Rabu, 3 November 2010

Kedudukan Wanita Dalam Perspektif Islam & Barat




Wanita Dalam Perundangan Greek

Dalam sejarah tamadun manusia, tamadun Grek dianggap sebagai tahap tamadun yang boleh dibanggakan pada zaman itu. Namun begitu wanita ketika itu menurut Profesor Dr Mustafa al-Saba'i dalam kitabnya yang bertajuk 'Al-Mar atu baina al-Fiqh wa al-Qanun' menyebutkan bahawa wanita dikurung di dalam rumah, tidak diberi peluang langsung untuk belajar dan dihina serta dianggap khadam yang najis. Wanita juga boleh dijual beli seperti barang=barang dagangan. Tidak mempunyai hak untuk membantah malah tidak ada apa-apa hak dalam hidup selain dari makan minum, tempat tinggal dan pakaian. Pada kemuncak tamadun Greek pula wanita dijadikan alat untuk memuaskan nafsu lelaki, model-model perempuan bogel dipopularkan dan merebaklah keruntuhan moral yang berakhir dengan keruntuhan tamadun tersebut.

Wanita Dalam Perundangan Rumawi

Wanita dalam perundangan Rom lebih menyedihkan. Pada masa muda remaja, wanita dikongkong di bawah kekuasaan penjaganya, sama ada bapa atau datuknyaatau sebagainya yang diistilahkan sebagai 'Peter Families'. Kekuasaan seseorang penjaga tidak dihadkan, malahan boleh menghalau wanita itu keluar rumah, atau menjualnya tanpa pembelaan undang-undang untuk mereka. Lebih dari itu, hak hidup bagi seseorang wanita boleh ditentukan oleh penjaganya. Demikian menurut Profesor Dr Ali Abdul Wahid Wafi dalam kitabnya 'Al-Mar atu fi al-Islam' iaitu selepas berkahwin wanita berubah ilik daripada bapanya kepada suaminya dan terputuslah hubungan dengan keluarga asalnya. Suami pula berhak mengisikan tempat yang dikosongkan oleh bapanya dalam tindak tanduknya terhadap wanita itu.

Keadaan yang menyedihkan kaum wanita ketika itu telah cuba diselamatkan pada zaman Justinian dengan suatu undang-undang yang dikenal dengan nama 'Justinian Law' tetapi tidak berubah keadaan kecuali dalam beberapa hal sahaja. Sebelum 'Justinian Law' dilaksanakan, terdapat undang-undang yang dikenal sebagai 'Undang-undang Dua Belas'. Dalam undang-undang tersebut disentuh tentang kelayakan mendapat hak sivil. Kelayakan tersebut hendaklah dengan tiga syarat iaitu cukup umur, siuman akal dan lelaki. Jelaslah di sini bahawa wanita pada kedua-dua zaman tersebut berada dalam keadaan yang menyedihkan.

Dalam kitab 'Safr al-Khuruf' iaitu kitab agama Yahudi menjelaskan : seseorang bapa yang susah hidupnya boleh menjual anak perempuannya bersama dengan kumpulan hamba bagi mengatasi kemiskinan. Dalam kitab suci agama Yahudi yang dikenali dengan nama 'Thalmud' pula ada dicatat : Tidak boleh seorang perempuan Yahudi mengadu kepada sesiapa jika didapati bahawa suaminya telah melakukan hubungan seks dengan perempuan lain walaupun di dalam rumah mereka sendiri. Dimuka surat yang sama dalam kitab tersebut terdapat kenyataan : Lelaki Yahudi boleh melakukan apa sahaja kepada isterinya, ia boleh menikmatinya sepertimana dia menikmati seketul daging yang dibeli di pasar sama ada dengan merendam, membakar atau apa sahaja yang digemarinya, atau melemparkannya sahaja.

Profesor Dr. Mustafa al-Saba'i dalam kitabnya yang tersebut tadi ada menyebut : Anak-anak perempuan Yahudi tidak boleh mendapat sebarang pusaka daripada harta yang boleh dipindahkan seperti wang ringgit dan emas perak jika ada di kalangan keluarganya itu seorang lelaki, meskipun emas perak yang ditinggalkan itu berpikul-pikul. Jika harta benda yang ditinggalkan itu harta benda tetap seperti tanah, rumah dan sebagainya, maka perpempuan-permuan itu tidak boleh menerima pusaka. Cuma boleh menerima belanja hidup dari si lelaki yang menguasai pusaka itu. Dalam kitab Taurat terdapat kenyataan : Wanita-wanita adalah lebih bahaya atau lebih bala daripada lelaki. Sejahat-jahat lelaki dan sekurang-kurangnya seorang yang baik dari satu ribu orang, sedangkan bagi perempuan tidak akan wujud perkara seperti itu.

Wanita Dalam Perundangan Barat yang lain

Dalam undang-undang Inggeris sehingga tahun 1805, seorang suami diharuskan menjual isterinya. Undang-undang tersebut telah menetapkan harga minima bagi seorang wanita ialah 6 pence. Pernah berlaku pada suatu masa selepas undang-undang itu digantikan, seorang Inggeris dalam tahun 1931 telah menjual isterinya dengan harga 500 paun. Peristiwa ini telah dibawa ke mahkamah. Peguam lelaki tersebut dalam pembelaannya telah menyebut bahawa perbuatan lelaki itu tidak salah kerana ternyata wujud undang-undang Inggeris yang mengharuskannya pada suatu masa yang lalu.

Pendakwa telah berhujah dengan mengatakan : Walaupun benar undang-undang yang disebut oleh peguam bela tersebut, tetapi sebenarnya undang-undang itu telah dimansuhkan pada tahun 1805. Akhirnya lelaki tersebut telah didenda dan dipenjara selama 10 tahun. Dalam majalah 'Hadrat al'Islam' (Tamadun Islam) keluaran 1916 ada memuatkan kisah seorang Itali yang menjual isterinyakepada seorang lelaki dengan bayaran secara beransur. Apabila pembeli tersebut enggan menjelaskan baki harga perempuan tersebut, maka berlakulah pergaduhan yang menyebabkan pembeli itu terbunuh.

Apabila berlaku Revolusi Perancis, pengisytiharan mengharamkan penindasan sesama manusia dibuat. Tetapi tidak termasuk penindasan terhadap wanita. Dalam undang-undang sivil Perancis ketika itu ada dinyatakan bahawa wanita tidak layak mendapat hak sivil sepenuhnya. Tidak boleh menjual beli dan membuat kontrak tanpa keizinan penjaganya. Profesor Dr. Ali Abdul Wahid Wafi dalam kitabnya berkata : 'Keadaan wanita di Perancis amat menyedihkan hingga ke zaman akhir-akhir ini. Malah hingga sekarang masih tidak terbela sepenuhnya, mereka disisihkan daripada undang-undang sebagai tidak layak mendapat sepenuhnya hak sivil'. Dalam undang-undang sivil Perancis (Code Napoleon) ada tercatat : Perempuan yang telah berkahwin meskpun perkahwinannya diasaskan di atas sesuatu persetujuan pengasingan hak milik harta suami isteri, namun begitu tidaklah bererti membolehkan isteri tersebut menghibbah hartanya atau memindah milik atau menggadaikannya, atau membelikan sebarang harta baru tanpa disertai dengan suaminya di dalam kontrak atau persetujuan suami tersebut secara bertulis.

Satu hal yang lebih ketara, apabila seseorang perempuan telah berkahwin, maka secara tidak langsung atau automatik namanya dan keluarganya hilang, ditukar dengan nama baru yang dikenal sebagai Mrs .......(nama suaminya). Dengan kehilangan itu akan hilang namanya sendiri, dan nama keluarganya, semuanya larut dalam nama suaminya.

Wanita Menurut Pandangan Islam

Dari gambaran sekilas pandang seperti yang digambarkan di atas, ternyata betapa rendahnya kedudukan wanita dalam berbagai-bagai masyarakat di dunia. Kedatangan Islam telah mengubah fenomena ini. Oleh kerana keadaan itu sengajadibuat-buat oleh manusia dan merupakan penganiayaan manusia terhadap manusia cuma berlainan jenis, maka Allah swt telah mengutus RasulNya Muhammad saw untuk memperbaiki kepincangan dan menempatkan wanita ke taraf yang sewajarnya. Wanita tidak lagi diletakkan di tempat kedua hanya sebagai pengikut kaum lelaki sahaja. Mereka mendapat hak dan status yang sewajarnya sesuai dengan fitrah penciptaannya. Mereka dihargai dan dihormati sebagai seorang manusia. Nabi Muhammad saw datang dengan ajaran yang benar dari Allah swt, memperbetulkan yang salah dan mengangkatkan apa-apa yang sepetutnya diangkat, meletakkan wanita dalam perundangan Islam kena pada tempat dan keadaannya. Al-Quran dan al-Hadith telah menentukan kedudukan yang sewajarnya bagi wanita dan menjamin hak-haknya supaya tidak disalahertikan oleh kaum lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan