Ahad, 10 Oktober 2010

MEMPERBETUL DIRI SIFAT TERPUJI MUKMIN SEJATI

Selaku hamba Allah yang serba lemah, manusia tidak                              
                                                       sunyi daripada salah dan silap serta melakukan dosa atau
                                                     kesalahan. Sebab itu setiap manusia perlu menginsafi
                                                kekurangan dan kelemahan diri masing-masing.

Walaupun seseorang itu dilebihkan Allah dengan kurniaan pangkat dan harta. Allah tidak menghendaki ia menjadi seorang yang sombong atau berasa dirinya serba cukup.

Sebaliknya, ia perlu menginsafi kekurangannya dari sudut yang lain. Mungkin dia seorang yang kaya dan berharta tetapi kurang dari segi ibadahnya kepada Allah, rendah nilai imannya, ilmunya serta akhlaknya.

Ramai di kalangan umat Islam hari ini yang suka melihat cacatcela atau aib orang lain, sehingga banyak berlaku umpat keji, iri hati, saling memfitnah dan seumpamanya, dengan anggapan dialah yang lebih baik padahal dirinya penuh dengan kelemahan.

Namun, lantaran wujudnya sifat ego atau angkuh menyebabkan dia tidak mahu mengakui kelemahan dirinya sendiri.

Sesungguhnya Allah sangat membenci seseorang yang menganggap dirinya lebih sempurna atau lebih baik daripada orang lain sedangkan hanya Allah yang maha mengetahui siapakah manusia yang terbaik itu.

Sebab itu, berbahagialah orang yang suka meneliti aib sendiri seperti mana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Berbahagialah (thuuba) bagi sesiapa yang sibuk memerhatikan (memperbetul) kekurangan (diri) sendiri daripada meneliti kekurangan orang lain.” (HR Al-Bazzar dari Anas)

Mengapa orang yang gemar memperbetul diri sendiri dikatakan oleh Nabi s.a.w. sebagai orang yang bahagia? Jawapannya ialah kerana orang yang asyik melihat kekurangan sendiri menyebabkan dia tidak punya masa memeriksa atau melihat kekurangan orang lain. Dengan demikian, dia tidak akan bermusuhan dengan sesiapa manakala Allah s.w.t. pula menyukainya dan manusia lain pun tidak akan membencinya.

Sebab itu sebagai manusia, kita perlulah sentiasa bermuhasabah diri – muhasabah terhadap kekurangan iman dan amalan kita, muhasabah terhadap kekurangan ilmu dan ibadah serta ketaatan kita kepada Allah s.w.t. dan pelbagai kelemahan lain.

Saidina Umar Al-Khattab berkata: “Hisab (hitunglah) dirimu sebelum nanti maku dihisab oleh Allah (pada hari akhirat).”

Dinyatakan bahawa terdapat satu pohon di syurga yang dipanggil “Al-Thuuba” (perkataan thuuba seperti tersebut dalam hadis Nabi s.a.w. adalah berasal dari perkataan “tayyib” yang memberi maksud ‘bagus atau baik sekali’ yang sangat luas dan lebar naungan pohonnya dimana memerlukan masa 100 tahun seseorang berjalan dibawahnya dengan berkenderaan umpama kuda dan sebagainya.

Sibuk meneliti aib atau kekurangan sendiri memberi bermaksud sentiasa memperbetul kelemahan dan kesalahan diri sendiri lalu insaf dan bertaubat, kemudian segera membuat perubahan, iaitu daripada bersifat negatif kepada sifat yang positif, juga sentiasa berlapang dada dalam menerima nasihat yang baik.

Sebenarnya memperbetul atau memuhasabah diri adalah sifat yang sangat mulia dan terpuji kerana ia sunnah Rasulullah s.a.w. dan merupakan amalan salihin dan mukmin sejati.

Dalam satu wasiat Saidina Umar Al-Khattab, beliau menyatakan: “Jika anda menemukan cela (kekurangan) pada seseorang dan anda mahu mencacinya, maka cacilah dirimu (sendiri), kerana celamu (kekuranganmu) lebih banyak darinya.” Dengan menginsafi yang kekurangannya lebih banyak daripada orang lain, tentulah akan mematahkan hasratnya untuk mencela orang lain.

Adalah diriwayatkan bahawa pada setiap malam, Saidina Umar Al-Khattab akan memeriksa catatan amalannya. Sekiranya terdapat amalan kebaikan, ia melahirkan perasaan syukur kepada Allah lalu berazam dengan lebih gigih untuk menambah lagi amal kebaikannya pada keesokan harinya.

Tetapi apabila sampai kepada catatan amalan yang tidak baik, ia terus mencela dan menyeksa dirinya (sendiri) sebelum nanti berhadapan dengan seksaan Allah pada hari akhirat.

Inilah ketinggian sifat Saidina Umar. Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. bersabda bermaksud: “Jika kamu mahu menyebut keaiban (kekurangan) orang lain, maka ingatkanlah lebih dulu keaiban dirimu sendiri.”

Seseorang Muslim itu bukanlah tidak boleh memperingatkan saudara seagamanya yang melakukan perbuatan tercela agar kembali ke pangkal jalan, bahkan itulah satu sifat terpuji.

Tetapi hadis Nabi s.a.w. seperti di atas mengingatkan agar seseorang itu tidak mencari aib orang lain sehingga aib sendiri dilupakan. Adalah sifat yang lebih keji jika mencari-cari atau meneliti aib orang lain itu menjadi kegemaran kepada seseorang.

Untuk menjadikan kita insaf dan sedar terhadap kekurangan diri sendiri, Islam menyeru dan menyarankan agar kita sentiasa berbaik sangka kepada sesama manusia, semoga dengan demikian hari kita selalu bersih dan terjaga daripada segala sesuatu yang tidak baik.

Nabi s.a.w. bersabda bermaksud: Ada dua macam yang tidak ada di atas kedua-duanya sesuatu berupa kebaikan, iaitu baik sangka dengan Allah s.w.t. dan baik sangka dengan hamba Allah (manusia). Dan ada dua macam pula yang tidak ada di atas kedua-duanya sesuatu berupa kejahatan, iaitu buruk sangka dengan Allah dan buruk sangka dengan hamba Allah.”

Hadis itu menyarankan sekali gus menggesa kita agar berbaik sangka terhadap Allah dan hamba-Nya, iaitu manusia, dan tidak pula menaruh buruk sangka kepada Allah dan juga hamba-Nya kerana perlulah diinsafi bahawa yang benar-benar mengetahui apa yang terkandung di dalam hati setiap manusia itu hanyalah Allah.

Sudah menjadi sifat manusia, iaitu tidak mahu mengakui kekurangan diri sendiri. Kadang-kadang ada saja ulasan di dalam hati kita apabila memandang seseorang yang menurut pandangan zahir kita terdapat kekurangan padanya.

Sebagai contoh, jalannya tempang, mulut atau matanya besar, bibirnya tebal, tidak pandai dan pelbagai lagi ungkapan hatinya yang sebenarnya kotor. Sememangnya manusia ini sifatnya berasa dirinya benar belaka dan lebih baik daripada orang lain.

Allah s.w.t. mengingatkan di dalam al-Quran menerusi firman-Nya bermaksud: “Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih daripada dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang yang bertakwa.” (An-Naim: 32)

Maka, untuk mewujudkan hubungan harmoni di dalam kehidupan bermasyarakat, sewajarnya setiap individu Muslim saling bersangka baik dan saling hormat-menghormati kerana manusia itu ada kelebihan dan kelemahannya masing-masing.

Sedarlah kelemahan diri sendiri sebelum berasa ada kekurangan pada diri orang lain. Jika kita terlihat kecacatan pada seseorang yang Allah tunjukkan, segeralah berfikir dan insaf yang kita lebih cacat daripada orang itu. Kecacatan hati kita sebenarnya adalah lebih parah berbanding kecacatan lahiriah yang kita lihat pada diri orang lain.

Oleh itu, setiap Muslim perlu memperbaiki diri masing-masing, menjauhkan diri daripada terjerumus ke lembah kemungkaran serta buangkan segala sifat mazmumah yang banyak bersarang di hati agar mudah perjalanan kita menuju Allah s.w.t. dan mencapai keredaan-Nya.


 
Oleh WAN AMINURRASHID.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan