Ahad, 7 November 2010

Buah-Buahan : Buah Cermai

Buah cermai bukan sahaja menjadi makanan cemilan budak kampung bahkan bijinya turut menjadi 'peluru' sumpit buluh buatan sendiri

Oleh
Noor Hasnah Adam

Buah pauh di atas batang,
Sayang cermai di atas batu;
Tuan jauh ke mari datang,
Meramai akan kampungku.

MENELITI pantun warisan di atas biasanya dapat mengimbas kembali kenangan tinggal di kampung. Jenis-jenis pohon yang dahulu amat mudah ditemui dapat membangkitkan kerinduan terhadap kehidupan lalu.

Biasanya di halaman rumah kampung akan tumbuh atau ditanam dengan pohon cermai.

Pohon cermai yang sentiasa subur berbuah ini mungkin kelihatan kurang diberi perhatian kerana mudah ditemui tetapi sebenarnya amat berguna dan berkhasiat.

Biasanya budak-budak kampung yang penat bermain akan memetik buah cermai untuk menghilangkan haus walaupun ada kalanya buah cermai itu rasanya terlalu masam dan kelat.

Buah cermai bukan sahaja menjadi makanan cemilan budak-budak kampung bahkan bijinya turut menjadi 'peluru' sumpit buluh buatan sendiri.

Buah cermai yang berterabur di atas tanah akan digunakan untuk menyakat sesama sendiri dengan membaling ke arah satu sama lain. Banyak juga kes budak-budak kampung cedera kerana memanjat pokok cermai.

Sebenarnya dahan pokok cermai rapuh dan mudah patah, justeru tidak sesuai bergayut pada dahan itu.


PEMBUKA SELERA

Cermai atau atau nama saintifiknya Phyllanthus acidus, merupakan satu-satunya pokok dalam keluarga Phyllanthaceae yang boleh dimakan.

Terdapat dua jenis buah cermai iaitu yang berwarna hijau dan berwarna kuning.

Buah cermai yang berwarna hijau kecil sedikit berbanding dengan buah cermai yang berwarna kuning dan rasanya masam-masam kelat. Buah cermai yang berwarna kuning pula rasanya masam tetapi tidak kelat dan isinya tebal.

Ada beberapa cara untuk memakan buah cermai.

Ada yang suka mencecah buah cermai dengan kicap bercampur gula dan cili hidup.

Ada juga yang merebus sehingga kering buah cermai dengan gula melaka, gula, garam dan sedikit cuka.

Disebabkan rasa buah cermai yang masam, orang Melayu suka membuat jeruk. Secara tradisional, orang kampung merendam buah cermai dengan air garam selama dua malam.

Kemudian barulah dijeruk dengan air gula atau air berlada.

Buah cermai juga boleh dibuat rojak kampung.

Caranya, hiris buah cermai dan buang bijinya. Tumbuk kasar sedikit dan perah air masamnya.

Gaulkan dengan cili tumbuk, udang kering tumbuk, bawang merah hiris halus, sedikit gula dan garam sesedap rasa. Rojak itu enak dimakan dengan nasi.

Ada juga orang kampung yang menggunakan buah cermai untuk membuat jem.

Caranya adalah dengan menghiris buah cermai dan buang bijinya. Perah air masamnya tetapi jangan sampai kering.

Kemudian bahan itu dimasak dengan gula dan air seperti mana kita membuat inti kuih tat.

Pokok cermai memang sentiasa subur lebih-lebih lagi selepas musim kemarau tatkala hujan mulai turun. Pucuk-pucuk cermai akan bertunas dengan segar. Pucuk-pucuk itu akan dipetik dan dijadikan sayur lemak putih.

Sungguh menyelerakan sekali apabila dimakan bersama pencuk.

Pencuk pula merupakan sambal yang dibuat daripada buah cermai. Buah cermai ditumbuk bersama garam, gula, belacan dan cili padi.

Sekiranya orang Melayu menggunakan buah cermai dalam masakan lemak cili padi untuk menggantikan asam keping atau belimbing buluh, orang India turut menggunakan buah cermai untuk dicampurkan ke dalam masakan kari daging atau ayam bersama-sama dengan buah limau purut untuk menggantikan buah kedondong.

PERUBATAN

Daun cermai merupakan antara bahan membuat bedak sejuk. Caranya, ambil sedikit beras dan rendam semalaman.

Kemudian basuh dan toskan. Campur sedikit ibu kunyit dan beberapa helai daun cermai. Giling sehingga lumat. Kemudian gentel dan keringkan.

Bedak sejuk ini digunakan dengan mencampur sedikit air dan tempelkan pada wajah. Wajah akan hilang jeragat dan jerawat.

Bedak sejuk itu juga boleh dibuat lulur badan. Kulit akan menjadi halus dan licin.

Sekiranya mengalami demam, bedak sejuk yang bercampur daun cermai ini boleh dilumurkan pada tubuh yang panas sehingga kering.

Dipercayai suhu panas badan akan cepat turun. Selain itu, daun cermai boleh diramas untuk memandikan orang yang demam panas.

Namun sekiranya bedak sejuk itu mahu digunakan sebagai penawar kepada orang yang terkena demam campak, daun cermai tidak boleh dipetik selepas hujan. Sebabnya, air hujan menjadi pantang kepada penyakit demam campak.

Daun cermai juga boleh direbus untuk dimandikan beberapa hari pada bayi-bayi yang kuning selepas lahir.

Akar cermai pula boleh digunakan sebagai salah satu ramuan akar untuk mengubat orang lepas bersalin.

Daun cermai boleh direbus dan diminum sekiranya mahu menurunkan berat badan. Menurut orang tua-tua, petua ini boleh memecahkan lemak berlebihan dalam badan.

Bagi pesakit darah tinggi, penawarnya juga boleh menggunakan daun cermai yang dikisar kemudian ditapis dan diminum airnya.

Getah daripada kulit kayu pokok cermai pula mujarab dijadikan ubat sakit gigi. Caranya adalah dengan mengambil kulit pokok dan dikeringkan sedikit kemudian direbus. Air rebusan yang telah sejuk boleh digunakan untuk berkumur dan mujarab menghilangkan sakit gigi.

Selain itu, daun cermai juga boleh menghalau serangga di lampu. Caranya adalah dengan menggantung ranting berdaun cermai pada lampu dan biarkan beberapa minit. Serangga akan segera pergi.


PANTANG LARANG

Pantang larang masyarakat Melayu terbentuk akibat kepercayaan terhadap kekuatan kuasa jahat dan unsur ghaib.

Mereka mempercayai bahawa jika sesuatu pantang larang dilanggar kecelakaan akan menimpa mereka.

Pokok cermai memang rendang dan memang seronok kalau duduk di bawah pokok ini mengambil angin di tepi sawah.

Namun pantangnya, perempuan mengandung tidak boleh lalu apatah lagi duduk di bawah pokok cermai. Alasannya, ada hantu yang akan memakan janin dalam kandungan.

Pantang larang ini dikenakan mungkin kerana pengalaman orang Melayu menyaksikan perempuan mengandung keguguran setelah duduk-duduk di bawah pokok cermai.

Disebabkan tidak dapat memberi alasan pada sebab dan akibat fenomena itu, orang Melayu mengaitkannya dengan hantu.

Sebenarnya secara saintifik, pokok cermai mengeluarkan sejenis kimia melalui daun dan batangnya. Kimia itu pula memang boleh memudaratkan janin dalam kandungan sekiranya dihidu oleh ibu yang mengandung.

Kesimpulannya, pokok cermai memang banyak gunanya dan membawa nostalgia kepada sesiapa yang pernah tinggal di kampung. Kenangan pada buah cermai turut membangkitkan ingatan pada satu teka-teki lama yang berbunyi seperti yang tertera berikut. Apakah jawapannya?

Buah cermai di dalam dulang,
Tepung digaul minyak sapi,
Anaknya ramai ibunya seorang,
Apabila bergesel berapi-api?

sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,176005,00.html