Khamis, 11 November 2010

Sejarah Daerah Manjung Perak




LOKASI:

Daerah Manjung merupakan salah satu daripada sembilan daerah di Negeri Perak Darul Ridzuan. Ia bersempadan dengan Daerah Larut Matang dan Selama dan Daerah Kuala Kangsar di sebelah utara, bersempadan dengan Daerah Hilir Perak di sebelah selatan dan bersempadan dengan Selat Melaka di sebelah barat. Jarak dari Ipoh ke Lumut ialah 80 kilometer, dari Kuala Lumpur 200 kilometer dan Pulau Pinang 180 kilometer. Daerah Manjung mempunyai keluasan seluas 1168.9 kilometer persegi.

SEJARAH:

Daerah Manjung pada sebelum tahun 1973 dikenali sebagai Daerah Dindings. Daerah ini pernah menjadi sebahagian dari Negeri - Negeri Selat yang pada ketika itu daerah ini berada di bawah pentadbiran Pulau Pinang. Daerah Dindings telah menjadi sebahagian dari Pulau Pinang sebaik sahaja Perjanjian Pangkor ditandatangani oleh pihak Britain dengan Sultan Perak pada ketika itu iaitu Sultan Abdullah. Perjanjian ini ditandatangani bagi menghentikan pertumpahan darah akibat dari 2 peristiwa utama iaitu perebutan takhta di antara kerabat - kerabat diraja Perak sebaik sahaja kemangkatan Sultan Jaafar dan peperangan di antara Puak Ghee Hin dan Hai San di Larut untuk merebut kawasan perlombongan bijih timah di Jajahan Larut Taiping.

Sebagai syarat perjanjian tersebut, Sultan Perak perlu menerima seorang Residen British iaitu Sir JWW Birch, menyerahkan Jajahan Dindings kepada British, Perlantikan Penolong Residen di Taiping iaitu Kapten Speedy di Matang dan Sultan Ismail diturunkan dari takhta Perak.

Menurut catatan sejarah, Daerah/Jajahan Dinding merupakan sebuah daerah yang berada di bawah pemerintahan Negeri-negeri Selat. Istiadat menandatangani perjanjian penyerahan semula Jajahan Dinding kepada Kerajaan Perak telah diadakan pada 16 Februari 1935 bertempat di hadapan Rest House Lumut. Bersempena dengan peristiwa itu, Jajahan Dinding telah ditukar namanya kepada Iskandar District. Tanah Merah (Lumut) pula ditukar namanya kepada Port Iskandar. Sultan Perak pada ketika itu juga telah berkenan melantik Raja Shahriman bin Raja Abdul Hamid sebagai orang Besar Jajahan. Bagi memperingati peristiwa tersebut Masjid Al-Adli telah dibina (di Bandar Lumut) melambangkan kesyukuran di atas penyerahan Jajahan Dinding kepada Kerajaan Perak.

Semasa era penjajahan Inggeris, Jajahan Dindings adalah merangkumi 3 kawasan utama iaitu Bandar Sitiawan, Bandar Lumut dan Pulau Pangkor sahaja. Walaubagaimanapun pada tahun 1937, setelah hampir 10 tahun Sultan Perak pada ketika itu ialah Sultan Alang Iskandar telah merayu kepada British agar Jajahan Dindings dikembalikan ke pangkuan Perak dan British telah menyerahkan kembali pada tahun berkenaan. Alasan utama baginda, Perak tidak mempunyai kawasan berpantai. Setelah penyerahan Jajahan Dindings, Kerajaan Perak telah menyatukan jajahan berkenaan dengan Bruas dan kawasan - kawasan persisiran pantai bahagian selatan.

Sehingga tahun 1980an, daerah ini masih dikenali sebagai Daerah Dinding. Pada 1 Januari 1982, jajahan yang dahulunya dikenali dengan panggilan Dinding ditukar namanya menjadi Daerah Manjung yang merangkumi satu unit pentadbiran yang meliputi mukim Beruas dan Sitiawan dan nama tersebut berkekalan sehingga kini.


MAKLUMAT ASAS:

Luas Daerah Manjung adalah 116,800 hektar (1,168.0 kilometer persegi) dan terbahagi kepada lima mukim, iaitu:-
1. Sitiawan (33,150 hektar / 331.5 kilometer persegi).
2. Pengkalan Baharu (25,640 hektar / 256.4 kilometer persegi).
3. Lumut (25,120 hektar /251.2 kilometer persegi).
4. Beruas (19,160 hektar / 191.6 kilometer persegi).
5. Lekir (13,730 hektar / 137.3 kilometer persegi).

Pengkalan TLDM – 17.5 km/per. (1.49%)
Tanah Simpanan Melayu – 41,021 hek.(35.12%)
Tanah Simpanan Hutan – 6,276 hek (5.37%)

*Luas kawasan Majlis – 301.82 km. persegi.
*Kawasan Operasi Majlis – 180.47 km. persegi.
*Kawasan Kawalan Majlis – 121.35 km. persegi.

*Data laman web MPM 2006


Daerah Manjung telah menjadi destinasi utama pelancong ke Negeri Perak di mana Pulau Pangkor dan Teluk Batik telah menjadi tumpuan utama pelancong-pelancong dari dalam dan luar negeri. Visi pembangunan sektor pelancongan ialah menjadikan sektor pelancongan sebagai penyumbang utama kepada pembangunan Daerah Manjung.

Sumber : http://pdtmanjung.perak.gov.my/bm/index.php?bhg=infodaerah