas putih yang belum lagi diwarna dan dicorakkan. Maka ibu bapalah yang mewarna dan mencorakkannya berdasarkan kepada cita rasa mereka.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang dalam pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawab terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.” (Riwayat Bukhari)

Menyedari kepentingan pendidikan terhadap anak-anak, maka setiap ibu bapa wajib mendidik anak mereka menjadi orang berguna untuk agama, masyarakat serta negara.
 Untuk itu, mendidik anak mempunyai kepakaran dan seninya tersendiri. Rasulullah s.a.w. menganjurkan ibu bapa agar mempunyai sifat lemah lembut, penuh kasih sayang, berlapang dada dan sabar dalam menghadapi kerenah anak yang pelbagai ragam.
 Diriwayatkan dari Abu Hurairah katanya: “Sesungguhnya Al Aqra’ bin Habis pernah melihat baginda memeluk Hasan. Lalu Al Aqra’ berkata: Sesungguhnya aku memiliki 10 anak, namun aku tidak pernah memeluk seorang pun daripada mereka. Kemudian, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya sesiapa yang tidak mempunyai sifat penyayang, nescaya dia tidak akan disayangi.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
 Menyentuh mengenai corak pendidikan terhadap anak-anak, Ibnu Khaldun dan menggariskan pendidikan itu kepada tiga iaitu:
 Pertama, melengkapkan anak dari segi keagamaan. Tugas ini lebih menjuruskan ke arah pemantapan iman dan istiqamah dengan Islam, agar anak-anak berpegang teguh kepada ajaran Islam. Dari sini, barulah ketahanan diri dan kemantapan iman dapat dijana sebagai generasi pewaris kepimpinan Islam pada masa depan.
 Kedua, menghias diri anak dengan perhiasan akhlak Islam. Ini selaras dengan sabda baginda bermaksud: “Didiklah anak-anak kamu dan perelokkanlah akhlak mereka.” (Riwayat Ibnu Majah)
 Sejarahlah membuktikan betapa akhlak memainkan fungsi utama dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa. Justeru, pembinaan akhlak perlu bermula dari rumah, iaitu ibu bapanya yang bertanggungjawab dalam membentuk generasi kental dan tahan uji dengan apa juga cabaran.
 Ketiga, melengkapkan diri dari segi pemikiran, Ini bermakna aspek keilmuan juga wajib diberi penekanan terutama ilmu agama sebagai perisai dan bekalan dalam meniti jambatan hidup yang penuh onak dan duri.
 Pada masa sama, jangan dikesampingkan ilmu duniawi yang tidak kurang pentingnya dalam mencorakkan hala tuju dan matlamat hidup manusia di dunia dan akhirat. Ilmu juga berfungsi menyerlahkan ketampilan dan jati diri seseorang sebagai seorang Muslim berpendirian teguh dan berwawasan. Ilmu sewajarnya dicerna bersama dengan iman dan akhlak bagi melahirkan insan Muslim yang berkeperibadian sepadu dan sempurna serta sebagai anggota masyarakat yang berguna kepada Islam dan negara.
 Kesimpulan, anak adalah amanah Allah yang perlu diberi perhatian terbaik agar menjadi insan bertakwa serta berguna kepada Islam dan masyarakat.Alangkah beruntungnya ibu bapa yang memiliki anak yang salih, dimana doanya adalah amalan berterusan di mana pahalanya sampai kepada kedua ibu bapa yang mendidiknya. Untuk renungan kita bersama, Lukman Al Hakim pernah berpesan kepada anaknya sebagaimana terungkup dalam firman Allah bermaksud: “Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan kemungkaran dan bersabarlah terhadap segala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Surah Lukman, ayat17)
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan