Selasa, 9 November 2010

Merentasi Benua : Corak Pakaian Wanita Hui di China

Kaum wanita etnik Hui di China sentiasa memakai tudung kain sutera yang berwarna hijau. Fesyen pakaian dan hiasan kepala wanita etnik tersebut mempunyai keistimewaan yang bersifat etnik dan unsur tempatan yang tebal. Hari ini, kita akan bersama-sama mengetahui pelbagai corak pakaian etnik Hui di China.

Fesyen pakaian yang mempunyai keistimewaan itu telah lama wujud dan telah mengalami perubahan yang besar di Wilayah Autonomi Hui Ningxia China, iaitu kawasan yang didiami oleh penduduk Islam terbesar di China. Menurut sejarah sejak ratusan tahun yang lalu, pakaian etnik Hui telah beberapa kali mengalami perubahan.

Kebelakangan ini, pereka pakaian cuba untuk menambah unsur-unsur moden terhadap pakaian tradisional etnik Hui. Warna, corak dan kualiti pakaiannya semakin diperkayakan.

Kaum lelaki dan wanita etnik ini gemar memakai baju yang bercampur-campur warnanya. Kaum lelaki gemar memakai kopiah berwarna putih, hitam dan merah yang diperbuat daripada kain kapas dan sulaman. Kaum wanitanya pula gemar memakai tudung berwarna hitam, putih dan hijau. Selain warna tersebut, terdapat warna-warna merah dan biru. Kebanyakan tudung kain sutera diperbuat daripada kain kapas dengan reka bentuk tudung yang mengalami perubahan yang besar daripada rekaan tradisionalnya.

Masjid Najiahu terletak di Kaunti Yongning Bandar Yinchuan Wilayah Autonomi Ningxia. Imam muda dari masjid ini memakai kopiah berwarna putih dan sut longgar yang bersih. Kebanyakan jemaah yang bersembahyang juga memakai pakaian seperti itu.

Bilangan penduduk etnik Hui merupakan 84.5% daripada 354 ribu orang penduduk yang tinggal di kaunti Tongxin Wilayah Autonomi Hui Ningxia. Kebanyakan kaum wanitanya yang sudah berkahwin memakai tudung berwarna biru muda dan berpakaian biasa. Kaum lelaki memakai kopiah berwarna putih dan memakai sut longgar. Gadis-gadis etnik Hui pula gemar memakai tudung berwarna putih manakala gadis yang belajar di sekolah bahasa Arab Tongxin memakai jubah labuh.

Pakar penyelidikan fesyen pakaian etnik Hui Akademi Sains dan Sosial Wilayah Autonomi Ningxia, Tao Hong berkata proses perubahan fesyen pakaian etnik Hui adalah selaras dengan proses pertembungan antara budaya Arab dengan budaya China, yang merupakan proses adat resam dan corak pakaian seharian.

Menurut pakar penyelidikan budaya etnik Hui, pembentukan etnik Hui bermula pada penghujung Dinasti Yuan dan pada awal Dinasti Ming. Pembentukan corak pakaian etnik Hui selaras dengan pembentukan etnik Hui. Corak pakaian itu turut dipengaruhi oleh pakaian penduduk etnik-etnik di Asia Tengah dan Asia barat serta gaya pakaian etnik semula jadi, namun begitu corak pakaian etnik Hui tidak bertembung dengan corak pakaian etnik Han, dan keadaan ini diwarisi secara berterusan.

Menurut beliau, sekalipun corak pakaian etnik Hui mengalami perubahan, tetapi pada asasnya perubahan itu tidak ketara. Fesyen pakaian etnik Hui memperlihatkan corak pakaian yang panjang dan ketat. Penduduk tempatan memakai pakaian yang tidak terdedah di kawasan-kawasan yang didiami oleh penduduk etnik Hui yang taat dengan ajaran Islam.

Seramai lebih 2.1 juta orang penduduk etnik Hui tinggal di Wilayah Autonomi Hui Ningxia. Sebuah Muzium fesyen pakaian etnik Hui telah dibangunkan di kaunti Tongxin Wilayah Autonomi Hui Ningxia untuk mengumpul dan melindungi tapak peninggalan sejarah dan warisan budaya fesyen pakaian etnik Hui yang sangat bernilai. CRI/-


Sumber : Drs Khalid Idham Lim