Isnin, 11 Oktober 2010

Memanfaat anugerah tuhan




Manusia adalah sebaik-baik kejadian kerana dibekalkan akal untuk berfikir. Akal membolehkan manusia memikirkan apa yang perlu dilakukan. Menilai apa yang berlaku, membuat keputusan dan menjadi hamba yang taat.

Akal yang dianugerahkan kepada manusia adalah keistimewaan. Ini kerana hanya manusia satu-satunya makhluk ciptaan Allah yang diberikan akal.

Haiwan hanya diberikan nafsu dan malaikat pula diberikan ketaatan yang sepanjang hayatnya hanya mengabdikan kepada Allah tanpa kelalaian dalam menjalankan tanggungjawab itu.

Oleh itu, haiwan dan malaikat tidak dihisab amalan mereka. Pada akhirat nanti haiwan dibangkitkan hanya sebagai saksi kepada perbuatan dan malaikat pula akan meneruskan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Sehubungan itu, amat perlu manusia menghargai anugerah itu dengan menggunakan untuk menjalani kehidupan di dunia sebagai hamba bertakwa.

Akal bertindak sebagai pengawal kepada nafsu yang sering membawa kemurkaan Allah dan mendekatkan manusia ke jurang kecelakaan. Sebab itu dimaksudkan akal ialah kekuatan atau menahan.

Tidak berakal atau pendek akal pula bermaksud tidak menggunakan akal untuk mencari kebaikan atau mengelak daripada berlaku kecelakaan kepada diri. Malah pendek akal akan menyebabkan manusia berada pada tahap serendah-rendah darjat.

Orang berakal menggunakan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup.

Sebenarnya dalam al-Quran banyak disebut mengenai kegunaan akal. Manusia diminta menggunakan akal untuk berfikir, merenung kejadian alam dan mencari keperluan hidup melaluinya. Akal yang membezakan di antara kebenaran dan kepalsuan.

Firman Allah bermaksud: “…Sesungguhnya dalam semua itu ada keterangan bagi orang yang mengerti (berakal).”-(Surah Taha, ayat 54).

Firman-Nya lagi maksudnya: “…Sesungguhnya hal ini menjadi keterangan untuk kaum yang berfikir.”-(Surah ar-Raad, ayat 4).

Fikiran perlu digunakan setiap masa untuk memastikan apa yang dilakukan tidak lari daripada apa yang sepatutnya sebagai hamba-Nya. Sikap tidak mahu berfikir kerana menganggap sudah biasa dengan sesuatu perkara atau tindakan sebenarnya satu amalan salah.

Kita tidak menanggung sebarang kerugian jika sentiasa berfikir. Akal tidak akan habis biarpun sebanyak mana digunakan. Bahkan akan menjadi lebih bijak dan bernas jika sering digunakan.
Sebaliknya, jika akal tidak digunakan, ia akan menjadi beku dan berkarat. Pemikiran beku atau jumud dikaitkan dengan pemikiran yang tidak mahu menerima perkara lain 
melainkan apa yang diputuskan sebelum itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan